Sindiket penipuan kripto ‘Kakaue’ lesapkan lebih RM18 juta
Oleh – Syeikh Baran
Polis menerima sebanyak 50 laporan berhubung kes penipuan pelaburan ‘Kakaue’ yang melibatkan nilai kerugian RM18.34 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beberapa serbuan dijalankan di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Johor pada 7 hingga 11 Oktober lalu.
“Hasil serbuan berjaya menahan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 19 dan 41 tahun.
“Individu berikut dikenal pasti sebagai pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan tersebut,” katanya.
“Berdasarkan siasatan, sindiket itu mengiklankan tawaran pelaburan melalui Facebook dengan menggunakan nama syarikat ‘Kakaue’ yang kononnya berperanan sebagai broker pelaburan kripto.
“Mangsa berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diterangkan perihal pelaburan tersebut,” jelasnya.
Jelasnya lagi, mangsa kemudian akan diminta untuk memuat turun aplikasi pelaburan ‘Kakaue’ untuk mendaftar menjadi ahli.
“Setelah itu, mangsa perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan arahan bagi pembayaran wang pelaburan ke beberapa akaun syarikat.
“Melalui aplikasi yang dimuat turun, mangsa akan dapat melihat bahawa pelaburan mereka menjana keuntungan. Namun apabila ingin membuat pengeluaran, pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.
You must be logged in to post a comment.