All England 2023: Zii Jia singkir Naraoka dalam keadaan sukar

Lee Zii Jia terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka 21-9, 10-21, 21-13 pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) 2023 selepas menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, pemain No.4 dunia itu menunjukkan kemampuan sebenar meskipun dipaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan 21-9, 10-21, 21-13.

Turun dengan status sebagai pilihan keempat kejohanan, pemain berusia 25 tahun itu langsung tidak menunjukkan belas kasihan apabila mengasak lawannya dengan pukulan-pukulan smash kencang serta permainan mengelirukan di depan jaring

Perlawanan itu sejak awal lagi dilihat bakal menjadi milik Zii Jia apabila dia menampilkan aksi cukup bertenaga di set pertama sebelum menang mudah 21-9 dalam tempoh 18 minit.

Bagaimanapun, Naraoka yang dianggap bintang sedang meningkat naik memperkemaskan permainan dan menampilkan aksi lebih meyakinkan di set kedua, sekali gus menang 21-10 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Zii Jia yang merupakan juara All England 2021 kembali mendapatkan rentak sebenar sebelum memastikan tempat di separuh akhir apabila menamatkan pertarungan tersebut dengan kemenangan 21-13.

Menanti Zii Jia di separuh akhir esok adalah naib juara dunia 2018 dari China, Shi Yuqi yang memastikan slot lebih awal selepas menyingkirkan rakan senegara, Weng Hong Yang menerusi kemenangan 21-9, 21-16.

Untuk rekod, ia adalah penampilan sulung Zii Jia di pentas separuh akhir pada saingan musim ini selepas dia kerap tersingkir di pusingan awal dalam empat kejohanan terdahulu

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker