WAKAF ASNB: GABUNGAN PELABURAN SAHAM DUNIA DAN AKHIRAT

WAKAF ASNB: GABUNGAN PELABURAN SAHAM DUNIA DAN AKHIRAT

Amalan berkongsi rezeki sudah menjadi sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan ini didorong oleh nilai-nilai kebaikan, empati dan kasih sayang terhadap manusia melalui pemberian dalam bentuk wang ringgit, harta benda, makanan dan manfaat yang lain. Amalan ini sangat digalakkan dalam ajaran Islam melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261:-

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”- Al Baqarah, Ayat:261

Amalan berkongsi rezeki ini amat berkait rapat dalam memenuhi tuntutan Maqasid Al-Syariyyah. Pengurusan harta merupakan salah satu dari lima maslahat yang diberikan perhatian bawah peringkat Al-Darūriyyāt. Harta merupakan amanah daripada Allah SWT dan perlu diurus dengan baik dan berkesan sebagai pelengkap ibadah dan memenuhi keperluan kebajikan sosial oleh golongan yang memerlukan. Islam menganjurkan amalan mulia dan amat menggalakkan pemegang harta berkongsi rezeki atau menyerahkan harta kepada Allah bagi tujuan kebaikan.

Terdapat beberapa instrumen pengagihan kekayaan kepada masyarakat di dalam Islam yang telah digariskan melalui konsep zakat, wakaf dan sedekah. Melalui instrumen ini, perkongsian rezeki dari golongan yang berkemampuan dapat diagih dan disalurkan kepada golongan yang memerlukan serta memelihara kelestarian ekonomi.

Secara ringkasnya, zakat adalah rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dari segi harta yang disalurkan kepada membantu golongan asnaf. Wakaf dalam bahasa bermaksud berhenti, menahan, menghalang manakala dari segi Istilah bermaksud apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT. Wakaf yang diperkenalkan bermula dari zaman Rasulullah SAW memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat kerana manfaat daripada wakaf tidak terhad kepada golongan asnaf sahaja. Sedekah, dalam masa yang sama merupakan amalan pemberian untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT.

Wakaf merupakan instrumen kewangan Islam yang menjadi pemangkin dalam pembangunan ekonomi Islam dengan memperkukuh serta meningkatkan taraf hidup masyarakat. Ia meliputi sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi, misi kemasyarakatan dan sebagainya. Wakaf boleh dipecahkan kepada dua kategori iaitu Wakaf ’Ahli’ yang menumpukan pemberian harta wakaf bagi tujuan kebajikan kepada keturunan pewakaf manakala Wakaf ’Khairi’ dirujuk sebagai pemberian harta wakaf bagi tujuan kebajikan kepada komuniti dan masyarakat secara umumnya yang juga merupakan ciri utama Wakaf ASNB.Dahulunya pelaksanaan wakaf amat sinonim dalam bentuk wakaf hartanah seperti pembinaan rumah wakaf, bangunan wakaf serta wakaf tanah perkuburan, tetapi kini sejajar dengan perkembangan dan keperluan masyarakat bentuk wakaf berevolusi dan berkembang menjadi wakaf pertanian, kesihatan, ilmu dan sebagainya.

Melalui pengenalan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasakan pengurusan wakaf di Malaysia, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan Wakaf ASNB yang memberi peluang kepada pemegang unit ASNB untuk melaksanakan wakaf unit amanah dari mana-mana tabung unit amanah yang dilanggani. Kemudahan ini membuka peluang kepada pemegang unit untuk melabur sambil beramal.

Gabungan konsep wakaf dan pelaburan ini membolehkan unit amanah yang diwakafkan akan kekal sebagai unit prinsipal manakala pengagihan pendapatan unit amanah yang diwakafkan akan diagihkan ke projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan yang dikenalpasti di seluruh Malaysia secara berterusan.

Sebagai sebuah syarikat pengurusan unit amanah, ASNB cenderung melaksanakan penambahbaikan kepada perkhidmatan yang disediakan kepada pemegang unit. Inisiatif ini diambil sebagai pelengkap kepada perkhidmatan Perwarisan ASNB melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah. Kedua-dua perkhidmatan yang disediakan ini mengambilkira konsep kemaslahatan pengurusan harta seperti disyariatkan oleh Islam. Sumbangan wakaf ini boleh dilaksanakan dengan transaksi minimum berjumlah RM1,000 atau 1,000 unit amanah.

Wakaf ASNB ini memudahkan pemegang unit ASNB untuk berwakaf melalui akaun pelaburan sedia ada mereka tanpa melibatkan sebarang tunai atau pelaburan baru. Inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai pemegang amanah yang memberi pengiktirafan mutawalli kepada ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB) sebagai pengutip dan pengurus wakaf.

Pihak pengurusan AWSB juga komited untuk memastikan bahawa tadbir urus perkhidmatan Wakaf ASNB dijalankan secara profesional, cekap dan berkesan agar dana manfaat dari dana wakaf dapat memberi kebaikan kepada pewakaf dan penerima sumbangan wakaf. Pewakaf akan mendapat sijil wakaf dan Penyata Wakaf sebagai bukti perlaksanaan wakaf. Pada masa yang sama, bagi memastikan ketelusan pelaporan aktiviti-aktiviti pengumpulan dan pengagihan wakaf ASNB, AWSB menyediakan laporan tahunan untuk rujukan para pewakaf serta masyarakat secara amnya.

Wakaf ASNB yang ditawarkan ini akan terus disalurkan kepada projek-projek kebajikan secara berterusan walaupun pewakaf telah meninggal dunia. Selain itu, permohonan wakaf ASNB juga boleh dilaksanakan melalui cawangan-cawangan ASNB terdekat dan secara dalam talian. Pewakaf juga dibenarkan melantik penerima notis bagi memastikan laporan wakaf terus dimaklumkan kepada waris walaupun pewakaf sudah meninggal dunia. Pada masa yang sama, pewakaf ASNB layak menerima potongan cukai tertakluk kepada 10% dari pendapatan agregat pewakaf bagi tahun tersebut. Wakaf ASNB juga turut membenarkan perlaksanaan wakaf bagi pihak ketiga seperti ahli keluarga yang telah meninggal dunia melalui tabung unit amanah pemegang unit sendiri.

Setakat 31 Disember, 2022, seramai 7,603 pewakaf telah melaksanakan sumbangan wakaf berjumlah RM 30.32 juta sejak dilancarkan pada 25 Oktober, 2021. Sumbangan ini telah menjana pulangan dana manfaat wakaf berjumlah RM 553,345 dan diagih hampir ke seluruh Malaysia meliputi antara agihan kepada 52 entiti seperti hospital dan klinik, rumah anak yatim dan fakir miskin, rumah kebajikan warga tua dan orang kurang upaya, masjid dan surau, mangsa banjir serta sekolah dan juga tadika dalam pelbagai bentuk seperti pembekalan barangan atau alatan sebagai contoh ultrasonic humidifier, kipas menara, peti sejuk beku, mesin basuh, mesin penapis air, peralatan sukan dan bahan bacaan ilmiah untuk perpustakaan. Pada masa yang sama, dana manfaat wakaf turut disalurkan bagi pembinaan bilik rawatan dan pengasingan penyakit berjangkit bagi penghuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah dengan kerjasama pintar bersama MyCare. AWSB juga turut prihatin dengan keperluan misi kemanusiaan dengan 158 bantuan kit kebersihan kepada komuniti mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan dengan kerjasama Mercy Malaysia.

Dana manfaat wakaf telah menghasilkan impak kepada masyarakat seterusnya mempertingkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi meliputi sektor pendidikan, kesihatan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan. Wakaf ASNB juga telah membantu para pelabur dalam melengkapkan perancangan kewangan meliputi pelaburan dunia serta menjadi saham di akhirat sana dan seterusnya memberi ruang kepada pewakaf untuk melaksanakan ibadah dan kebajikan yang berterusan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jom gandakan pahala anda bersama ASNB di sini asnb.my/wakaf.

WAKAF ASNB: GABUNGAN PELABURAN SAHAM DUNIA DAN AKHIRAT

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Gaun dipakai ‘penyondol’ cantik laku keras

Johan dah terpesong? – Amin Idris tampil jelaskan

Fatin Afeefa & Opai padam gambar di IG lepas isu sindir kereta sebagai najis

Nenek Kelantan kahwini lelaki berusia 28 tahun lepas kenal di TikTok

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker