Longgar ambil pekerja asing sektor runcit, bos Mydin beritahu Putrajaya

Longgar ambil pekerja asing sektor runcit, bos Mydin beritahu Putrajaya

Pemilik pasar raya besar menggesa Kementerian Sumber Manusia melonggarkan peraturan pengambilan pekerja asing bagi sektor runcit.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata sektor runcit sedang berdepan kekurangan tenaga kerja.

Katanya, sektor itu kini pada tahap “sangat kritikal” seperti lima industri kritikal lain, merujuk kepada sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

“Barisan panjang dapat dilihat di pusat beli-belah dan pasar raya besar dan mereka tidak mempunyai cukup kakitangan untuk menyusun barang.

“Teruk sekarang, dan situasi bertambah buruk menjelang raya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, berkata kelonggaran syarat dikenakan kerajaan terhadap pengambilan pekerja asing hanya terhad kepada lima sektor kritikal sahaja.

Katanya, pihak kementerian akan memproses dan meluluskan permohonan dalam tempoh tiga hari bekerja selepas permohonan diterima.

Ameer menyatakan kekecewaannya terhadap pengumuman Sivakumar itu memandangkan wakil sektor runcit sudah mengadakan pertemuan dengannya membincangkan keperluan tenaga kerja.

Beliau berkata, pemain runcit juga “kecewa, gusar dan marah” mengenai pengumuman itu kerana dibuat selepas bertemu Sivakumar.

Katanya, Sivakumar perlu adil kepada sektor lain, sambil menambah sektor runcit menyumbang sejumlah besar kepada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan membayar banyak cukai.

Menurut Jabatan Statistik, sektor perdagangan borong dan runcit dianggarkan menyumbangkan 16% KDNK negara pada 2021.

“Tolonglah bertimbang rasa. Pertimbang melonggarkan peraturan pengambilan bagi sektor runcit juga. Jangan layan kami seperti anak tiri,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel, turut kecewa dengan pengumuman dibuat dengan menyatakan ia berbentuk “diskriminasi” terhadap sektor hospitaliti.

Sri Ganesh berkata, industri hospitaliti terbeban dengan kekurangan kakitangan terutama pekerja pembersihan bilik, dan berpandangan mereka juga perlu dimasukkan dalam senarai menerima pelonggaran pengambilan pekerja asing.

“Kami ada membangkitkan perkara itu kepada menteri, namun ia seperti tidak diambil berat. Sempadan China kini dibuka dan kami menjangkakan kemasukan besar-besaran pelancong,” katanya.

Katanya, pihak kementerian sepatutnya menyemak semula sektor dibenarkan dan memasukkan sektor industri pelancongan dan hospitaliti demi memastikan ia disokong kerajaan.

“Tiada gunanya mempromosikan pelancongan sekiranya tiada sokongan kepada pihak industri,” katanya. FMT

Longgar ambil pekerja asing sektor runcit, bos Mydin beritahu Putrajaya

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PU Syed mohon FINAS tapis filem Pulau, terlalu seksi dan sangat teruk

Pemukiman Jemaah Menteri: Kementerian diterajui Mat Sabu dapat markah tercorot

Jangan ucapkan SABAR kepada orang yang dilanda musibah, tapi ucapkanlah perkataan ini…

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker