Awal Ashaari turun padang agih rezeki

Barangan makanan itu adalah hasil sumbangan Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa.

Awal Ashaari turun padang agih rezeki

Tiada yang lebih mengujakan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari apabila diberi peluang menjayakan program Ramadan Madani: Titipan Kasih anjuran Buletin FM dan Usanita Sdn Bhd di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada acara itu, Awal atau nama sebenar, Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, mengagihkan lebih 1,200 bakul makanan dan juadah berbuka puasa kepada golongan miskin bandar dan penduduk Kampung Baru.



Barangan makanan itu adalah hasil sumbangan Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa.

Awal berkata, program kebajikan seumpama itu sangat dekat di hatinya, selain menganggap peluang menjayakannya pada Ramadan sebagai sesuatu yang berharga.

“Program ini sangat dekat di hati. Saya berasal dari Kampung Baru. Masjid Jamek Kampung Baru sentiasa ada program begini.

“Saya sebagai selebriti jarang ada peluang untuk turut sama-sama berganding bahu menjayakan program seperti ini.



“Jadi, projek kerjasama dengan Usanita Sdn Bhd ini suatu inisiatif untuk selebriti turun padang dan sama-sama berkongsi rezeki dengan insan memerlukan.

“Kita tidak mengeluarkan wang ringgit, tetapi sumbangkan tenaga untuk ringankan proses agihan bantuan,” katanya kepada BH Online.

Mengulas pembabitannya dalam program itu, Awal berkata, beliau adalah rakan strategik kepada Usanita Sdn Bhd yang membantu ramai usahawan di Malaysia.

“Saya dilantik sebagai rakan strategik Usanita Sdn Bhd yang berfungsi menaikkan lagi taraf kehidupan golongan B40 dan M40.



“Ramai usahawan yang mahu berniaga dan perlukan inspirasi. Jadi, sebagai selebriti, saya akan berganding bahu dengan beri mereka inspirasi untuk mereka,” katanya.

Pemenang trofi Artis Lelaki Stailo, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-27 ini menambah, dia tidak mahu mensia-siakan peluang beribadat dalam bulan mulia ini.

“Pada Ramadan, saya kurang aktiviti seni. Jadi, saya ada banyak peluang turun padang dan melakukan amal jariah.

“Saya ambil masa peluang untuk bersedekah, jadi saya turut serta bersama mereka,” katanya.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Hasan, berkata sejumlah 220 bakul makanan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, susu, garam dan gula disumbangkan syarikat dan Parlimen Titiwangsa kepada golongan miskin bandar.

Selain itu, Adzliana berkata, sebanyak 1,000 pek makanan berbuka puasa diagihkan kepada penduduk di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru.

“Kita pilih Kampung Baru kerana fokus kita untuk membantu golongan miskin bandar dan asnaf sempena Ramadan yang dianjurkan setiap tahun.

“Selain program hari ini (kelmarin), kita akan memperluaskan sumbangan kepada golongan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sabtu ini.



“Semoga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat meringankan beban ditanggung golongan memerlukan dan kita dapat berkongsi rezeki,” katanya.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Program sumbangan yang bermula selepas solat Asar dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Zoey Rahman, termasuk penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan.

Bulan lalu, Buletin FM yang juga stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA) menjalin kerjasama dengan Usanita Sdn Bhd bagi membantu membangunkan modal insan usahawan terutamanya golongan wanita.



Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran dilaporkan berkata, kerjasama itu menjadi salah satu usaha meningkatkan imej stesen Buletin FM dan memberi kredibiliti yang lebih kukuh, bersama entiti berpengaruh seperti Usanita Sdn Bhd.

Antara program yang dirangka adalah Usahawan Masterclass Buletin FM di mana orang ramai yang mempunyai idea perniagaan atau sudah mengusahakan bisnes berpeluang membentangkan idea mereka bagi merebut dana RM50,000.

Inisiatif lain seperti webinar khas dan Masterclass Buletin yang membincangkan topik dan tip keusahawanan juga digerakkan. BH

Awal Ashaari turun padang agih rezeki

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Da’i Syed tutup episod kes rogol, buka lembaran baru

Syasya Dolla jangan seksi sangat – nenek

Ini sebab Diana tolak tawaran Farid

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker