Keluarga mangsa Tragedi Double Six mahu ambil tindakan undang-undang

Keluarga mangsa Tragedi Double Six mahu ambil tindakan undang-undang

KOTA KINABALU: Keluarga mangsa pesawat terhempas dalam Tragedi Double Six yang berlaku 48 tahun lalu di sini, menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.

Tindakan itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama Faridah Stephen, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Kartina Sulong, iaitu waris kepada tiga daripada 11 mangsa yang terkorban dalam tragedi yang berlaku di Pantai Kampung Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976.



Menerusi kenyataan itu, mereka menjelaskan bahawa tindakan berkenaan dibuat dengan harapan penderitaan besar dialami mereka selama hampir lima dekad diakui oleh Kerajaan Persekutuan dan dapat diringankan.

Ia adalah tindakan terbaharu yang ditimbangkan selepas Laporan Siasatan Malaysia berhubung tragedi yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen pada ketika itu dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 12 April 2023.

“Penyahklasifikasian Laporan Siasatan Malaysia pada 12 April 2023 itu memberikan gambaran penting mengenai keadaan nahas berkenaan tetapi alasan kelewatan yang begitu lama untuk mengeluarkan laporan itu masih kabur.

“Kelewatan yang panjang dan melampau hanya menambah luka yang dialami oleh keluarga kerana mereka tidak dapat bergerak ke hadapan dan mendapatkan penutupan mengenai babak tragis dalam hidup mereka.



“Digerakkan keinginan yang tidak berbelah bahagi untuk keadilan dan penutupan, maka pihak keluarga meminta kerajaan persekutuan menebus kesalahan dalam bentuk pampasan dan kita sudah mengemukakan permintaan itu. Malangnya, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas,” kata kenyataan bersama itu.

Mereka masing-masing mewakili keluarga bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen; bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Peter Mojuntin dan bekas Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong.

Tiga pemimpin negeri itu adalah di antara kenamaan penting, terkorban dalam tragedi berkenaan yang berlaku ketika pesawat jenis GAF Nomad 9M-ATZ buatan Australia dinaiki mereka dari Labuan hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Berikutan itu, keluarga mangsa kini menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pampasan yang diminta mereka pada tahun lalu.



“Menjelang ulang tahun ke-48 tragedi itu (esok), pihak keluarga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan dan pemahaman yang tidak berbelah bahagi daripada orang ramai.

“Satu majlis memperingati anjuran kerajaan negeri akan diadakan pada 6 Jun 2024. Kami menjemput komuniti bersama dengan kami dalam memperingati dan menghormati nyawa yang terkorban.

“Pihak keluarga akan terus membawa legasi orang tersayang mereka bukan sahaja dalam hati tetapi juga melalui tindakan. Pihak keluarga komited untuk mencari kebenaran dan keadilan, memastikan tragedi seperti itu tidak akan berlaku lagi,” kata kenyataan itu.

Selain Laporan Siasatan Malaysia, kerajaan Australia turut mendedahkan laporan di pihak mereka pada tahun lalu, kedua-duanya menunjukkan penemuan yang sama berhubung punca nahas pesawat terbabit.



Laporan Australia itu antara lain menyebut bahawa pesawat GAF Nomad terbabit dikendalikan secara haram dan juruterbang membenarkan pesawat itu terlebih muatan di bahagian belakang.

Dalam laporan pihak Malaysia, ia menyatakan bahawa tiada unsur sabotaj atau kegagalan enjin, manakala ujian patologi ke atas juruterbang Kapten Gandhi J Nathan membuktikan bahawa beliau cukup cergas pada masa itu dan tidak mengalami kesan alkohol atau dadah.

Berdasarkan laporan itu, kemungkinan punca nahas dalam tragedi terbabit ialah pesawat GAF Nomad terlebih muatan di bahagian belakang. BH

Keluarga mangsa Tragedi Double Six mahu ambil tindakan undang-undang



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penduduk Kampung Sri Makmur sahut cabaran MB Selangor



Mari kita lihat siapa yang kena

Biadab dan kurang ajar, video pemandu e-hailing burukkan Islam depan pelancong tersebar [VIDEO]

‘Drama’ kian terungkai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker