Usaha pinda Perlembagaan angkat bidang kuasa Mahkmah Syariah disokong penuh – PAS

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah membuka jalan memartabatkan perundangan Syariah agar ditempatkan pada kedudukan yang sebenar.

Pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pelindung agama Islam di negeri-negeri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan Perikatan Nasional akan menyokong penuh segala usaha meminda Perlembagaan untuk mengangkat bidang kuasa mahkamah syariah.

“Jika sebelum ini Pas hanya memiliki 18 orang anggota Parlimen dan kerajaan waktu itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga seperti sekarang, maka sekarang adalah waktu yang terbaik bagi kerajaan untuk membawa perubahan Perlembagaan agar kedudukan Mahkamah Syariah ditempatkan pada posisi yang sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tuan Ibrahim berkata, penegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bahawa keputusan ini tidak berkaitan dengan doktrin Islam tetapi lebih kepada interpretasi undang-undang dan merupakan suatu yang perlu direnungi bersama dalam konteks penghormatan terhadap kedudukan syariah dalam perlembagaan negara.

“Asas utama penghakiman adalah kerana kesalahan tersebut telah ada dalam Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya membicarakan kes yang sama.

“Pertanyaannya, siapakah yang terlebih dahulu menggubal enakmen bagi kesalahan yang telah dibatalkan itu? Kita mengetahui bahawa undang-undang Islam telah digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan.

“Kaedah perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam mahkamah syariah jelas berbeza daripada syarat dalam mahkamah sivil selain syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam memiliki sistemnya yang tersendiri.

“Maka, menyatakan bahawa mahkamah sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat, kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam,” jelasnya.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, peristiwa itu mendedahkan kesan dramatis yang ditinggalkan penjajah, yang secara tidak langsung telah mengubah landskap perundangan negara di mana meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sehingga terbentuknya sistem mahkamah syariah, namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh.

Beliau berkata, pertindihan kesalahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil seharusnya telah selesai sejak adanya peraturan yang membahagikan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

Selain itu, menurut beliau, sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahas dalam Dewan Negeri telah melalui penapisan dan penelitian dari Penasihat Undang-Undang Negeri, yang merupakan wakil dari Pejabat Peguam Negara.

“Beliau tentunya telah meneliti secara mendalam sebelum RUU tersebut digubal untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan setelah diluluskan, RUU tersebut sekali lagi dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri sebagai pemimpin agama Islam negeri-negeri.

“Dengan pembatalan ini, banyak pihak yang seharusnya bertanggung jawab dalam hal ini dan yang jelas, bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan peranannya dalam melaksanakan perintah Allah menjadi semakin mencabar.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran Allah, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang-bayang undang-undang ciptaan manusia yang bersifat sekular,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, isu ini seharusnya tidak menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya di kalangan umat Islam, kerana keharusan untuk melaksanakannya merupakan perintah Allah yang jelas kepada seluruh umat Islam.

Beliau turut menegaskan, usaha untuk memperjuangkan kedudukan hukum syarak tidak seharusnya menimbulkan perpecahan atau dipolitikkan.

“Sebaliknya, ini adalah saat bagi umat Islam dan pihak berwajib untuk bersatu, mencari solusi yang memperkuat peranan syariah.

“Kita harus mengambil pelajaran dari kejadian ini sebagai momentum bergerak ke depan tanpa putus asa sehingga perundangan Syariah dapat terus menjadi cahaya petunjuk dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat, sejalan dengan prinsip keadilan dan kebenaran yang diajarkan oleh Islam,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rafizi yang akan ‘terbakar’ jika terus temberang

Vida geram Marissa jadi penyondol

Kecantikan Marissa bikin ramai cair

Rekod Nasi Kandar Sulaiman pecah lagi, kali ini RM222

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker