Akta Berita Tidak Benar tidak akan diwujudkan semula

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk melaksanakan undang-undang baharu bagi menangani individu yang menghina, mempersenda atau menggunakan isu-isu berkaitan agama untuk kepentingan tertentu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, akta dan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengatasi sebarang perkara yang ditimbulkan khususnya berkaitan agama dan kaum.

Beliau menjelaskan, bagi individu yang sengaja atau cuba menghina, memainkan isu perkauman serta agama, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah tiga akta berbeza yang dilihat lebih berkesan serta mampu memberi pengajaran kepada pelaku.

“KDN akan sentiasa bertindak tegas melalui polis untuk melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan menghina, mempersendakan atau memainkan isu-isu agama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia seperti Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ketika ini KDN berpandangan undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menyedarkan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti ini.

“Walaubagaimanapun, KDN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji perundangan tersebut untuk ditambah baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (BN-Cameron Highlands), Ramli Mohd Nor, yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman lebih berat terhadap pihak yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama untuk kepentingan tertentu.

Ismail turut memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan pemantauan penyebaran maklumat dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat elemen melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian rakyat jika tidak dibendung.

Menjawab soalan tambahan Ramli berhubung pandangan kerajaan dalam mewujudkan kembali Akta Berita Tidak Benar yang telah dilaksanakan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu dan dimansuhkan pula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ismail tetap berpendirian bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu.

Namun katanya, kajian teliti akan dilakukan terhadap akta-akta sedia ada bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaannya agar dapat memberi pengajaran sepenuhnya kepada rakyat untuk tidak mewujudkan sensitiviti kaum dan agama di negara ini. MG

Dr M minta KDN keluarkan LTTE dari senarai pengganas – Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker