Tragedi MH370: 8 tahun menanti dan masih berharap

 

SHAH ALAM – Waris kepada anak kapal Penerbangan MH370, Malaysia Airlines (MAS) yang hilang secara misteri lapan tahun lalu masih mengharapkan keajaiban agar pesawat itu ditemui sekali gus menjawab segala teka-teki dan teori pelbagai pihak selama ini.

Bagi dua waris anak kapal dan penumpang pesawat itu, mereka tidak berharap banyak, sebaliknya hanya mahu pencarian kapal berkenaan menemui titik noktah.

Nurlaila Ngah@Awang, 48, isteri pramugara kanan pesawat berkenaan, Wan Swaid Wan Ismail, berkata dia sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dan yakin suatu hari nanti kapal terbang yang hilang akan ditemui jua.

“Saya pasrah dengan ketentuan itu, tiga orang anak saya pun dah besar saya teruskan kehidupan dan berjuang untuk besarkan mereka semua.

“Alhamdullilah yang sulung lelaki dah tamat persekolahan dan sambung pelajaran di kolej matrikulasi, nombor dua sedang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini, manakala yang perempuan bongsu, masuk tingkatan empat.

“Tipu kalau kata tak sedih, kehidupan kena diteruskan dalam pada masa yang sama saya harap dan yakin suatu hari nanti pesawat itu akan ditemui,” katanya yang bertugas sebagai perunding unit amanah.

Menurut Nurlaila, hanya rindu dan ingatan terhadap suami Wan Swaid tidak pernah hilang.

Monumen yang dihasilkan seorang seniman India, Sudersan Pattnaik mengajak orang ramai di Pantai Puri, India berdoa untuk keselamatan warga penerbangan MH370.
Monumen yang dihasilkan seorang seniman India, Sudersan Pattnaik mengajak orang ramai di Pantai Puri, India berdoa untuk keselamatan warga penerbangan MH370.

 

“Anak-anak pun semuanya faham, cuma bezanya tidak ada kubur untuk di ziarah tapi saya dapat rasakan dia sentiasa ada bersama kami,” katanya.

Bagi Selamat Omar, 67, bapa kepada Mohd Khairul Amri, penumpang pesawat MH370, dia sentiasa menunggu khabar pesawat itu akan ditemui.

“Lapan tahun kami kehilangan Mohd Khairul, kalau usaha pencarian diteruskan oleh mana-mana pihak kami bersyukur, tapi saya minta kerajaan teliti dahulu apakah pencarian itu berbaloi dengan belanja yang bakal dikeluarkan,” katanya.

Mohd Khairul Amri yang juga jurutera adalah antara 239 anak kapal serta penumpang pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur bagi menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Menurut Selamat lagi, sesiapa pun tidak mahu tragedi seperti itu berlaku tetapi nalurinya kuat mengatakan kapal itu akan ditemui.

Dalam pada itu Kelvin Shim, 47, suami kepada pramugari pesawat MH370, Christine Tan berkata, setakat ini kerajaan ataupun mana-mana pihak tidak pernah menghubunginya berhubung perkembangan pencarian pesawat yang hilang itu.

 

Kelvin Shim bersama isterinya Christine Tan pramugari pesawat MH370.
Kelvin Shim bersama isterinya Christine Tan pramugari pesawat MH370.

 

“Saya berharap kerajaan Malaysia akan berusaha secara proaktif termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Ocean Infinity, Biro Keselamatan Pengangkutan (ATSB) Australia serta kumpulan sukarelawan dari seluruh dunia untuk mencari pesawat itu.

Katanya lagi, bukti yang kukuh tidak akan muncul dengan sendirinya jika kerajaan tidak secara aktif mencarinya.

“Memang benar kerajaan tidak pernah meninggalkan usaha untuk mencari MH370 tetapi apabila tiada usaha dilakukan untuk mencari bukti kukuh ini.

“Sebagai contoh dalam dua tahun ini ada berita serpihan MH370 dijumpai di pantai Afrika tetapi status siasatannya tidak diberitahu secara rasmi kepada semua waris penumpang MH370,” jelasnya.

PAMPASAN

Dalam pada itu, Kelvin turut menggesa kerajaan menyelesaikan usaha memberi pampasan kepada keluarga yang terbantut sehingga kini disebabkan pertukaran kerajaan yang berlaku pada tahun 2020.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang penumpang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar selepas kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

 

No Image Caption

 

Kehilangan pesawat itu menjadi misteri terbesar dalam industri penerbangan, dengan misi mencari paling lama dan mahal dalam sejarah kerana ia belum ditemui sehingga kini.

Terbaharu pada Februari lalu, pencarian pesawat itu dilaporkan dimulakan semula selepas teknologi baharu dikatakan membantu menentukan secara tepat lokasi pesawat tersebut terhempas.

‘Pemburuan’ MH370 kembali aktif selepas seorang jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey berkata, dia dapat mengesan kapal terbang Boeing 777 tersebut menggunakan teknologi pengesanan baharu, lapor MailOnline, Australia.

Pada Ahad, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sekali lagi mengulangi aspirasi kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat MH370 tidak pernah dilupakan.

Malaysia juga katanya menimbang dengan teliti serta mengkaji semua maklumat baharu yang boleh dipercayai bagi mengenal pasti lokasi pesawat itu.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Video Wanita Dakwa Dirasuk Roh Tangmo Nida Tular Sehari Sebelum Mayat Pelakon Ditemui [VIDEO]

Anggap Menteri Tak ‘Gentleman’ Tamatkan Kontrak Tanpa Sebab – Idham, Eizlan [VIDEO]

Kalau Tak Idam Jadi PM, Kenapa Beri Bayangan Akan Kembali? – Zahid Persoal Muhyiddin

Pelakon Bollywood Shah Rukh Khan Ditampar Guru Tari Padah Mengeluh Terlalu Penat

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker