Modi gagal mendapat majoriti mudah setakat ini

Modi gagal mendapat majoriti mudah setakat ini

Pengiraan undi pada lewat Selasa menunjukkan parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi gagal mencapai majoriti mudah dalam pilihan raya kebangsaan negara itu.

Pengiraan 642 juta undi – yang dipungut antara 19 April dan 1 Jun lalu – oleh agensi pengendali pilihan raya negara itu bermula sejak pagi dan menunjukkan bahawa blok pembangkang memberikan saingan lebih baik daripada yang dijangka kali ini.



Menurut keputusan rasmi serta trend semasa, BJP dijangka memenangi 240 kerusi, diikuti oleh parti pembangkang utama, Kongres Kebangsaan India, yang menguasai 98 kerusi.

Parti Samajwadi pula dijangka memenangi 37 kerusi, diikuti Parti Kongres Trinamool Seluruh India (AITC) pimpinan Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee (29 kerusi), dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin (22 kerusi).

Dewan rendah parlimen dalam sistem dwidewan India, Lok Sabha, mempunyai 543 ahli terpilih.

Kongres, Samajwadi, dan DMK adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Inklusif Pembangunan Kebangsaan India (Indian National Developmental Inclusive Alliance – INDIA) merangkumi lebih daripada 20 parti yang bersatu untuk menewaskan BJP.



Prestasi blok INDIA jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan agensi media India dan peninjau pendapat pengundi.

Dalam PRU 2019, Perikatan Demokrasi Nasional (NDA) yang diketuai BJP memenangi 353 kerusi, termasuk 303 dimenangi parti itu sendiri.

Oleh kerana kerusi diperoleh BJP ketika ini jauh daripada jumlah 272 yang diperlukan untuk mendapat majoriti mudah, parti itu memerlukan sokongan parti lain untuk membentuk kerajaan baru.

Pencapaian lemah BJP kali ini memberikan lebih banyak kuasa tawar-menawar kepada rakan kongsi yang berpotensi untuk membentuk kerajaan campuran kerana Modi ingin menjadi perdana menteri bagi penggal ketiga.



Di Uttar Pradesh – yang menyumbang 80 kerusi Lok Sabha – pembangkang mendapat undian besar.

Beri undi pada tahanan penjara

Yang ketara, calon BJP, Lallu Singh, kalah kepada Awadesh Prasad dari Samajwadi di Faizabad, kawasan pengundian yang termasuk Ayodhya, bandar yang menempatkan Kuil Ram yang dirasmikan sendiri oleh Modi pada Jan lalu yang mendapat publisiti meluas.

Bagaimanapun Modi menang dengan selesa di Varanasi.



BJP mendahului dalam semua tujuh kawasan pengundian New Delhi, dan dijangka memenangi hampir keseluruhan negeri Gujarat, Madhya Pradesh, dan Chhattisgarh.

DMK pula mendominasi Tamil Nadu, AITC mendahului di Bengal Barat, dan Janata Dal United pimpinan Ketua Menteri Nitish Kumar menunjukkan prestasi yang baik di Bihar.

Sementara itu saham di India merudum lebih lima peratus kerana trend pengiraan berbeza dengan jangkaan pasaran untuk kemenangan besar bagi Modi sejajar dengan tinjauan pendapat pada Sabtu yang dicemuh pembangkang sebagai manipulasi sebaik sahaja ia diterbitkan.

Rupee India pula ditutup 45 paise rendah pada 83.59 berbanding dolar AS.



Bekas ahli dewan negeri yang ditahan di penjara di Delhi selepas kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, Abdul Rashid Sheikh, mendapat undi simpati untuk memberi kelebihan kepadanya di Baramulla.

Punjab juga kelihatan akan memberikan kemenangan kepada calon yang bertanding dari dalam penjara.

Ketua kumpulan Waris Punjab De, Amritpal Singh, yang ditahan di Penjara Dibrugarh, Assam sejak April tahun lepas atas tuduhan mengikut Akta Keselamatan Negara (NSA) yang ketat, menang di Khadoor Sahib.

Selain pilihan raya di peringkat kebangsaan, Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Odisha, dan Sikkim juga mengadakan pemilihan di peringkat dewan negeri.



BJP menang di Arunachal Pradesh yang bersempadan dengan China untuk kali ketiga berturut-turut, manakala Sikkim Krantikari Morcha (SKM) yang menguasai negeri timur laut Sikkim mendapat mandat untuk memerintah sepenggal lagi, menurut keputusan bagi dua negeri itu pada Ahad.

Parti Telugu Desam yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri Chandrababu Naidu kembali berkuasa di Andhra Pradesh dengan memenangi majoriti kukuh di dewan yang mempunyai 175 kerusi.

Parti itu mungkin akan memainkan peranan di peringkat kebangsaan.

Telugu Desam mendahului 16 daripada 25 kerusi Lok Sabha yang dipertandingkan di negeri itu.

Di Odisha, BJP menewaskan Biju Janata Dal (BJD) yang dipimpin oleh Naveen Patnaik, ketua menteri negeri timur itu sejak 2000.

Odisha juga membantu BJP secara besar-besaran dalam meningkatkan jumlah kerusi dewan parlimennya apabila mendahului dengan 19 daripada 21 kerusi Lok Sabha negeri itu.

Modi gagal mendapat majoriti mudah setakat ini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penduduk Kampung Sri Makmur sahut cabaran MB Selangor

Mari kita lihat siapa yang kena

Biadab dan kurang ajar, video pemandu e-hailing burukkan Islam depan pelancong tersebar [VIDEO]

‘Drama’ kian terungkai

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker