Kenyataan dari Istana Negara

Kesihatan Agong tak membimbangkan, kembali bersemayam tak lama lagi

Istana Negara memaklumkan tahap kesihatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah kini dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan selepas menjalani rawatan keracunan makanan serta intervensi selepas dinasihatkan menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata rawatan keracunan makanan bermula apabila baginda dimasukkan ke IJN pada malam 21 Sept lalu.

Menurutnya, rawatan intervensi pula dilakukan susulan pengimejan MRI pada 22 Sept menunjukkan kecederaan yang telah dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Seperti sedia maklum, Seri Paduka Baginda sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bolasepak, skuasy, hoki dan golf.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 Sept. Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Agong dimasukkan ke IJN pada Isnin lalu dan Istana Negara memaklumkan baginda mengadu tidak sihat.

Dua hari kemudian, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa dia berjaya mendapat sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Bimbang peningkatan kes positif

Ketua pembangkang itu berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk menerima beliau menghadap tetapi ditangguhkan berikutan masalah kesihatan.

Sementara itu Ahmad Fadil berkata, ekoran daripada rawatan intervensi itu Al-Sultan Abdullah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN.

Jelasnya, baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.

“Al-Sultan Abdullah amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan baginda dan menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraannya.

“Baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan diri masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan kerajaan dan tatacara kebiasaan baru berikutan situasi semasa jangkitan virus Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat,” jelasnya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan susulan jumlah kes positif Covid-19 yang naik secara mendadak ketika ini.

“Baginda turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari negeri Sabah, yang dikesan daripada 20 hingga 27 Sept.

“Kendati pun, seluruh rakyat turut diseru bersama-sama mendoakan semoga baginda Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kesihatan berpanjangan,” kata Ahmad Fadil. Mk

Al-Sultan Abdullah bijaksana, tenang tangani krisis politik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker