Seekor lagi buaya masuk perangkap di Sungai Malim

Oleh – Syeikh Baran

Seekor lagi buaya masuk perangkap di Sungai Malim

Perangkap umpan itik yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bulan lalu berjaya menjerat seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram (kg) di Sungai Malim di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Perhilitan Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, buaya betina itu disedari masuk ke dalam perangkap pada pukul 10 pagi oleh penguat kuasa yang melakukan rondaan di lokasi tersebut.

“Saya percaya buaya ini antara yang membaham kambing milik penternak pada Mei dan Jun lalu di Kampung Tengah, Pulau Gadong.

“Seekor lagi buaya dianggarkan seberat 300 kg masih lagi bebas dan kita sedang memburu reptilia tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Menurut Alfiesyahril Anewar, reptilia tersebut akan dibawa ke Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor.

“Perangkap akan dipasang semula selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu di lokasi sama selama tiga minggu, jika tidak ada tanda-tanda sasaran berada di sungai ini, barulah berpindah ke lokasi lain.

“Kita akan pantau dulu dalam tempoh tiga minggu perangkap itu untuk melihat pergerakan reptilia ini kerana sungai ini panjang sehingga ke Kampung Tengah,” ujarnya.

Pada 26 Mei lalu, seekor buaya tembaga betina berukuran 2.7 meter panjang dan berat dianggarkan 300 kg memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Tengah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker