Inti pati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan

Inti pati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan

Empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) petang ini bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Berikut inti pati perjanjian persefahaman membentuk Kerajaan Perpaduan:

Matlamat

a). Parti-Parti dengan ini bersetuju untuk menjunjung kebenaran yang utuh dan dengan

penuh kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

b). Parti-Parti mengisytiharkan komitmen mereka dan matlamat Kerajaan Perpaduan Malaysia seperti berikut:

i) Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara;

ii) Mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat;

iii) Memelihara Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak dan martabat manusia dengan memupuk semangat toleransi dan saling menghormati sesama insan;

iv) Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain seperti termaktub dalam Perkara 152 (tertakluk kepada Perkara 161) Perlembagaan Persekutuan; dan menggalak perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradaban yang wujud di negara ini;

v) Menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam, dan keberkesanan serta profesionalisme pasukan keselamatan;

vi) Memperkuatkan dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan, supaya satu sistem pemerintahan yang mempunyai timbang tara yang kuat dapat dipupuk demi mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan;

vii) Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia, ke arah membentuk masyarakat majmuk yang mengutamakan kemuliaan insan, nilai persaudaraan sejagat sesama insan, prinsip amanah dan kebertanggungjawaban yang diamalkan dengan tegas dalam semua bidang politik, pentadbiran dan ekonomi;

viii) Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat selaras dengan semangat Persekutuan yang menjadi asas pembentukan Malaysia;

ix) Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara dilampir padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah.

x) Mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik berteraskan prinsip-prinsip pembangunan lestari, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan, demi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta memanfaatkan potensi ekonomi setiap individu dan kumpulan tanpa mengira latar belakang;

xi) Memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat yang miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah, untuk mempercepatkan mobiliti sosial di dalam masyarakat dan menyerlahkan potensi ekonomi yang dinikmati bersama dalam konteks kehidupan bernegara dan masyarakat majmuk;

xii) Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

xiii) Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan dan pengalaman pekerja, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap rakyat;

xiv) Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi, mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan membuat keputusan dengan sekurangkurangnya penglibatan tiga puluh peratus, demi memastikan hak serta kepentingan mereka terpelihara;

xv) Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan;

xvi) Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, di samping menjaga warisan adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat;

xvii) Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan, perubahan iklim; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mampan dan lestari; dan

xviii) Mengembangkan dasar dan hubungan luar yang berkecuali, bebas dan aktif dengan mengutamakan penggalakan perdagangan, persaudaraan sejagat sesama Islam, kesatuan ASEAN, hak asasi manusia, perubahan iklim, penyelesaian konflik antarabangsa secara aman dan keselamatan insan.

Jemaah Menteri, Anggota Pentadbiran, Keanggotaan dan Kepimpinan Parlimen

a) Jemaah Menteri hendaklah terdiri daripada 28 orang Menteri atau apa-apa jumlah yang dianggap praktikal dan berkesan untuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

b) Kerajaan Perpaduan akan memperkasa dan mengupaya Parlimen sebagai mekanisme timbang tara dengan mewujudkan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas bagi memantau dan menyemak portfolio-portfolio Jemaah Menteri.

c) Portfolio Jemaah Menteri hendaklah diagihkan oleh Perdana Menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua Parti-Parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini, iaitu terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN.

d) Pembahagian portfolio Jemaah Menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah berkadar dengan jumlah Ahli Parlimen setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

e) Apa-apa perubahan kepada pembahagian portfolio Jemaah Menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas antara parti-parti hendaklah dibincangkan oleh Perdana Menteri dengan ketua-ketua parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini, iaitu terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN.

Perdana Menteri berhak merombak dan merubah jumlah, portfolio dan lantikan ke Jemaah Menteri atau apa-apa lantikan yang dipersetujui melalui Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini dengan persetujuan majoriti ketua-ketua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan yang menjadi pihak-pihak dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini.

f) Kerajaan Perpaduan Malaysia ini memberi komitmen untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita di peringkat anggota pentadbiran.

Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan

a) Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti mereka bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

b) Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut klausa di atas. Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan. Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

c) Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini adalah berasaskan parti politik. Ini adalah penzahiran kepada langkah-langkah menguatkuasa undang-undang antilompat parti melalui akta-akta secara kumulatif, iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang telah diluluskan, diwartakan dan dikuatkuasakan yang meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk menyekat kebebasan berhimpun ahli Dewan Rakyat; Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baharu berkenaan larangan lompat parti; dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf parti politik sebagai teras dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Perkara 43(2)(a) berkenaan dengan pelantikan Perdana Menteri, Perkara 43(2)(b) berkenaan dengan pelantikan ahli Jemaah Menteri dan Perkara 43A berkenaan dengan pelantikan Timbalan Menteri perlu dibaca sejajar dan konsisten kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

d) Parti-Parti dan pihak-pihak kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini adalah asas kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini. Parti dan pihak-pihak kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini mempunyai prerogatif tunggal dalam memastikan ahli Dewan Rakyat masing-masing mengundi segala usul,

terutamanya berkenaan kepercayaan dan bekalan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini berdasarkan arahan Parti masing-masing.

Majlis Perundingan dan Timbang Tara

a) Sebuah Majlis Perundingan yang dianggotai oleh wakil-wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia hendaklah diwujudkan.

b) Majlis ini berperanan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur agar Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama ini.

c) Sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melalui Majlis ini. BH

Inti pati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tanah runtuh: ‘Saya masih ‘shaking’

Tanah runtuh: ‘Bunyi seperti letupan kuat, bumi bergerak pantas’

Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker