Khairy pilih PKR atau BERSATU?

Khairy pilih PKR atau BERSATU?

Teka teki masa depan politik Khairy Jamaluddin kembali diperkatakan selepas bekas Menteri Kesihatan itu hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Kehadiran Khairy dalam perbincangan bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi, termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan, selepas dipecat daripada UMNO pada 27 Januari lalu.

Tanda tanya juga timbul berikutan tiada perkhabaran terkini mengenai tawaran daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Khairy menyertai parti serpihan UMNO itu dan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sejak lima bulan lalu.

Difahamkan, kehadiran Khairy dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu adalah atas jemputan Anwar yang menunjukkan keterbukaan beliau untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak dalam menentukan hala tuju ekonomi negara, termasuk daripada pengkritiknya.

Meskipun pertemuan berkenaan tidak menoktahkan teka-teki masa depan kerjaya Khairy, ia sedikit sebanyak menunjukkan pendirian bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan atas tiket ‘berkhidmat untuk negara’.

Ada pandangan, masa depan Khairy, khususnya untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, adalah lebih cerah jika bersama parti yang bersifat progresif dan sederhana, sesuai dengan ideologi dan pemikirannya.

Atas faktor itu, menyertai parti dalam gabungan PN, sama ada BERSATU atau PAS dilihat tidak sesuai dengan corak pemikirannya, memandangkan kedua-dua parti itu dilihat terlalu konservatif dan perkauman.

Lagipun, sehingga kini Khairy masih belum menerima tawaran Muhyiddin untuk menyertai BERSATU.

Menurut sumber BERSATU, Khairy sedang mempertimbangkan dua pilihan, iaitu sama ada menyertai BERSATU atau menubuhkan parti baharu.

“Khairy hanya sedia menyertai BERSATU sekiranya diberikan jawatan tinggi dalam parti itu, selain belum pasti sama ada mampu menubuhkan parti baharu yang kuat,” katanya.

Bagaimanapun, ada pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan itu mempunyai lebih berpeluang untuk memimpin Malaysia mengikut corak pemikirannya yang progresif jika bersama PKR atau kembali bersama UMNO yang memiliki ideologi lebih sederhana dan terbuka berbanding BERSATU/PN.

Ibarat kepingan ‘puzzle’

Khairy ibarat kepingan ‘puzzle’ yang akan melengkapkan PKR jika beliau memilih untuk menyertai parti itu, apatah lagi beberapa pimpinan kanan PKR seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar adalah sahabat karibnya.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming turut mencadangkan Khairy menyertai DAP kerana parti itu ketiadaan calon Perdana Menteri.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi mendedahkan ada dimaklumkan bahawa Khairy cuba memohon untuk menjadi ahli PKR, namun permohonannya ditolak.

“Khairy sudah melakukan kesilapan besar dalam kerjaya politiknya apabila mengkritik UMNO dan pemimpin parti itu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ia bukan saja menyebabkan UMNO memecatnya, malah menjadi alasan beliau ditolak daripada menyertai PKR kerana mereka berpandangan jika Khairy boleh berbuat demikian pada UMNO, tidak mustahil tindakan itu akan dilakukan pada PKR pada masa depan,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, juga melihat sukar untuk Khairy menyertai PKR kerana UMNO sebagai parti dalam Kerajaan Perpaduan pastinya tidak senang melihat parti pimpinan Anwar itu menerima Khairy.

“UMNO pastinya tidak mahu mana-mana parti yang bekerjasama dengannya menerima mana-mana pemimpin yang dipecat daripada parti itu.

“Namun, beliau juga sukar untuk menyertai BERSATU atau PAS kerana Khairy menolak agenda ultra perkauman dan agama,” katanya.

Situasi itu meletakkan Khairy bagai makan buah simalakama; ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Pemikiran dan corak politiknya dilihat lebih sesuai dengan perjuangan UMNO dan PKR, tapi ditolak, manakala menyertai BERSATU atau PAS pula bererti beliau perlu menggadaikan ideologi politiknya kerana perlu merangkul agenda politik konservatif, kaum dan agama.

Pilihan terbaik untuk Khairy adalah UMNO atau PKR, namun impian menyertai kedua-dua parti itu tidak akan terlaksana selagi mana Anwar masih memimpin sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO.

Justeru, Khairy wajar berehat daripada terbabit dalam mana-mana parti politik untuk beberapa tahun, sehinggalah Anwar tidak lagi mengemudi kerajaan dan PKR, manakala Ahmad Zahid tidak lagi mengepalai UMNO.

Khairy masih boleh kekal aktif menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan atau pembangkang, namun beliau perlu bersabar jika mahu memperbetulkan semula trajektori kerjaya politiknya.

Awang Azman turut berpandangan begitu.

“Selagi Anwar kekal sebagai Perdana Menteri dan pimpinan UMNO yang ada sekarang masih kekal, susah untuk Khairy menyertai PKR atau kembali pada UMNO,” katanya.

Namun, jika beliau berkeras mahu kembali segera dalam kancah politik bagi mengelak jenama ‘KJ’ hilang tarikannya, maka PN khususnya BERSATU, wajar menjadi pilihan terakhir Khairy dan beliau perlulah menjadikan naratif kaum dan agama sebagai agenda politiknya. BH

Khairy pilih PKR atau BERSATU?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ustaz Dusuki Tegur Puteri Sarah

Afiq simpan bukti dicurangi Pachara

Mondy ‘Influencer’ berduit, netizen kritik Ebit Lew

Cangkul kepala ibu saudara kerana berebut tanah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker