Bicara kes bunuh pemandu e-hailing mula Februari 2025
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, menetapkan 19 hari bagi perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing, yang membabitkan bekas isteri mangsa dan adik tiri lelaki wanita itu bermula 24 Februari hingga 23 Mei tahun hadapan.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng ketika pengurusan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim dan peguam lantikan Jhassary P Kang, mewakili Nurima Juli, 35 dan Mark Rosaidey Mohd Amin yang mewakili Sadam Kiram, 30, menerusi persidangan secara Zoom, pada Rabu.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Februari; 10 hingga 14 Mac; 14 hingga 17 April, dan 19 hingga 23 Mei.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan penyataan saksi perlu disediakan lebih awal melainkan terdapat keperluan atau alasan yang kukuh untuk tidak memberikan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.
Pada 24 September lalu, Nurima dan Saddam dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sumber – HARIAN METRO