Siti Mastura jadi bahan lagi
Siti Mastura jadi bahan lagi
oleh Hishamuddin Aun
Agak lama juga kita tak dengar mengenai Siti Mastura Muhammad sejak Ahli Parlimen Kepala Batas itu cetus kontroversi apabila didakwa memfitnah beberapa pemimpin DAP mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew tahun lalu. Diam tak diam, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu terheret dalam satu lagi keributan – sekali lagi kerana menimbulkan maklumat yang tidak dikemas kini dan dipastikan kesahihannya.
Kadang-kadang timbul juga persoalan apakah wakil rakyat berusia 34 tahun berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu cemerkap – menurut Kamus Dewan bermaksud tidak cermat atau lalai dalam melakukan sesuatu pekerjaan – atau sengaja berbuat demikian untuk menagih perhatian ramai. Yang kedua itu tak mungkin kut.
Berbanding Ahli Parlimen penggal pertama selebihnya, Siti Mastura harus dianggap luar biasa. Beliau antara “giant killer” selepas memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dalam PRU15 dengan mengalahkan penyandang dua penggal dan bekas menteri Reezal Merican Naina Merican (BN/Umno) dengan majoriti 2,867 undi. Siti Mastura memperoleh 28,604 undi, Reezal Merican 25,737 undi, calon Muda Danial Abd Majeed 14,214 undi manakala Hamidi Abu Hamid (GTA) 747 undi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan buat pertama kali BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun sejak ia diwujudkan pada 1974. Tambahan kawasan Parlimen itu lama diwakili perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi antara 1978-2013.
“Saya pun kalah Parlimen…macam picisan jugak laaa,” kata Reezal Merican dalam satu pesanan WhatsApp kepada saya. Beliau kemudian menebus kekecewaan apabila menumbangkan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi DUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dengan majoriti 2,321 undi dalam pertembungan satu lawan satu pada PRN 12 Ogos tahun lalu.
Dalam kontroversi terbarunya, Siti Mastura mahu dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen oleh Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng kerana hujahnya yang didakwa berniat jahat dan mahu mengganggu keharmonian berkait dakwaannya bahawa kira-kira 1.2 juta rakyat China masih terus menetap di Malaysia secara tidak sah meskipun sudah ada penjelasan sebelum ini bahawa fakta itu satu kesilapan.
Sebagai rujukan, Gobind Singh Deo ketika menjadi Ahli Parlimen Puchong pernah digantung keahliannya selama setahun melalui satu usul dikemukakan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz kepada Dewan Rakyat menurut Perintah Tetap 80(1) pada 16 Mac 2009 kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina timbalan speaker Dewan Rakyat.
Gobind kemudian membawa kesnya ke mahkamah yang berkesudahan dengan Mahkamah Persekutuan pada 3 Nov 2014 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Ahli Parlimen Puchong itu yang disekat ekoran penggantungannya selama setahun pada 2009.
Guan Eng merujuk kepada dakwaan Siti Mastura dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu bahawa lebih 1.2 juta rakyat China belum meninggalkan negara ini antara 2018 dan 2021. Dakwaannya itu adalah berdasarkan jawapan kerajaan Perikatan Nasional pada 2022 yang bagaimanapun sudah diperjelaskan sebagai satu kesilapan. Ini berdasarkan jawapan Kementerian Dalam Negeri dalam satu sidang Dewan Rakyat pada Julai 2022 kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor
ketika itu Shabudin Yahaya.
Dalam suratnya kepada Speaker Johari Abdul, Guan Eng berkata walaupun dakwaan berkenaan sudah disangkal Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri sebelumnya Hamzah Zainudin, Siti Mastura masih mengulanginya.
“Adalah jelas ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas yang mengelirukan di Dewan yang mulia ini berniat untuk mengganggu keharmonian masyarakat berbilang budaya di negara ini, mewujudkan keresahan, kebimbangan dan ketegangan di kalangan rakyat dengan membangkitkan sentimen perkauman,” katanya dalam surat itu.
Menurutnya, Hansard menunjukkan cuma 92 rakyat China yang ditahan sebagai pendatang tanpa dokumen dalam operasi pada awal 2023 dengan 809 orang dihalang memasuki negara ini pada tahun berkenaan – angka yang jauh bercanggah daripada apa didakwa Siti Mastura. Hamzah, menteri dalam negeri ketika pentadbiran kerajaan PN, sudah pun mengakui bahawa dakwaannya itu tidak tepat.
“Kepala Batas tahu fakta itu silap tapi tetap berdegil dengan terus memainkan persepsi ini. Kenapa Hamzah dari parti yang sama mahu berbohong kepada anak buahnya,” kata Guan Eng lagi. Kini terserah kepada Johari untuk membenarkan Siti Mastura dirujukkan ke jawatankuasa itu untuk tindakan lanjut atau sebaliknya.
Apa yang menghairankan ialah Siti Mastura seperti tidak belajar daripada “keterlanjurannya” sebelum ini. Pada 29 Nov tahun lalu, tiga pemimpin DAP -Lim Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok – memfailkan saman berasingan terhadapnya kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng dan Kuan Yew. Siti Mastura didakwa membuat kenyataan itu dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov.
Dalam pernyataan tuntutan, tiga pemimpin DAP itu mendakwa Siti Mastura juga merujuk mereka secara khusus dan langsung mengikuti ideologi komunis apabila mengaitkan hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng. Mereka berkata melalui hubungan kekeluargaan, Siti Mastura mendakwa ketiga-tiganya meneruskan konspirasi komunis Cina yang memudaratkan keselamatan dan demokrasi di Malaysia.
Pada 6 Feb lalu, Guan Eng dan pemimpin parti itu berhujah bahawa Siti Mastura tidak sepatutnya bergantung kepada sumber yang disangkal berhubung dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan komunis dan bekas perdana menteri Singapura. Dalam jawapan terhadap pembelaan Siti Mastura terhadap saman fitnah mereka, Guan Eng, Kit Siang dan Kok mempertikaikan sumber yang didakwa daripada risalah bahan kempen Barisan Nasional (BN).
Ketiga-tiga plaintif menegaskan bahawa defendan tidak boleh bergantung kepada risalah itu sebagai pembelaan kerana ia telah pun disangkal oleh Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil. Selaku seorang Ahli Parlimen berkelulusan PhD, Siti
Mastura, kata mereka, sepatutnya melakukan usaha semakan sewajarnya.
“Adalah kewajipan tokoh akademik atau pengkaji sepertinya yang terlatih dengan teknik dan protokol, sebagai peraturan, melakukan usaha wajar dan sedar bahawa hanya bahan yang antara lain, tulen, berwibawa dan boleh dipercayai untuk disandar dan bukannya bahan lain. Jika gagal, mana-mana rujukan kepada penerbitan BN Comms yang tidak sahih, tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai, yang kewujudannya telah dinafikan oleh BN sendiri, boleh disifatkan sebagai antara lain, sangat tidak bertanggungjawab, melulu dan sangat cuai. Oleh itu, kajian yang didakwa oleh defendan mengenai perkara itu adalah tidak masuk akal dan tidak wajar bagi seorang ahli
politik dan lebih-lebih lagi seorang pemegang ijazah kedoktoran,” kata ketiga-tiga plaintif.
Pada 29 Mac lalu, FMT melaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Jika Siti Mastura perlukan satu nasihat, segeralah dapatkan seorang pegawai penyelidik. Di sebalik ia memerlukan sedikit biaya daripada Ahli Parlimen Kepala Batas itu, bantuan sedemikian akan dapat menghindarkannya daripada masalah berulang pada masa depan. FMT
Siti Mastura jadi bahan lagi
Baca Artikel Menarik:
- Ramai MC penat tempuh kesesakan
- Ambil tindakan terhadap Hezry Yasin – Wanita UMNO
- Roy lega ibu jari kaki tak perlu dipotong
- Hattan hilang adik pada Syawal kelima
- Perbandingan Tentera Iran-Israel, siapa lebih kuat? [VIDEO]
- Kes Madu Marissa Dania, Kakak Misya Mazlan pula bersuara
- Amaran Iran buat Israel, ‘jangan bertindak balas, dendam sudah terlunas
- Sanggup beratur panjang hampir 2 jam hanya untuk ‘kencing dan berak’ [VIDEO]
- Kes tembakan KLIA: Ustazah Farah Cie dinasihat tidak buat kenyataan
- Suami isteri maut, motosikal berkuasa tinggi BMW terbabas jalan Jeli-Dabong
- Ji Zia dibidas, hanya Lee Chong Wei layak bercakap soal imej
- Pusat beli-belah di Sydney diserang, enam maut termasuk kanak-kanak
- Sanggup tikam rakan dan sumbat mayat ke dalam peti ais
- Ikan bandaraya pemusnah ekosistem, ikan patin, tilapia & lampam hampir pupus
- Syasya tinggalkan Dolla
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Peniaga tembikai agih buah kepada pengguna jalan raya [VIDEO]