PH-BN akan ‘ajar’ PN di PRK Pulai

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram atas faktor kubu kuat UMNO dan diplomasi politik baik yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, agak sukar untuk Perikatan Nasional (PN) menembusi kawasan tersebut kerana penyatuan akar umbi UMNO di Johor sangat kuat seperti berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu yang didominasi oleh Pas.

Katanya, dengan semangat tersebut, akar umbi UMNO dijangka memberi undi mereka kepada calon PH.

“Pada PRK di Johor kali ini, PH-BN sukar digugat walaupun terdapat segelintir akar umbi yang mungkin berpaling arah, namun saya jangkakan perkara itu tidak akan berlaku kerana sentimen UMNO di Johor sangat kuat dan menebal.

“Jadi, saya rasa ia tidak memberi masalah kepada gabungan kedua-dua parti itu untuk mengekalkan kemenangan mereka. Lebih 80 peratus PH-BN akan menang dengan selesa,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin pada 23 Julai lalu.

Noor Nirwandy berpandangan, dengan jumlah majoriti besar yang diperoleh oleh Salahuddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gabungan undi BN, ia menguatkan lagi penguasaan PH-BN di kawasan tersebut.

Seorang lagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpendapat, tidak mustahil akan berlaku penolakan UMNO di peringkat akar umbi kerana sentimen parti besar orang Melayu itu bekerjasama dengan DAP seperti mana yang berlaku pada PRN yang lepas.

Ujarnya, ada segelintir penyokong UMNO mungkin akan menunjukkan protes mereka dengan tidak keluar mengundi atau memberi undi kepada calon PN.

“Kalau ikut trend PRN baru-baru ini, ada sebanyak 30 hingga 40 peratus penyokong UMNO lari terutamanya di kawasan parti itu tidak bertanding. Bagaimanapun, di Parlimen Pulai ini saya tidak berani cakap kerana tiada data,” jelasnya.

Ditanya sama ada PN mampu merampas Parlimen Pulai atau tidak, beliau berpendapat, ia tidak akan berlaku memandangkan faktor demografi iaitu jumlah pengundi bukan Melayu lebih tinggi berbanding Melayu.

“Jadi kalau tengok atas kertas PH-BN masih boleh menguasai kawasan tersebut, cuma PN mungkin mempunyai peluang sekiranya jumlah ahli UMNO yang turun mengundi rendah dan undi mereka berpecah terutamanya di DUN Simpang Jeram,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ustaz Azhar Idrus hentam Abang Tesla

Jangan jolok sarang tebuan – Puteri Sarah

Termuntah tengok video Abang Tesla – Ridhuan Tee

Diana Danielle jawab isu ‘buat’ hidung

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker