Hampir 300,000 orang hilang kerja dalam tempoh empat tahun

Oleh – Syeikh Baran

Hampir 300,000 orang hilang kerja dalam tempoh empat tahun

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merekodkan seramai 293,639 tenaga kerja kehilangan pekerjaan sepanjang 2020 hingga September lalu.



Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, industri paling terkesan membabitkan sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

Katanya, turut terjejas ialah sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), pembinaan serta pengangkutan.

“Sektor pembuatan membabitkan 75,615 orang diikuti dengan perdagangan borong dan runcit (43,614) serta sektor aktiviti profesional, saintifik dan teknikal merekodkan seramai 23,907.

“Turut terjejas ialah sektor ICT iaitu seramai 19,931 orang, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (23,124), pembinaan (21,233), pengangkutan (20,953) serta lain-lain sektor merekodkan 65,262 orang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai rancangan kementerian mengenai cabaran pekerjaan semakin kompetitif.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Kesuma terus mengorak langkah dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan pekerja tempatan bersedia menghadapi cabaran dalam sektor teknologi dan industri 4.0 termasuk automasi dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat.

“Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 575,044 pencari kerja aktif direkodkan dari Januari hingga 27 September 2024 di Portal MYFutureJobs berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

“Bagi menangani cabaran guna tenaga tidak penuh, terutama bagi graduan baharu dan pekerja tempatan pelbagai program diperkenalkan antaranya program latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan serta Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT).



“Selain itu, kursus berfokuskan Industri 4.0, kerjasama strategik dan pusat teknologi serta pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk pelatih kemahiran,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker