Cuba tunjuk pandai, EXCO PAS Terengganu termalu kesipuan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, berkata dia sendiri mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu supaya menghantar bekalan telur ayam ke negeri itu bagi memastikan bekalannya mencukupi.

Mohamad berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Adun Jabi, Dr Azman Ibrahim yang mengatakan Fama membawa masuk 340,000 telur ayam dari negeri lain.

Malah Azman juga menyindir Mohamad dengan mengatakan telur ayam berkenaan adalah telur tempatan dan bukan dari India.



“Untuk pengetahuan YB, yang mengarahkan Fama menghantar bekalan ke negeri Terengganu sejak bulan lepas sehingga sekarang adalah menteri MAFS,” jawab Mohamad dalam hantaran di Facebook petang semalam sambil disertakan emoji tangan menutup mulut.

Terdahulu, Azman dalam hantaran di Facebook dua hari lepas berkata Fama Terengganu membawa masuk lebih 340,000 telur ayam bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.

“Sebagai langkah jangka pendek dan penyelesaian sementara, bermula dari pertengahan Disember 2022, Fama Terengganu telah membawa masuk lebih 340,000 bekalan telur dari negeri lain ke Terengganu sebagai langkah bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.

“Ini adalah telur tempatan dan bukan dari Tamil Nadu,” sindirnya.



Sementara itu, Mohamad hari ini dilapor berkata keputusan mengimport telur dari India hanyalah langkah sementara untuk menampung permintaan sehingga bekalan di pasaran tempatan kembali stabil.

Dia berkata langkah itu diambil kerana pengeluar tempatan tidak mampu menampung permintaan yang menyaksikan kekurangan bekalan ketara di pasaran.

Sebelum ini keputusan MAFS mengimport telur dari India mendapat kritikan sesetengah pihak.

Antaranya Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mengatakan adalah lebih baik kementerian itu mengutamakan penternak tempatan dengan menaikkan harga telur tempatan – sama seperti harga telur yang dimport dari India.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker