Berakhirnya tradisi bersurat
SAYA hanya menerima sekeping kad selamat hari raya setakat ini. Pengirimnya ialah Mohamed Nasser Mohamed, editor perunding Nuha Creative Resources.
Nuha terlibat dalam penerbitan semula beberapa buah novel karya Sasterawan Negara serta menerbitkan pelbagai buku sastera dan buku motivasi.
Buku terbitan Nuha yang terbaru adalah 100 Warkah 1000 Impian Anwar PM-10.
Saya menghantar mesej ini melalui WhatsApp kepada beliau: “Saya penuh yakin inilah satu-satunya kad hari raya fizikal yang saya terima tahun ini!”
Tahun lepas saya menerima sekeping kad melalui pos, daripada Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Mungkin tahun ini Rais tidak lagi menghantar kad hari raya atau saya tidak lagi termasuk dalam senarai penerima kad raya kiriman beliau.
Apa yang jelas, tradisi menghantar kad hari raya nampaknya kian berakhir. Tradisi indah, sopan dan berharga itu akan pupus seperti pupusnya tradisi menulis surat.
Internet mengubah cara kita berinteraksi, berhubung dan bersilaturrahim.
Amalan zaman berzaman menulis surat secara peribadi dengan adab susila serta bahasa yang baik dan tertib sudah berakhir. Hari ini hubungan kita hanya melalui catatan ringkas dengan emoji dan ikon.
Semasa hayatnya, bapa saudara saya yang tinggal di sebuah penempatan Felda di Johor akan saya kirimkan kad selamat hari raya. Setiap tahun beliau menerimanya dengan penuh riang dan bangga, mungkin juga menjadi modal perbualan di warung selepas tarawih.
Namun, sejak tahun 2013 saya tidak lagi menghantar kad selamat hari raya secara fizikal. Semasa saya menziarahnya pada tahun itu beliau menyindir dek kesibukan saya tidak lagi menghantar kad selamat hari raya kepadanya. Sebenarnya saya tidak lagi menghantar kad kepada sesiapapun.
Mungkin bagi generasi saya, tradisi menulis dan berutus surat besar maknanya.
Allahyarham ayah saya menoreh getah pada waktu pagi dan menjadi tukang gunting rambut pada sebelah petang. Sewaktu saya di kampus Universiti Malaya, saya akan menulis surat kepada beliau dari semasa ke semasa.
Pendahuluannya lebih kurang begini: “Adapun pada masa anakanda menulis surat ini anakanda berada dalam keadaan sihat walafiat, diharap berlebih-lebih lagi bagi pihak ayahanda dan bonda serta keluarga.”
Itu adab dan protokol menulis surat pada orang tua. Tujuannya mudah, untuk memberitahu bahawa cuti universiti kali ini saya tidak dapat pulang ke kampung oleh sebab mahu bekerja di kedai motosikal di Bangsar untuk mencari wang saku penggal seterusnya.
Walaupun ayah tidak boleh membaca dan menulis tetapi surat tetap dihantar dan beliau tentu akan mendapatkan sesiapa untuk membacakan surat itu padaya.
Surat sebenarnya satu bidang kesusasteraan tersendiri. Surat daripada kekasih, surat sasterawan kepada sasterawan, surat peminat kepada seorang penyanyi dan sebagainya menjadi bahan yang banyak dirakam dalam bentuk buku. Bukan sedikit karya besar yang bertolak daripada tradisi bersurat.
Semua itu berakhir dengan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang bermula pada tahun 90-an. Menerusi rencana saya yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times bertarikh 12 Ogos 2006 saya menulis tentang SMS deals a death blow to letter writing.
Saya menyebutkan bahawa surat adalah salah satu manifestasi kecemerlangan prosa.
Malangnya, SMS mengubah semua itu. Pada tahun 2006, rakyat Malaysia menghantar 33.2 bilion SMS setahun. Pada tahun 2008 secara purata rakyat Malaysia menghantar 144.9 juta SMS sehari.
Dengan kemunculan telefon pintar pelbagai aplikasi baharu telah muncul, daripada Facebook (FB) hingga ke WhatsApp, surat dan kad ucapan hari raya perlahan-lahan ditinggalkan. Malah, kad jemputan majlis perkahwinan kini bertukar kepada digital.
Banyak orang mengatakan bahawa proses pendigitalan menyebabkan kurangnya penggunaan kertas. Semua urusan berlaku ‘tanpa kertas’. Hal ini sebenarnya tidak berlaku.
Memang benar ada usaha untuk mengurangkan penggunaan kertas. Tetapi penduduk dunia masih jauh lagi untuk mencapai tahap hidup tanpa kertas.
Malah, di tengah gelombang digital, penggunaan kertas sebenarnya semakin bertambah.
Keperluan global untuk kertas adalah 106 juta tan setahun, meningkat lebih 14 peratus setiap tahun dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.
Dalam konteks kad ucapan sahaja secara global 7 bilion kad masih dihantar.
Apakah kita akan menyelamatkan pokok dan hutan dengan mengurangkan penggunaan kertas? Sepatutnya begitu. Dalam konteks penggunaan di pejabat secara purata seorang petugas di Amerika Syarikat (AS) menggunakan 10,000 helai kertas setahun. Penggunaan kertas di AS sahaja memerlukan 335 juta pokok atau 45 bilion liter bahan api setahun.
Kertas menyumbang pada kemusnahan hutan. Daripada 7.8 juta hektar setahun hutan yang musnah setiap tahun, tidak kurang daripada 40 peratus berpunca dari keperluan membuat kertas.
Kertas juga menyumbang pada 26 peratus jumlah sisa buangan.
Apabila kita bercakap tentang kertas, ia bukan sahaja kertas tulis yang dimaksudkan tetapi kotak, kertas pembungkus, kertas tandas dan lain -lain.
Jadi, kertas tetap digunakan, menyumbang pada deforestasi dan merosakkan alam sekitar.
Sama ada Mohamed Nasser menghantar kad hari raya atau tidak pada era digital ini, kertas masih digunakan secara berleluasa.
Malah, sekiranya dilebarkan kertas yang digunakan oleh manusia dalam setahun, ia boleh menutup permukaan bumi sebanyak dua kali!
• Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi aktivis seni selain penulis kreatif, kolumnis akhbar New Straits Time, Berita Minggu dan The Star.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Emraz batal bayaran balik umrah tertangguh
- Baju Melayu ‘low’ kualiti, pemasaran bukan main gempak
- Diana Danielle lancar apa pulak tu
- Atu digelar anjing, enggan halalkan duit RM30 ribu
- Sharnaaz Ahmad dah ada kekasih tapi malu nak cerita
- Sami India Mahu Tawan Kota Mekah
- Putera Mateen Lengkap Berbaju Melayu Di Masjid Nabawi (Video)
- Sharnaaz Ahmad Minta Peminat Hormati Status Noor Nabila
- Lelaki mengamuk kena reject masa ngorat bini orang [VIDEO]
- Shuhada Isteri Hafidz Roshdi umum hamil
- Shila Amzah nafi bini muda ND Lala, Siti Munirah rakan baiknya
- Pelakon High Council, Mierul Aiman teruk dikecam gara-gara vape depan peminat
- Rindu sangat dengan abah – Syada Amzah
- Isteri tak sangka arwah Koperal pulang dalam kain kapan
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.