Syarak & syarat poligami

Datuk Mohd Ajib Ismail

Matlamat utama sebuah perkahwinan adalah supaya manusia saling menikmati ketenangan dan ketenteraman jasmani dan rohani sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (surah Ar-Rum ayat 21)

Pernikahan di antara seorang lelaki dan wanita yang dilaksanakan berlandaskan tuntutan syariat akan membangunkan sebuah institusi keluarga yang harmoni dan dirahmati. Dalam ajaran Islam, rumah tangga yang dibina mestilah berasaskan ketakwaan serta sifat saling menghormati dan melindungi antara satu sama lain. Pergaulan yang baik di antara pasangan suami isteri akan melahirkan rasa tanggungjawab dan kebersamaan di dalam menguruskan rumah tangga.

Selain itu, perkahwinan juga bertujuan agar manusia berkembang biak bagi meneruskan kesinambungan generasi dan membina peradaban. Islam menekankan faktor penerusan zuriat yang halal sebagai salah satu matlamat perkahwinan. Walau bagaimanapun, perkahwinan bukanlah hanya untuk mencapai kepuasan biologi semata-mata tetapi juga memenuhi keperluan psikologi dan sosial melalui peranan dan tanggungjawab yang telah ditentukan. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri) dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda yang baik lagi halal.”

Ajaran Islam menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam urusan perkahwinan bermula daripada pemilihan pasangan, tatacara pernikahan bahkan urusan penceraian sekiranya terpaksa dilakukan. Sesebuah perkahwinan tidak sah menurut undang-undang Islam tanpa berasaskan beberapa perkara penting yang diistilahkan sebagai rukun nikah iaitu lelaki, perempuan, wali, dua orang saksi serta ijab dan qabul. Allah SWT menyifatkan perkahwinan sebagai ‘perjanjian yang kuat’ sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa’ ayat 21 yang bermaksud: “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”. Begitu juga penceraian yang merupakan perbuatan halal namun menjadi perkara yang dibenci oleh Allah SWT sebagaimana hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” (Riwayat Abu Daud).

Umat Islam ditegah daripada memutuskan ikatan perkahwinan kecuali wujud suasana yang mengharuskan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan persengketaan dalam rumah tangga. Proses tersebut hanya akan berlaku sekiranya perkahwinan tersebut benar-benar tidak dapat diselamatkan dan menambahkan lagi kemudaratan di dalam institusi keluarga dan masyarakat sekiranya diteruskan.

Di dalam urusan mencari pasangan hidup, Islam menetapkan ciri-ciri yang perlu diutamakan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka agama adalah lebih baik.” (Riwayat al-Bukhari).

Selain itu, restu dan pandangan ahli keluarga dan ibu bapa juga penting dalam menentukan pilihan yang dibuat. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan murka Allah itu terletak pada murka kedua ibu bapa.” (Riwayat At-Tirmizi). Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa termasuk adab anak kepada kedua ibu bapanya ialah mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

Sesebuah ikatan perkahwinan juga tertakluk kepada hukum-hakam dan undang-undang di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, berdasarkan peruntukan di bawah Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, setiap individu Muslim bermastautin di Wilayah Persekutuan yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga perlu terlebih dahulu mendapatkan Kebenaran Berkahwin sebagaimana termaktub di dalam seksyen 17 akta tersebut serta melaksanakan akad nikah di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk sebelum perkahwinan berkenaan dapat didaftarkan. Selain itu, Kursus Praperkahwinan Islam diwajibkan bagi pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai persediaan memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bagi mendepani pelbagai cabaran dan isu dalam rumah tangga. Kursus tersebut dilaksanakan berpandukan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang mengandungi beberapa modul seperti Tasawwur Islam, Majlis Akad Nikah dan Walimatul Urus, Perkahwinan, Prosedur Perkahwinan, Tanggungjawab Suami Isteri, Komunikasi Suami Isteri, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Stres dan Konflik dan Pembubaran Perkahwinan. Penyampaian modul berkenaan juga melibatkan penceramah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Program Pascaperkahwinan juga dianjurkan bertujuan untuk memperkukuhkan keharmonian rumah tangga berdasarkan fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu melibatkan usia perkahwinan kurang lima tahun; Fasa Sehati Sejiwa (6 hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Dalam hal berpoligami, perkara tersebut dibenarkan oleh syarak tetapi dengan syarat tertentu serta pematuhan terhadap aspek undang-undang. Islam memperakui prinsip perkahwinan poligami kerana maslahah kemasyarakatan serta bermatlamat untuk melindungi kebajikan kaum wanita. Dalam aspek perundangan, berpandukan Akta 303 di bawah Seksyen 23 memperuntukan bahawa setiap lelaki beristeri yang berhajat berpoligami hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah syariah sebelum mengajukan permohonan kebenaran berkahwin kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Sebarang tindakan untuk memilih jalan pintas bagi urusan pernikahan dengan tidak mengikut saluran yang betul adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang. Kesalahan tersebut boleh disiasat di bawah Akta 303 seperti Seksyen 19 (Kebenaran Sebelum Akad Nikah), Seksyen 123 (Poligami Tanpa Kebenaran), Seksyen 39 (Akad Nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan), Seksyen 40 (Kesalahan yang berhubung dengan akad nikah perkahwinan), Seksyen 38 (Akuan Palsu) dan Seksyen 133 (Percubaan dan Subahat).

Urusan pernikahan seharusnya dilaksanakan mengikut saluran yang betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang. Perkahwinan yang dilaksanakan tidak mengikut undang-undang akan menyusahkan banyak pihak. Kesannya bukan sahaja diterima oleh individu tersebut tetapi juga ahli keluarga serta masyarakat. Menyedari hakikat itu, Jawi menganjurkan pelbagai program kesedaran berkaitan isu undang-undang keluarga Islam dan komited memastikan setiap peraturan yang dikuat kuasakan dapat dipatuhi. Masyarakat pula disarankan agar mendalami ilmu berkaitan munakahat agar dapat melayari bahtera rumah tangga berpandukan syariat dan tujuan perkahwinan mencapai matlamat dan beroleh keberkatan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Syarak & syarat poligami

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nikita Mirzani tetap solat Subuh walaupun mengaku berzina dengan teman lelaki

Dipaksa makan daging babi, dirogol jika ‘scammer’ gagal capai sasaran jualan

Anak artis wanita popular dihukum penjara

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker