Sanusi dan Mahfuz, siapa yang bijak mencatur?

Sanusi dan Mahfuz, siapa yang bijak mencatur?

ENAM negeri terbabit dalam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini, namun Kedah paling mencuri perhatian apabila Barisan Nasional (BN) dengan dokongan Pakatan Harapan (PH) kelihatan begitu bersungguh mahu merampasnya daripada Perikatan Nasional (PN).

Kesungguhan gabungan PH-BN untuk merampas negeri Jelapang Padi itu menyaksikan ramai pemimpin dalam kerajaan dan kedua-dua parti itu, silih berganti turun berkempen menerusi pelbagai program peringkat Pusat yang diadakan di Kedah.

Masa sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PN, diasak pemimpin PH, khususnya Datuk Seri Saifuddin Nasution, dengan isu dakwaan terbabit dengan perlombongan haram unsur nadir bumi (REE).

Berikut adalah sesi soal jawab Berita Harian (BH) bersama Muhammad Sanusi dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, mengenai harapan masing-masing bagi mempertahan dan menawan Kedah pada PRN kali ini.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor

S: Bagaimana Datuk Seri melihat dengan kempen yang hampir seminggu berjalan ini.

J: Kempen berjalan dalam landasannya. Sebagai parti yang bertentangan (tidak sehaluan) dengan Kerajaan Persekutuan, maka cabarannya lebih besar. Namun, kita dapat atasi apa saja halangan depan kita, saya nampak kempen kini sudah mula menimbulkan gelombang kesan lanjutan gelombang yang pertama. Cuma kali ini nadanya berlainan sikit, dan gelombang itu masih ada yang akan memberi kesan berlainan dalam PRN ini.

S: Dalam minggu pertama kempen ini, bagaimana Datuk Seri melihat perkembangannya dari segi sentimen dan penerimaan pengundi?

J: PRN ini dulu berkempen mengikut cara tradisi, dan itu sukar kerana maklumat yang hendak disampaikan menjadi lambat, lebih lagi kerana kita menentang ‘rejim’ Kerajaan Persekutuan. Namun, Alhamdulillah dengan adanya media sosial, kita ada pasukan kempen yang hebat. Sekarang ini, (kempen kita) sama cepat dengan kerajaan, jadi dari segi media walaupun tidak dapat capaian media arus perdana dan tidak dapat masuk televisyen – liputan media itu tidak ada ..Alhamdulilah maklumat kita kini semakin cepat dengan menggunakan kaedah lain. Saya rasa saingan dari segi penggunaan media, sudah sama dan kempen kita berkesan. Dalam seminggu ini, tidak nampak yang kekok, tidak ada dengar yang sangkut…saya rasa ini satu ‘ground’ yang baik untuk kita.

S: Bagaimana pula dari segi penerimaan pengundi.

J: Alhamdulillah, pengundi sekarang ini menerima dengan baik. Semua orang pun kini ada gajet, maklumat kita masuk melalui gajet sampai ke dapur rumah orang. Ada makcik yang umur 70 tahun pun dah pandai ‘kais’ (scroll) telefon demi dapatkan maklumat kempen kita. Nampak positif Alhamdulillah.

S: Sebelum DUN bubar, PN ada 21 kerusi manakala PH-BN ada 13, manakala dua dari PEJUANG, keseluruhannya 36 kerusi. Selepas seminggu kempen PN nampak menetapkan sasaran menawan 36 kerusi berbanding 33 sebelum ini, adakah relevan 36 kerusi ini dicapai PN.

J: Pada pandangan saya, ia masih relevan kerana itu berdasarkan data. Ini kerana data dulu berasingan. BN data asing, PH asing dan PN angkanya asing. Apabila PH bergabung dengan BN, kempen kita Undi BN dapat PH, undi PH dapat BN. Ini lebih berkesan lagi kerana kedua-dua parti itu ada masalah masing-masing, jadi kempen kita tidak teruk sangat. Dulu kita kena serang dua kubu sekarang kita serang satu kubu saja. Sekali jalan senang. Tidak ada masalah dan ada kelebihan kepada kita. Diakui BN mendapat sokongan dan bantuan PH, namun jika kita melihat dalam konteks undi ketika kerusi Parlimen pada PRU15, kelebihan tetap kepada PN. Kalau mereka bergabung pada PRU14, mungkin ada kelebihan tapi mereka teruk juga jika mengambil kira kerusi parlimen. Bukan senang jika mengambil kira majoriti yang kita menangi, kerana ada yang kita menang dengan 30,000 (majoriti) dan jika mereka hendak mendapatkan setengah daripada itu pun sekurang-kurangnya 15,000 undi, itu pun bukan senang.

S: Jika gagal mendapat 33 kerusi seperti disasarkan, adakah ini bermakna PN dianggap sudah gagal.

J: Tidak juga kerana ketika ini, kita ada 21 kerusi dan jika dapat 25 kerusi pun masih boleh menubuhkan kerajaan. Kita memang meletak matlamat tinggi…kita letak di langit dan jika sampai di awan pun Alhamdulillah. Saya masih yakin…’Ku sangkutkan harapan di langit dan jika sampai di awan biru alangkah baiknya’.

S: Pelbagai isu dikaitkan dengan Kedah, serangan dan pembelaan tertumpu di negeri ini termasuk serangan kepada Datuk Seri sendiri yang dikaitkan dengan isu penerokaan unsur nadir bumi (REE). Adakah ini akan menurunkan sokongan pengundi kepada PN di Kedah.

J: Saya rasa tidak (hilang sokongan). Ini kerana orang Kedah sendiri faham, yang buat serangan itu orang luar. Orang Kedah faham, kerana sebelum ini sudah ada tindakan. Apabila ‘hang dok tenyek lagi maka nampak ‘hang’ jahat. Kita sudah jawab sepenuhnya apa yang kita ada, saya rasa tidak ada apa yang hendak disembunyikan pun. Jadi mereka bina naratif, bina persepsi bahawa yang kita ada salah laku tatakelola dan sebagainya. Perkara ini sudah dijawab jabatan dan agensi berkaitan. Kita juga dengan penuh keyakinan hadapi isu ini sebab kita tidak buat salah apa, dan isu ini tidak pergi ke mana pun, sesekali ini akan ‘makan tuah’, ‘makan diri’ mereka sendiri.

S: Apa pendekatan Datuk Seri ambil dalam hal ini sama ada membiarkan perkara ini terus berlaku atau melepaskannya atau serangan ini dilihat satu kelebihan kepada PN.

J: Kita menjawab fakta sebenar di pihak Kerajaan Negeri. Ada pun jika ada, mereka mahu mereka-reka cerita, menambah-nambah, itu terpulang. Kita serahkan kepada masyarakat untuk menilai. Sekarang kita menjawab apa yang patut saja. Ya, sudah tentu kita ada kelebihan kerana mengapa mereka (PH-BN) menyerang Kedah. Saya juga terfikir mengapa mereka menyerang Kedah, adakah kita ada kelebihan, seolah-olah pilihan raya hanya ada di Kedah. Sekarang saya lihat semua jentera Kerajaan Persekutuan datang termasuk Menteri dan Timbalan Menteri dan ‘top-top gun’ semua turun. Apabila serangan kuat, secara organiknya kita menjadi kuat untuk bertahan dan ini proses biasa dalam politik.

S: Ini mengenai calon PN, adakah mereka cukup kuat untuk membawa kemenangan kepada PN kerana ada calon yang dilihat tidak pandai bercakap dan berceramah.

J: Bagi calon baharu yang pertama kali, mereka tidak biasa dan saya rasa mereka gemuruh. Gemuruh ini tetap ada walaupun kali kedua (bertanding). Ini proses biasa. Kita tidak pilih calon Ahli Dewan Undangan (ADUN) ini yang semua pandai cakap. Lazimnya, orang yang pandai cakap ini, tidak pandai buat kerja. Ada orang yang ‘multi talent’ banyak bakat. Ada orang yang bila kerja pandai tetapi cakap ini kurang sikit. Contohnya penulis, mereka ini kalau menulis pandai kalau suruh cakap kurang sedikit. Begitu juga yang pandai buat kerja, mereka kurang bercakap. Kalau orang pandai bercakap, biasanya kerja tidak jadi. Ramai pemimpin yang saya kenal, kerja tak buat dan kerja tidak jadi. Kalau hendak ukur prestasi calon dari segi pandai bercakap, saya rasa tidak betul. Ini kerana, kita nak pilih mereka yang boleh bekerja. Calon kita ini ada 12 kluster. Ada ulama, ahli sukan, orang berpengaruh dalam masyarakat, ada bekas guru, pensyarah, ahli akademik dan ahli perniagaan. Ini rentas sektor, bidang, usia dan ini kita ‘balut’ dalam PN. Calon kita ini adalah tawaran yang menarik untuk rakyat Kedah. Kita bertanding sebagai satu ‘team’, manifesto pun kita kongsi bersama.

S: Bagaimana dengan undi pengundi atas pagar, pengundi pertama kali dan penyokong parti Pejuang Tanahair dan apa strategi PN menarik kumpulan ini?

J: Saya rasa penyokong PEJUANG akan menyokong PN kerana mereka dulu dalam BERSATU dan kebanyakan mereka mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong PN. Mereka tidak akan lari kepada PH. Itu tidak membimbangkan. Saya harap juga penyokong MIC dan MCA yang mana calon mereka tidak bertanding akan memberi sokongan kepada PN. Saya berharap perkara ini kerana ada ‘bunyi-bunyi’ mereka akan menyokong kita dan harap ini akan menjadi kenyataan. Inilah nasib dua parti tertua dalam BN apabila UMNO sudah berkawan dengan PH, rakan lama tidak mendapat kerusi. Kesian kepada mereka, tentu ada perasaan sedih itu dan ini perlu diterjemahkan di kertas undi, undilah PN. Untuk itu, rakyat Kedah keluarlah beramai-ramai dan keluar awal. Bagi mereka yang berada di luar Kedah, baliklah untuk membuat pilihan. Kerajaan Negeri ini bergantung kepada keputusan yang anda buat. Saya harap prestasi yang kita persembahkan untuk tiga tahun ini dapat memuaskan hati dan banyak lagi selepas 12 Ogos ini, kita rancang untuk membina “The Greater Kedah.

Datuk Mahfuz Omar

S: Sebagai Jeneral Pilihan Raya untuk PH di Kedah ini, apakah yang dirasai ketika berhadapan cabaran getir dalam PRN.

J: Saya melihat ini satu tanggungjawab yang sangat berat. Saya tidak pun sangka akan dipilih bertanding di DUN Alor Mengkudu. Saya mengetuai PH di Kedah ini sejak tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15. Saya mengambil tugas dan tanggungjawab ini selepas berbincang dengan kawan-kawan dan mempersiap jentera kita dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN). Alhamdulillah, kita dapat bergerak dengan cara yang baik

S: Apa yang boleh dikongsikan mengenai kempen PH-BN pada minggu pertama PRN ini. Bagaimana penerimaan pengundi terhadap kempen di Kedah

J: Kempen ini bermula sejak penamaan calon. Pada hari penamaan calon, kita masih sejuk dengan kehadiran kedua belah, yang dilihat kehadirannya sama banyak berbanding PRU15. Saya akui jumlah kehadiran dari PN itu lebih besar dari PH, begitu juga BN lebih besar dari PH di kebanyakan tempat di Kedah. Dengan gabungan kedua-dua PH dan BN, kita nampak dengan kekuatan PN itu lebih kurang sama banyak, malah ada sesetengah tempat kita lebih mengatasi. Antaranya di Padang Terap dan Kuala Kedah. Ini menunjukkan kekuatan PN itu tidak nampak pada penamaan calon dan mereka mereka gagal lebih awal. Pilihan raya ini macam orang main toi, jika kita gagal memecah tembok yang pertama maka ia akan berterusan sampai akhir tetap sukar untuk memecah tembok. Jadi, kempen pula masih perlahan dan masih sejuk, selalunya memang begitu dalam tradisi pilihan raya, minggu pertama masih sejuk. Kepanasan berlaku pada minggu kedua. Namun, penerimaan pengundi sangat hebat bagi saya. Apabila saya turun ke bawah, pengundi dari BN ini mulai faham apa kerjasama yang dilakukan dan kebaikan daripada gabungan perpaduan sehingga membentuk Kerajaan Malaysia Madani. Inilah keinginan mereka ingin lihat, Kedah harus sama dengan kerajaan pusat, Kedah Kerajaan Perpaduan Madani.

S: Apa komen Datuk, apabila Menteri Besar Kedah menyatakan, PN mampu mendapat 33 kerusi?

J: Kita harus bercakap dalam bahasa realistik, saya cuka bercakap dalam bahasa realistik tapi saya lihat Sanusi bercakap dalam bahasa bombastik. Bombastik ini hanya nak memberikan keyakinan kepada dirinya dan ahli serta penyokongnya. Saya pun boleh kata dalam bahasa bombastik, saya boleh kata kita menang 30 kerusi, sudah dapat dua pertiga. Namun, saya tetap bercakap dalam bahasa realistik di mana-mana saya kata, apa yang kita lakukan dan simulasi kita buat, saya yakin 16 kerusi dalam tangan walaupun itu belum dapat membentuk kerajaan. Ini bahasa yang realistik, saya bercakap benar dan tidak mahu berbohong kepada ahli. Saya hendak ahli bekerja dan bergerak ke arah untuk mendapat tambahan sekurang-kurangnya tiga kerusi lagi untuk memastikan kita mendapatkan majoriti mudah. Majoriti mudah ini bagi membentuk kerajaan. Sebab itu saya yakin jika 16 kerusi ini dalam tangan maka sudah pasti jika kita dapat menganjak dan menarik balik undi yang lari dari PH dan BN pada pilihan raya umum yang lalu. Kita hanya perlu menarik 10 peratus undi saja, insya-Allah kita dapat mengatasi 19 kerusi, majoriti mudah. Simulasi ini dibuat oleh team dalam PH, juga dari seorang pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pelajar PhD dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP). Mereka mendapat penemuan sama, 16 kerusi tetap dalam tangan dan kita hanya perlukan 10 peratus bawa balik kerusi yang hilang dalam PRU, saya yakin dengan penemuan ini, Insya-Allah.

S: Ini mengenai serangan ke atas Menteri Besar Kedah oleh PH-BN yang dilihat sebagai satu kelebihan kepada PN. Apa pandangan?

J: Sekarang ini pengundi yang percaya kepada pengetahuan dan tidak lagi bermain kepada sentimen. Pada pilihan raya lalu, mereka bermain dengan sentimen dan ini sudah mula menurun. Sebab itu kini saya berkeyakinan. Tsunami tidak berlaku setiap hari, ombak laut tidak berlaku sepanjang masa, jika ombak berlaku sepanjang masa, nelayan tidak dapat ke laut, kita pun tidak dapat makan ikan. Rakyat sudah mula melihat kepada pemikiran dan fakta, sebab itu tiada orang yang punya pemikiran yang jelas dengan apa yang berlaku ini, mereka perlu untuk mempertahankan Sanusi dan PN. Perkara ini sudah jelas seperti isu REE, isu penghinaan raja, menghina individu dan peribadi – isu gigi Rafizi, Menteri Besar tidak cukup inci, malah adik sendiri diabaikan di khalayak ramai. Maka, saya tidak fikir ada orang akan mewarisi adap dan akhlak ini kepada generasi akan datang. Saya tidak mahu mewariskan kepada generasi akan datang dengan adab dan akhlak ini kepada masyarakat kita. Siakap senohong gelama ikan duri, cukup cepat berbohong, cukup cepat mencuri. Bagi saya isu REE ini, satu perkara yang besar, kerana mereka selalu menwar-warkan mereka mempunyai nilainya RM60 bilion, tapi satu sen pun tidak diberikan orang Kedah . Sebaliknya, entah siapa membawa lari RM13 juta, ini kelemahan pentadbiran kerajaan itu sendiri.

S: Ini mengenai calon PH-BN yang ditampilkan kali ini, boleh jelas kerana di pihak lawan, ada calon yang tidak pandai bercakap dan sebagainya.

J: Calon ini satu ‘line up’ yang menggabungkan mereka yang ada pengalaman, ada pencapaian individu dan profesional. Contohnya calon baru, di Bukit Kayu Hitam, Cikgu Non pakar matematik yang kini ada kelas tuisyen dan sangat dikenali dan diakui Kementerian Pendidikan (KPM), begitu juga calon kita di Jitra seorang ahli perniagaan berjaya, dan ini beliau ada kemampuan menguruskan tempat yang ditandinginya. Kita ada calon berpengalaman seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet. Kita ada juga calon bekas exco seperti Asmirul Anuar Aris dan Datuk Zamri Yusuf. Saya juga bekas Timbalan Menteri yang tahu soal pentadbiran berbanding calon PN. Kita lihat selama tiga tahun kerajaan ini hanya membiarkan Muhammad Sanusi melaksanakan ‘one man show’, manakala Exco Penerangan jarang membuat kenyataan dan menjadi jurucakap kerajaan.

S: Bagaimana dengan undi dari parti PEJUANG yang tidak bertanding akan memberi undi kepada PH-BN dan bagaimana dengan pengundi atas pagar?

J: Saya tidak nampak PEJUANG akan bersama dengan PH-BN. Namun, dari segi penyokong mereka, sebahagiannya mempunyai jiwa tidak mahu bersama dengan parti menunggang agama, saya memahami selok belok mereka ini dan sebahagian mereka sudah pun bersama AMANAH. Bagi pengundi atas pagar dan kali pertama, saya percaya dengan gambaran yang ada kini, apa dilakukan Kerajaan Persekutuan, saya percaya mereka akan bersama Kerajaan Perpaduan. Ini menjadi keinginan mereka untuk melihat Kerajaan Negeri perlu bersama Kerajaan Pusat. Jika Kerajaan Negeri tidak bersama Kerajaan Pusat maka Kedah sukar hendak melangkah lebih jauh. Sebab itu, kerajaan sudah umumkan RM3 bilion untuk memperbaiki saliran air dan pembangunan infrastruktur Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Saya percaya tanpa kerajaan negeri dalam projek ini terutama dalam isu pengambilan tanah, maka projek ini tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat kepada masalah dan keperluan sebenar sektor pertanian di negeri jelapang padi sumber makanan negara berbanding usaha Muhammad Sanusi yang hanya tumpu kepada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). Realitinya, ini berkaitan dengan soal pemakanan negara kita. Di kesempatan ini, saya yang akan bertanding di DUN Alor Mengkudu, yang dulunya dikenali sebagai DUN Tanjong Seri di bawah Parlimen Pokok Sena yang kali pertama saya wakil pada 1999, satu kawasan yang bukan asing bagi saya. Saya tahu selok belok di DUN Alor Mengkudu kerana pernah berkhidmat di sana. Saya mengharapkan dokongan dan sokongan pengundi di Alor Mengkudu ini akan dapat menjadi penyumbang bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan Kedah Madani. Kita akan memberikan satu yang terbaik kepada rakyat Kedah seperti insuran percuma, caruman Perkeso untuk pekerja GIG ekonomi, rumah transit dan ‘rent to own’ – sewa untuk dimiliki bagi anak muda dan kita menghidupkan Kasih Ibu Darul Aman kad KIDA- untuk golongan miskin tegar dalam usaha menoktahkan kemiskinan melalui bantuan dapur bernilai RM300 kepada suri rumah. BH

Sanusi dan Mahfuz, siapa yang bijak mencatur?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ira Kazar padam gambar dengan Syamsul tak tahan kena ‘serang’ netizen

Saya redha diceraikan Rosland

Riena Diana terima mesej lucah, merajuk padam gambar IG

Agong Hafal Lagu Ameng Spring – Netizen Teruja (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker