Polis lepaskan tembakan, suspek positif dadah ditahan

Oleh – Syeikh Baran

Polis lepaskan tembakan, suspek positif dadah ditahan

Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini, petang semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu turut melawan arus sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki yang memandu Honda Accord sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum mereka bertindak menghampiri kereta suspek untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian bertindak memecut laju memasuki ruang parkir pangsapuri berkenaan.

“Pada mulanya polis menghampiri kereta suspek, minta dia berhenti, tetapi suspek nampak polis menghampiri, dia bertindak melarikan diri.



“Suspek kemudian masuk ke kawasan parkir dan dia berhenti. Polis kemudian menghampirinya sekali lagi untuk periksa dan tahan, namun suspek sekali lagi memecut keretanya dan melawan arus sebelum melanggar tiga kereta.

“Polis terpaksa ambil tindakan lepaskan tembakan dan kena pada tayar kereta suspek sebelum kereta itu tidak boleh bergerak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi Oktober 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis kemudian berjaya menahan suspek dan hasil pemeriksaan ke atas keretanya menjumpai 296 gram heroin dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati suspek positif methamphetamine.

Katanya, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah.



“Dalam kejadian kira-kira lima minit itu, suspek tidak cedera. Namun, tiga kereta yang dilanggar suspek rosak teruk dan kita minta mereka yang terbabit membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Pada masa sama, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chai Ing Hien membenarkan permohonan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker