Persiapan ilmu & iman menuju Ramadhan

Persiapan ilmu & iman menuju Ramadhan

oleh Dr Amani Nawi

Malam bertukar siang, hari berganti bulan, pejam celik kita sudah pun meninggalkan bulan Rejab dan berada di bulan Syaaban. Ini bermakna kurang lebih sebulan, umat Islam akan menyambut tetamu agung iaitu Ramadan yang saban tahun di nanti dengan penuh kegembiraan dan pengharapan. Antara doa yang tidak lekang di bibir Nabi SAW dan diajarkan kepada kita ialah “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (berkatilah) kami pada bulan Ramadhan.”



Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Musnad Imam Ahmad ini, dapat difahami bahawa ‘persediaan’ sebelum tibanya bulan Ramadhan adalah lebih penting berbanding ‘menyambut’ kedatangan bulan itu sendiri, sehingga Baginda SAW menuntut kepada kita supaya mengamalkan doa terbabit bermula daripada bulan Rejab dan meneruskannya sehingga Ramadhan tiba.

Kesiagaan Ramadhan Salafussoleh

Maal bin Fadhl menceritakan dalam kitab Lataif al-Maarif mengenai tentang orang-orang soleh pada zaman dahulu melakukan persediaan awal sebelum Ramadhan dengan berdoa. Mereka memohon kepada Allah SWT enam bulan lebih awal supaya Allah sampaikan mereka ke dalam bulan Ramadhan dalam keadaan yang paling terbaik dari segi rohani (iman) dan jasmani (kesihatan fizikal). Mereka turut meminta supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Malah, mereka berdoa pula selama enam bulan selepas itu supaya Allah menerima segala amalan yang sudah dilakukan.

Itu keadaan sahabat dan salafussoleh dalam melakukan kesiagaan menghadapi Ramadhan. Walaupun mereka sudah terkenal dengan orang yang kuat dan banyak beribadah, namun mereka tetap berdoa supaya diberi pertolongan untuk melakukan ibadah.



Antara persediaan lain sebelum masuk dalam bulan Ramadhan, sahabat dan Salafussoleh banyak berpuasa di bulan Syaaban. Menurut Aisyah RA, “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami merasakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka, kami sangka bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat Baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban.”

Dalam satu hadis yang lain yang diriwayatkan oleh al-Nasaie, daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban. Nabi SAW berkata: “Manusia sering lalai akan bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan yang mana diangkat amalan-amalan kepada Allah SWT, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

Sabda Nabi SAW ini memberikan kita gambaran mengenai keadaan umatnya apabila hampir kepada bulan Ramadhan. Rata-rata umat Islam lebih fokus kepada ‘sambutan’ berbanding ‘persediaan’. Masjid-masjid mula dihiasi dengan lampu berwarna-warni, kain rentang sambutan dengan pelbagai ucapan mula dilihat bergantungan dan seperti tahun-tahun sebelumnya di Malaysia, tapak bazar akan disediakan di seluruh pelusuk negeri. Tidak ketinggalan restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa akan mula mempromosikan program berbuka puasa dengan pelbagai tawaran istimewa. Televisyen dan radio turut memainkan peranan mereka dalam membuat hebahan dan menyusun siaran.

Tiada langsung salahnya perkara ini dilakukan. Ia mungkin diadakan dengan niat untuk menyemarakkan rasa gembira dan menghangatkan suasana bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bagaimanapun, ia seharusnya tidak melalaikan kita untuk melakukan perancangan dan persediaan kendiri yang rapi supaya keberkatan yang dibawa oleh bulan Ramadan dapat digarap dengan sebaiknya.



Perbaiki ilmu, tingkatkan iman

Nabi SWT bersabda daripada Abu Hurairah RA: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Syarat utama puasa diterima adalah seseorang itu mesti beriman kemudian diiringi dengan ihtisab (mengharap balasan baik daripada Allah). Pengharapan terbina atas dasar iman dan ilmu. Iman manusia sudah tentu ada turun dan naiknya. Maka, persiapan iman sebelum masuk ke bulan Ramadan adalah amat penting dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Iman yang benar perlu kepada ilmu yang benar. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbiya’, Ayat 7: “Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”



Oleh yang demikian, ini adalah waktu yang terbaik untuk kita mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hukum mengenai amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin itu melakukan ibadah dengan berlandaskan ilmu yang betul, bukan sekadar ikutan. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan tiba supaya puasa kita benar-benar diterima dan mendapat ganjaran oleh Allah SWT.

Begitu juga dengan bacaan al-Quran, usaha untuk memperbaiki bacaan seharusnya sudah dilakukan sebelum kedatangan Ramadhan kerana bulan Ramadan adalah bulan untuk kita pecut selajunya.

Seiring dengan persiapan fizikal dan tubuh badan, kita juga perlu mempersiapkan mental dan rohani kita bagi menghadapi Ramadan. Melakukan pembacaan mengenai teknik tazkiyatun al-nafs (penyucian jiwa) dan menghadiri majlis ilmu yang membincang perkara ini akan membantu kita bersiap siaga untuk melaksanakan ketaatan sepanjang bulan Ramadhan.

Sebagai kesimpulan, mari sama-sama kita merancang agenda persiapan dan aktiviti ibadah kita sebelum dan sepanjang Ramadhan supaya kita dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa kita di bulan Ramadhan.



Penulis Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Persiapan ilmu & iman menuju Ramadhan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Che Nom raih RM360,000 sebulan?

Roti Canai nombor 2 di dunia ‘Best Street Foods’

Wasiat secara lisan wajib ditunaikan mengikut permintaan arwah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker