Cadangan sebat dikhalayak ramai, Menteri Agama kata perlu jaga maruah pesalah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata sebarang cadangan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai perlu mempertimbangkan keperluan menjaga maruah pesalah.

Katanya, walaupun peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di peringkat negeri di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun Kerajaan pusat berpendirian bahawa cadangan tersebut perlu diteliti dan dilihat secara menyeluruh.

Mohd Na’im berkata demikian ketika mengulas cadangan kerajaan negeri Terengganu yang mempertimbangkan untuk melaksanakan hukuman sebat bagi pesalah syariah di khalayak ramai.

“Ini kuasa kerajaan negeri, cuma pandangan saya, kena tengok falsafah hukuman itu. Pertama, hukuman (sebat) itu berperanan untuk mendidik. Pada masa sama, bagaimana nak imbangi hikmah untuk menjaga maruah orang yang dihukum itu.

“Saya ingat perkara ini juga perlu dipertimbangkan termasuk di Terengganu. Bagaimana hukuman sebat itu dibuat, itu budi bicara hakim. Maknanya perlu difikirkan bagaimana nak mengimbangi kedua perkara ini apabila pesalah dihukum di khalayak ramai. Jadi, ini yang perlu dipertimbangkan,” katanya seperti dipetik BH Online, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kepada kerajaan negeri Terengganu sedang mempertimbangkan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di tempat awam seperti kawasan masjid atau sebagainya.

Namun, katanya, terdapat beberapa prosedur tertentu yang perlu diteliti sebelum cadangan itu dilaksanakan dan pada masa ini ia masih tertakluk kepada enakmen sedia ada.

“Ia dalam proses dan kita akan tengok dari semasa ke semasa (dan) buat masa sekarang ini, ia (hukuman sebat) akan dilaksanakan di tempat yang tertutup (iaitu) di dalam penjara.

“Kalau kita tengok daripada semangat atau roh hukuman ke atas orang yang melakukan jenayah dalam undang-undang jenayah syariah Islam ini, ia mesti dilaksanakan di khalayak ramai cuma di khalayak ramai itu adalah subjektif.

“Adakah khalayak ramai itu di tengah kawasan umum macam pasar atau masjid atau apa-apa saja dan kalau dilaksanakan dalam penjara sendiri pun sebenarnya (ia) disaksikan oleh khalayak yang tertentu juga. Jadi, atas dasar itu kita laksanakan dulu apa yang telah sedia ada, ada pun untuk kita penambahbaikan, kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pula berkata cadangan itu mungkin tidak mudah untuk dilaksanakan kerana ia perlu dilihat dari segi pelaksanaannya terlebih dahulu.

“Mungkin senang hanya menyatakan hendak melakukan hukuman dalam aspek jenayah syariah, tetapi pelaksanaan itu.

“Sebab tahanan masih (dalam bidang kuasa) Polis, kalau nak melakukan (hukuman ke atas) tahanan, nak letak dalam penjara pun, masih (bidang kuasa) Penjara Malaysia,” katanya pada satu program di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dia turut menyatakan bahawa bidang kuasa untuk menahan dan menghukum pesalah adalah di bawah tanggungjawab agensi kerajaan pusat.

“(Adakah) Kerajaan negeri mempunyai polis mereka sendiri? penjara mereka sendiri? Undang-undang yang ada hari ini ialah bila menahan orang dan menghukum orang kebanyakannya di bawah (bidang kuasa) agensi kerajaan pusat.

“Jadi kalau mereka nak buat, mereka kena lihat dalam aspek yang lebih menyeluruh. Hanya setakat bercakap nak lakukan (laksanakan), isu baru satu isu.

“Tapi saya tak nak bincang lebih, nanti orang kata kita macam memandang rendah, tapi pada saya pelaksana dia siapa? (Jika) nak bercakap dari segi undang-undang jenayah syariah,” katanya lagi.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ruhainies trauma, Bella tak layan panggilannya (Video)

108 cawangan KFC ditutup, ini penjelasan mereka

Jokowi kecewa rakyat Indonesia lebih percaya doktor Malaysia

Beting pasir seluas padang bola timbul di Sungai Kelantan kerana kemarau [VIDEO]


 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker