Persaingan BN-PH di Selangor, 34 kerusi majoriti Melayu jadi rebutan

PENTAS politik di Selangor kini memasuki episod baharu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 17 Mac lalu memaklumkan bahawa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini mengepalai pembangkang, akan bekerjasama dengan kerajaan negeri sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran pada Jun depan.

Perkembangan yang selaras dengan penyatuan UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat melalui Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinilai sebagai satu pendekatan positif termeterainya kerjasama dua koalisi parti terbesar itu di Selangor.

Bagaimanapun, dengan tarikh pilihan raya negeri (PRN) yang akan dilaksanakan kurang tiga bulan, menimbulkan persoalan tentang pembahagian kerusi, sama ada BN akan terus bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tradisi atau sanggup berkompromi dalam memastikan Selangor tidak jatuh ke parti lawan, terutamanya Perikatan Nasional (PN) yang tampil dengan keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Penganalisis politik melihat, mahu tidak mahu, UMNO/BN harus berlapang dada, menerima hakikat bahawa parti diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu tidak mungkin mencapai kejayaan besar jika mengambil kira rentak pasca PRU15.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU15 lalu, jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat sebanyak 52.28 peratus atau 1.26 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,677,848 pengundi.

Sekurang-kurangnya 34 kerusi DUN yang peratusannya melebihi 60 peratus pengundi Melayu semestinya menjadi rebutan antara UMNO/BN dan PH melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, dalam situasi sekarang adalah tidak realistik untuk UMNO/BN bertanding di semua 56 kerusi DUN.

Tegasnya, 34 kerusi DUN di Selangor yang mana peratusan pengundi Melayu adalah 60 peratus dan ke atas sepatutnya menjadi tumpuan UMNO/BN berbanding bertanding di kesemua DUN.

“UMNO/BN di Selangor sebaiknya perlu fokus mengenal pasti kawasan yang boleh dikuasai dan seterusnya segera berbincang dengan PH bagi memastikan tiada pertembungan yang mungkin akan menguntungkan parti lain seperti PN yang turut mengintai peluang di Selangor,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain mewujudkan kesepakatan yang ampuh bersama PH bagi mendepani PRN, Mujibu berpandangan UMNO/BN di Selangor perlu berani menampilkan muka baharu yang meyakinkan dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Penampilan tokoh atau muka baharu ini diperlukan bukan sahaja untuk diangkat sebagai ‘poster boy’ ketika PRN malah ia penting untuk membina keyakinan pengundi terhadap UMNO/BN yang lebih segar.

“Apatah lagi UMNO/BN Selangor gagal merampas negeri itu sejak tahun 2008 disebabkan masalah kepimpinan dan ketandusan personaliti muda yang berani dan berkebolehan untuk diketengahkan,” tambahnya.

Ujarnya, dengan mengambil iktibar daripada kekalahan teruk UMNO/BN di Selangor pada PRU15 lalu, parti itu juga perlu bangkit membina naratif baharu yang bersesuaian dengan citra pengundi di negeri tersebut.“

UMNO/BN wajar mengambil pendekatan bersifat bersederhana berbanding ideologi lama, konservatif-nasionalis.

“Caranya dengan menampilkan idea dan alternatif praktikal dalam menyelesaikan isu-isu yang menyentuh keperluan rakyat dan ekonomi berbanding memainkan isu-isu lapuk yang tidak memberi faedah kepada rakyat serta tidak membantu parti,” kata Mujibu.

Perlu berkompromi

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat, untuk mendepani cabaran PRN terutama di Selangor, UMNO/BN harus sedia berkompromi dengan PH dalam agenda pembahagian kerusi.

Menurut Sivamurugan, pada hakikatnya, UMNO/BN dan PH masing-masing tidak boleh lagi bertanding di semua kerusi DUN, justeru di sinilah posisi kerjasama antara kedua-dua parti akan teruji.

“Kesediaan untuk berkompromi dan berkorban dalam pembahagian kerusi sekali gus dapat membuktikan kerjasama antara keduanya bukan sekadar omong kosong,” katanya.

Tambahnya, ruang dan peluang untuk UMNO/BN kembali menyerlah dalam politik Selangor pada PRN akan datang juga bergantung kepada jumlah sokongan pengundi PH kepada calon BN selain keupayaan UMNO/BN itu sendiri dalam mengekalkan sokongan ahlinya.

“Justeru, masa singkat yang ada ini perlu digunakan oleh kedua-dua parti untuk menyampaikan mesej jelas bahawa calon BN adalah calon PH dan begitu juga sebaliknya.

“Kebolehupayaan perpindahan sokongan dan undi antara keduanya ini boleh dilakukan menerusi kempen strategik dan kesepaduan jentera parti BN dan PH,” ujarnya.Sivamurugan memberitahu, calon yang dipilih untuk PRN mestilah calon ‘boleh menang’ yang juga serasi dengan lokaliti berikutan setiap kawasan mempunyai kecenderungan tersendiri kerana ia adalah kerusi DUN.

“Calon mestilah yang ‘boleh menang’ untuk mudah dijadikan bahan utama tarikan sokongan.

“Malah lebih ramai calon profesional, wanita dan muda perlu ditampilkan sebagai calon.

“Mereka perlu diletakkan di kawasan yang boleh menang dan tidak sekadar memenuhi kuota pemilihan parti,” jelasnya lagi.

Jumlah pengundi berdaftar di Selangor (mengikut data SPR pada PRU15)

> 18-20 tahun 273,703

> 21-29 tahun 845,017

> 30-39 tahun 777,675

> 40-49 tahun 643,095

> 50-59 tahun 539,809

> 60-69 tahun 379,111

> 70-79 tahun 165,218

> 80-89 tahun 45,845

> 90 tahun dan ke atas 8,375

Jumlah: 3,677,848

Kerusi DUN Selangor majoriti Melayu

1. Hulu Klang 87 peratus

2. Sungai Air Tawar 86 peratus

3. Sungai Burung 86 peratus

4. Sungai Panjang 84 peratus

5. Sabak 81 peratus

6. Sungai Ramal 80 peratus

7. Gombak Setia 78 peratus

8. Jeram 77 peratus9. Kuang 77 peratus

10. Kota Anggerik 76 peratus

11. Sementa 76 peratus

12. Selat Klang 76 peratus

13. Paya Jaras 75 peratus

14. Morib 75 peratus

15. Batu Tiga 75 peratus

16. Sijangkang 74 peratus

17. Sungai Kandis 72 peratus

18. Dengkil 72 peratus

19. Hulu Bernam 70 peratus

20. Semenyih 68 peratus

21. Taman Medan 68 peratus

22. Batang Kali 67 peratus

23. Pelabuhan Klang 66 peratus

24. Lembah Jaya 65 peratus

25. Permatang 64 peratus

26. Taman Templer 64 peratus

27. Pandan Indah 63 peratus

28. Dusun Tua 63 peratus

29. Bukit Melawati 62 peratus

30. Sungai Tua 61 peratus

31. Meru 61 peratus

32. Ijok 60 peratus

33. Seri Serdang 60 peratus

34. Kota Damansara 60 peratus

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Farid Kamil tak dapat jumpa anak, dihalang masuk rumah?

Pemandu warga emas ditumbuk, disepak dan rambut ditarik

Mahathir terus-menerus tibai Anwar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker