Mahkamah tolak rayuan anak JJ berkait saham RM1 bilion

Mahkamah tolak rayuan anak JJ berkait saham RM1 bilion

Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan dua anak bekas menteri Jamaluddin Jarjis berhubung saham bernilai lebih RM1 bilion dalam tiga syarikat.

Hakim Mohd Nazlan Ghazali, yang membaca alasan penolakan itu berkata panel tiga hakim mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Firuz Jaffril tidak silap dalam keputusan menolak saman mereka tahun lalu.



Pengerusi Panel, Hakim Azizah Nawawi, kemudian mengarahkan kedua-dua pihak menanggung kos sendiri.

Panel hakim itu turut dianggotai P Ravinthran.

Pada Ogos tahun lepas, Firuz mengurniakan deklarasi kepada ibu Jamaluddin, Aminah Abdullah, bahawa tiga juta saham bernilai RM1.044 bilion dalam Rantai Wawasan Sdn Bhd adalah sebahagian daripada harta pusaka anaknya, dan beliau berhak sebagai benefisiari.

Ini mencetuskan rayuan difailkan anak Jamaluddin, Nur Anis dan Ikhwan Hafiz.



Jamaluddin, atau lebih dikenali sebagai JJ, ialah seorang ahli perniagaan sebelum berkhidmat sebagai menteri di Putrajaya antara 2002 dan 2008. Beliau terbunuh apabila helikopter dinaikinya dari Pekan, Pahang, ke Kuala Lumpur terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih, Selangor, pada 4 April 2015.

Nazlan berkata, surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2009 semasa Jamaluddin masih hidup adalah sah dan saham Rantai Wawasan harus dikembalikan sebagai sebahagian daripada harta pusakanya.

Beliau juga mengisytiharkan amanah yang diwujudkan oleh anak Jamaluddin pada 2015 terbatal dan tidak sah.

“Oleh itu, kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan defendan,” katanya.



Mahkamah turut menolak rayuan Aminah bahawa saham bernilai RM313 juta dalam Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd harus dikembalikan sebagai harta pusaka anaknya.

Nazlan berkata, Aminah tidak mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk membuktikan dakwaannya serta tidak wujud asas untuk pertikaian bahawa amanah konstruktif wujud.

“Oleh itu, kami turut mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak deklarasi dimohon Aminah bahawa saham dalam kedua-dua syarikat itu adalah sebahagian daripada harta pusaka Jamaluddin,” katanya.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah, manakala Saheran Suhendran, Frank Wong dan Rodney Gan mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz.



Aminah turut terlibat dalam saman sivil di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan bahagiannya sebanyak RM1 bilion daripada menantunya, Kalsom Ismail.

Kalsom, bekas doktor gigi, memfailkan saman itu pada awal 2018 untuk mendapatkan 50% daripada harta alih dan tak alih Jamaluddin yang diperoleh di sini dan di luar negara bernilai RM2.1 bilion, daripada harta pusaka Allahyarham.

Bagaimanapun, Aminah menentang saman itu dengan mendakwa kebanyakan aset terkumpul sebelum anaknya berkahwin dengan Kalsom.

Pengantaraan bagi aset yang ditinggalkan Jamaluddin, yang juga berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat, gagal pada 2019.



Jamaluddin menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno dan menjadi Ahli Parlimen Rompin dari 1990 sehingga kematiannya. FMT

Mahkamah tolak rayuan anak JJ berkait saham RM1 bilion


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Neil Armstrong Jejak Kaki Ke Bulan ‘Dibuktikan’ Hanyalah Sebuah Rakaman

Guru lesap selepas disyaki rogol 2 pelajar di Sarawak

Berdakwah jangan pilih bulu – Ifa Raziah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker