Isham Jalil tekad selesai isu Bukit Cerakah

Oleh Rohana Man

ISHAM JALIL (tengah) menunjukkan fakta Hutan Simpan Bukit Cerakah sambil diperhatikan Abdul Razak Ismail (kiri) dan Dr. Lim Teck Wyn pada sidang media di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kemenangan berturut-turut dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak tiga kali bermula tahun 2008, menjadikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) angkuh dan enggan melayan rayuan rakyat yang mengadu tentang pelbagai isu berkaitan masyarakat setempat.

Inilah yang menimpa komuniti yang mendiami kawasan sekitar Hutan Simpan Bukit Cerakah yang semakin teruk gondol akibat ditarah pemaju bagi tujuan pembangunan.

Ketika ini, sebanyak sembilan pemaju sedang menjalankan pembangunan di kawasan yang dahulunya adalah hutan simpan, sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri PH.



MyTV Online difahamkan bahawa kawasan yang dibenarkan untuk dibangunkan itu adalah kawasan sensitif alam sekitar.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Isham Jalil, memberitahu penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Bukit Cerakah tetap diteruskan kerajaan negeri walaupun mendapat bantahan penduduk.

“Penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cerakah telah diputuskan oleh kerajaan negeri pada Mei 2020.

“Berikutan keputusan itu, sebanyak sembilan pemaju telah dianugerahkan award untuk membangunkan kawasan hutan simpan tersebut.



“Apa berlaku adalah pemaju telah menarah bukit dan apabila bukit ditarah dan digondol, macam-macam masalah lain berlaku.

“Saya dapati sekitar 10 hingga 15 tahun lalu, kejadian banjir kilat di Shah Alam semakin teruk. Ini kerana bukit dan hutan telah gondol,” katanya pada sidang media mengenai Selamatkan Hutan Komuniti Bukit Cerakah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, wakil Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Abdul Razak Ismail dan Bendahari Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), Dr. Lim Teck Wyn.

Isham memaklumkan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu datang menemuinya bagi meluahkan kekecewaan terhadap sikap Menteri Besar Selangor dan barisan exco kerajaan negeri yang tidak melayan kes yang diketengahkan mereka.



“Ada satu isu besar di Shah Alam ni. Mereka jumpa saya. Bagi saya, ia isu nasional kerana melibatkan aktiviti penebangan pokok sehingga menjadi punca banjir yang teruk di Shah Alam,”tambahnya.

Isham berkata, sekiranya beliau diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Shah Alam, beliau akan memperjuangkan isu tersebut dan akan memberi komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan kemelut yang menimpa penduduk sekitar Bukit Cerakah.

“Saya akan fight isu ini. Ini komitmen saya,” tegasnya.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa kerajaan negeri hanya meneruskan siar warta bagi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cerakah yang telah dibuat kerajaan negeri terdahulu, Isham berkata, pewartaan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2000.



Namun, katanya, pewartaan itu tidak dilaksanakan.

“Mereka (kerajaan PH) kata, keputusan nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cerakah dibuat pada zaman kerajaan BN sekitar tahun 2000.

“Ia keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Tetapi kita (kerajaan BN) tidak wartakan keputusan nyahwarta hutan tersebut.

“Kita (BN) buat keputusan untuk tidak serahkan hutan ini kepada pemaju selama lapan tahun.



“Sebabnya, kerajaan BN ketika itu telah buat keputusan. Tak jadi nak gazette untuk nyahwarta.

“Namun kerajaan PH meneruskan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cerakah.

“Mereka boleh buat semula pewartaan itu. Overwrite sahajalah keputusan kerajaan dahulu, tetapi tak buat,” kata Isham.

Menurut Isham, berikutan keputusan kerajaan negeri itu, sebanyak sembilan pemaju dianugerahkan award untuk membangunkan hutan simpan berkenaan.



“Dari situ, macam-macam masalah berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Isham akan bersama-sama Peka dan SACF mendesak kerajaan negeri menghentikan projek pembangunan yang menjejaskan bukit dan hutan di seluruh Shah Alam.

“Kami nak bagi tahu kerajaan Selangor, jangan gondol hutan. Tak kan semua bukit di Selangor nak ditarah. Sebab itulah, banjir berlaku, berpunca daripada ini,”tambahnya.

Sementara itu, Dr. Lim kesal Menteri Besar Selangor dan exco kerajaan negeri tidak mahu berjumpa mereka.

“Kami sudah hantar banyak surat tetapi tidak dilayan. Jadi, kami meluahkan kekecewaan kami di media sosial. Apa yang berlaku, kami ditakutkan pihak kerajaan negeri yang mengugut untuk menyaman kami.

“Jadi, kami tak ada pilihan, terpaksa bawa kes ini ke mahkamah,” katanya kecewa.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker