70 peratus pesakit kanser lelaki lewat dapatkan rawatan

70 peratus pesakit kanser lelaki lewat dapatkan rawatan

Kira-kira 70 peratus pesakit kanser lelaki lewat mendapatkan rawatan, sekali gus mengurangkan peratusan sembuh.

Perkara itu didedahkan Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron @ Harun yang memaklumkan kebanyakan pesakit itu hanya datang ke hospital mendapatkan rawatan ketika berada pada tahap tiga dan empat.

“Kelewatan mendapatkan rawatan bukan sahaja mengurangkan peratusan sembuh, malah meningkatkan beban akibat penyakit itu khususnya dari segi kos dan kemudahan perubatan.

“Punca lambat (dapat rawatan) mungkin (kita) kena buat kajian tetapi antaranya mungkin disebabkan ‘denial’ (sikap penafian dapat kanser) atau mencuba rawatan lain dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Rumah RM1 di Pangsapuri Putra Harmoni di sini, hari ini.

Terdahulu, Rumusan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021 yang diterbitkan hari ini, menunjukkan peratus kes kanser untuk keseluruhan rakyat yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat kepada 65.1 peratus berbanding 63.7 peratus bagi tempoh 2012-2016.

Laporan lima tahun diterbitkan Jabatan Registri Kanser Kebangsaan di IKN itu turut mengenal pasti 10 jenis kanser paling kerap dikesan iaitu kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx (kanser pangkal hidung), kanser rahim dan kanser ovari.

Laporan itu menunjukkan kanser kolorektal paling tinggi dihidapi golongan lelaki diikuti kanser paru-paru dan prostat manakala kanser payudara direkodkan paling tinggi dalam kalan gan wanita diikuti kanser kolorektal dan paru-paru.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Anis berkata, jumlah pesakit di IKN meningkat setiap tahun dengan kadar penggunaan katil setakat ini adalah 66.6 peratus dan pernah mencecah sehingga 90 peratus dalam satu masa.

Katanya, pelbagai punca yang mengakibatkan kanser dikenal pasti seperti genetik, pemakanan serta gaya hidup seperti merokok dan obesiti.

“Klinik kesihatan (kerajaan) mengadakan saringan pap smear secara percuma untuk warga emas atau bayaran RM1 kepada orang awam, dalam laporan itu terdapat penurunan kes kanser servik (pangkal rahim) susulan kempen yang kami anjurkan untuk membuat saringan pap smear.

“Kalau ada tanda awal (kanser), buat saringan dan cepat dapatkan rawatan atau apabila berumur 40 tahun, kita perlu buat saringan, ia (ujian saringan) disediakan di klinik kesihatan, rebut peluang untuk buat saringan,” katanya. BH

70 peratus pesakit kanser lelaki lewat dapatkan rawatan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Abby Abadi dah macam anak dara

‘Hari-hari adik menangis’ – Abang isteri suspek

Intan Najuwa bertambah cantik ketika hamil

Tolak jawatan SUA Bersatu, nak jawatan timbalan presiden?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker