Pakar sangkal peguam, Najib tidak boleh mohon parol

KUALA LUMPUR: Pengurangan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak menghalang bekas Perdana Menteri itu untuk memohon perintah parol bagi menjalani hukuman pemenjaraan di luar penjara.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, berkata ia selari Seksyen 46E(6)(a) Akta Penjara 1995 (Akta 537) yang membataskan hak parol bagi tahanan jika mendapat lega hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan

“Najib tidak layak memohon parol, kerana peremitan (pengurangan) hukuman sudah diberikan Lembaga Pengampunan.



“Ini kerana, perintah parol itu sendiri bertujuan menggalakkan kelakuan baik dan kerajinan serta memudahkan pemerlakuan pemulihan seseorang banduan.

“Asas sama turut diberi pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Najib dilapor diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Najib boleh keluar penjara seawal Januari 2025



Selain pembebasan awal, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, juga mengumumkan denda perlu dibayar Najib, dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh pemenjaraan Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Najib, 70, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor sejak 23 Ogos lalu, selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.



Mengulas kemungkinan rayuan terhadap keputusan peremitan hukuman, Wan Ahmad Fauzi berkata, perkara itu tidak boleh dibuat menerusi proses kehakiman, kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah proses ‘mercy’, bukan prosiding mahkamah.

“Justeru, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada ingin melaksanakan prerogatif baginda kerana tiada peruntukan yang membataskan kuasa berkenaan dan tafsiran mahkamah jika isu berkenaan timbul nanti.

“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga tidak membezakan keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan mana-mana Yang di-Pertuan Agong. Justeru, tidak timbul isu raja mana yang menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya sama ada Lembaga Pengampunan perlu mendedahkan keputusannya kepada umum, Wan Ahmad Fauzi berkata, tiada peruntukan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tindakan sedemikian.



Menyokong pandangan itu, seorang lagi pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata Najib tidak layak untuk menjalani perintah parol, selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima peremitan hukuman.

“Logiknya, apabila hukuman sudah jadi separuh, macam mana boleh (mendapat pelepasan) parol lagi. Ini seolah-olah ‘double advantage’ (manfaat berganda).

“Lega hukum atas alasan ditentukan Yang di-Pertuan Agong, apa jua alasannya ‘privilege’ (keistimewaan) sudah diberi kepada Najib. Seksyen 46E(6)(a) Akta 537 amat jelas. Lega hukum diberi, maka hilang peluang untuk parol,” katanya.

Beberapa pengamal undang-undang sebelum ini berpendapat Najib mungkin berpeluang dibebaskan lebih awal dari 23 Ogos 2028 kerana boleh memohon perintah parol.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tanggal semua kemudian berambuslah – KPN



Akim diganggu perempuan miang nak menyondol

Norreen Iman silap tayang badan, tunjuk perut

Kemasukan wanita disyaki pelacur ‘unik’, lepas tanpa cop

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker