Kerajaan disaran sekat aplikasi Telegram berikutan pelbagai ancaman – pakar komunikasi

Kerajaan disaran sekat aplikasi Telegram berikutan pelbagai ancaman – pakar komunikasi

Kerajaan disyor melaksanakan sekatan ke atas aplikasi Telegram, susulan peningkatan pelbagai ancaman kepada negara, khususnya membabitkan keselamatan, penipuan serta sebaran maklumat palsu.

Saranan itu dibuat Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, selepas mempertimbangkan pelbagai kes penggodaman akaun Telegram, membabitkan kerugian wang yang banyak.

Ketika ini, katanya, semakin banyak negara menutup operasi Telegram susulan masalah dihadapi dengan pemiliknya, selain mendakwa aplikasi berkenaan sukar dikenakan tindakan, berbanding Twitter dan Facebook.

Beliau juga mempersoal kewajaran pasukan pembangunan Telegram, diasaskan Pavel Durov dan adiknya Nikolai yang terpaksa meninggalkan negara kelahiran mereka, Russia dan berpindah ke Dubai, susulan peraturan teknologi maklumat (IT) ditetapkan Moscow.

Sebahagian besar juruprogram Telegram dikatakan berasal dari St Petersburg, Russia, bandar yang terkenal dengan ramai jurutera berkemahiran tinggi.

“Antara negara terkesan ialah Jerman dengan akhbar the Süddeutsche Zeitung pada 11 Februari lalu, melaporkan kekecewaan Kerajaan Jerman terhadap Telegram selepas gagal mendapatkan pemiliknya membuang akaun yang memuatkan ucapan kebencian dan ugutan oleh kumpulan radikal dan ekstremis.

“Pegawai Jerman bertungkus-lumus menjejaki alamat rasmi syarikat terbabit untuk mengemukakan aduan rasmi, tetapi Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser kemudian mengancam menutup terus Telegram di negara itu, selain mengenakan denda sehingga €55 juta (RM248.77 juta),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Agil berkata, Kerajaan Indonesia sebelum ini, juga dilaporkan sudah menyekat Telegram kerana aplikasi berkenaan digunakan untuk menyebarkan perihal bertentangan undang-undang republik itu, pada 14 Julai 2017.

Telegram disekat Kerajaan Indonesia susulan aplikasi itu dikenal pasti digunakan untuk menyebarkan propaganda radikal dan keganasan, kebencian, kaedah pembuatan bom serta serangan.

“Rentetan itu, Pavel bertemu dan berunding dengan Menteri Komunikasi Indonesia, Rudiantara, pada 1 Ogos 2017, dan bersetuju mewujudkan prosedur ketat bagi menghalang Telegram disalahgunakan, menyebabkan Indonesia bersetuju membuka semula akses aplikasi berkenaan.

“Telegram dikatakan tidak sedar ada permintaan begitu dari Indonesia dan berjanji mewujudkan komunikasi lebih baik. Alasan begini juga digunakan Telegram bagi meminta Brazil membuka balik akses kepada rakyatnya, selepas disekat kerana menyebarkan maklumat palsu, pada 18 Mac lalu,” katanya.

Mengenai ancaman Telegram di Malaysia, beliau berkata, akaun peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, dilapor digodam individu tidak bertanggungjawab, pada 8 Ogos lalu.

Selain itu, katanya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, pernah mendedahkan penipuan pelaburan melalui Telegram semakin meningkat, pada 16 Mac lalu.

Beliau berkata, Mohd Wazir juga dilapor mendedahkan modus operandi baharu dipercayai digunakan kumpulan atau sindiket penipuan menerusi aplikasi berkenaan.

Ini susulan laporan seorang pegawai sains, mendakwa kerugian RM20,600 selepas menjadi mangsa tawaran pelaburan mata wang asing tidak wujud melalui aplikasi Telegram yang dikatakan mampu meraih keuntungan sehingga RM55,000 dalam masa enam jam selepas menyertai skim pelaburan terbabit.

“Memetik Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, menerusi kenyataannya pada 6 September lalu, mendakwa sindiket penipuan memilih menggunakan Telegram kerana aplikasi itu memaparkan identiti pengguna (ID), tanpa nombor telefon.

“Keadaan ini dikatakan memudahkan suspek kerana sukar dikesan tanpa nombor telefon manakala ID Telegram boleh diubah dari semasa ke semasa.

“Ini kerana Telegram hanya memerlukan nombor telefon bagi tujuan pendaftaran serta penghantaran nombor kod keselamatan, manakala paparan pula hanya menggunakan ID bersifat pelbagai, sekali gus menyukarkan pengesanan,” katanya.

Beliau yang sependapat dengan Siraj, mengakui Telegram adalah aplikasi pemesejan yang memfokuskan pada kelajuan dan keselamatan, selain menjelaskan ia sangat pantas, mudah dan percuma.

“Menerusi Telegram, orang ramai dapat mengirim pesanan, gambar, video dan fail pelbagai jenis serta mencipta kumpulan membabitkan 200,000 ahli atau saluran penyiaran kepada pelanggan tanpa had.

“Orang ramai boleh menulis ke kenalan telefon mereka dan mencari pengguna dengan nama samaran, selain Telegram juga menyokong panggilan suara dan video yang disulitkan dari awal ke akhir serta bual suara dalam kumpulan untuk ribuan peserta,” katanya.

Rentetan itu, katanya, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 15 Mac lalu, mengingatkan orang awam mengenai lonjakan kes penipuan pelaburan dipromosi dalam Telegram dengan skim itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud, menjanjikan pulangan sangat menarik dan bebas risiko dalam tempoh singkat.

Bank Negara Malaysia pada 28 April lalu, juga meminta orang ramai berwaspada dengan taktik penipuan di Telegram, menjelaskan: “Terima mesej di Telegram kononnya rakan anda ingin meminjam wang? Tunggu, semak terlebih dahulu. Jangan tertipu dengan scammer yang menggodam akaun Telegram rakan anda untuk memperdaya orang lain”. BH

Kerajaan disaran sekat aplikasi Telegram berikutan pelbagai ancaman – pakar komunikasi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tunai umrah untuk Ratu Elizabeth II

Rafizi nak tipu apa lagi? – Zahida

Shahidan tak dapat bezakan antara orang UMNO atau orang Shahidan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker