Lelaki Filipina tetak jiran dicekup, muncul sebab lapar
Oleh – Syeikh Baran
Suspek warga Filipina yang menetak jirannya hingga maut di Kampung Lingkudau, di sini, 19 September lalu ditahan selepas dipercayai keluar dari tempat persembunyiannya kerana lapar.
Lelaki yang berusia 43 tahun berkenaan ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, pukul 9 malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat awam, risikan serta intipan selama beberapa hari.
“Suspek yang bersembunyi di kawasan semak di kilang itu ditahan tanpa pergelutan mahupun kecederaan terhadap suspek dan seterusnya dibawa ke IPD Keningau bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek mengaku menikam mangsa 58 tahun pada 19 September lalu kerana berang dengan mangsa yang bertindak membantu isterinya membuat laporan polis.
“Suspek terus melarikan diri ke hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Oktober lalu kerana kelaparan,’ ujarnya.
Jelasnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 20 September lalu, media melaporkan isteri suspek lari ke rumah jiran dan dibawa ke Balai Polis Keningau selepas suspek bertengkar dengan isterinya.
Suspek menetak tangan jirannya hingga maut sambil disaksikan anak mangsa yang berusia tujuh tahun.
Mangsa disahkan maut akibat pendarahan teruk.
Sumber – KOSMO! ONLINE.
You must be logged in to post a comment.