Ini persepsi aliran Islam Liberal terhadap Rasulullah s.a.w.

Ini persepsi aliran Islam Liberal terhadap Rasulullah s.a.w.

Persepsi aliran Islam Liberal terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dinyatakan dalam salah satu laman sesawang mereka dapatlah dirumuskan bahawa Baginda hanyalah manusia biasa; silap dan benar, dipuji dan dikritik, seperti berikut:

“Bagaimana meletakkan kedudukan Rasul Muhammad s.a.w. dalam konteks pemikiran semacam ini? Menurut saya, Rasul Muhammad s.a.w. adalah tokoh sejarah yang harus dikaji dengan kritis, (sehingga tidak hanya menjadi mitos yang dikagumi saja, tanpa memandang aspek-aspek beliau sebagai manusia yang juga banyak kekurangannya), sekali gus anutan yang harus diikuti (qudwah hasanah).”



Kenyataan ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. hanya sebagai seorang tokoh sejarah yang mempunyai banyak kekurangan.

Namun, menurut Ahlis Sunnah wal Jama‘ah, Rasulullah s.a.w. adalah maksum iaitu dipelihara oleh Allah Taala melalui wahyu daripada sebarang kesilapan dalam menyampaikan agama Islam.

Justeru ketaatan terhadap Rasulullah s.a.w. adalah sesuatu yang tidak berkondisi. Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i rahimahullah telah berkata dalam karya agungnya; al-Risalah,

“Maka Allah memberitahu kepada manusia dalam ayat ini (surah al-Nur, 48-52) bahawa apabila mereka diseru kepada Rasulullah s.a.w. agar Baginda menghukum di antara mereka, pada hakikatnya ia adalah seruan kepada hukum Allah.



“Ini kerana orang yang menghukum di antara mereka adalah Rasulullah s.a.w., dan jika mereka menerima hukum Nabi s.a.w. maka sebenarnya mereka menerimanya dengan penetapan Allah dan pemberitahuan Allah bahawa hukum Nabi adalah hukum Allah jua, kerana Allah menetapkan hukum Nabi.

Juga berdasarkan ilmu Allah ‘Azza wa Jalla berkenaan kesejahteraan Baginda dengan pelindungan Allah dan taufik-Nya. Allah juga memperakui bahawa Nabi s.a.w. mendapat hidayah dan mengikuti perintah Allah. Justeru, Allah menekankan penetapan-Nya dengan memerintahkan hamba-hamba-Nya agar mentaati Rasul-Nya, bahawa ia adalah ketaatan kepada-Nya jua…”

Kenyataan al-Imam al-Syafi‘i rahimahullah ini jelas menetapkan bahawa mentaati Rasulullah s.a.w. adalah suatu kewajipan dan Rasulullah s.a.w. terpelihara daripada kekurangan apalagi kesilapan dalam penyampaian ajaran agama Islam.

Persepsi Islam Liberal Terhadap Sunnah Rasulullah



Aliran Islam liberal menganggap sunnah Rasulullah s.a.w. masih boleh dipertikaikan dan tidak sesuai untuk setiap zaman. Sunnah Nabi s.a.w. tidak semestinya menjadi pegangan umat Islam.

Aliran Islam liberal juga menganggap ajaran Rasulullah s.a.w. hanya untuk konteks masyarakat Arab sahaja. Menurut Arsip lagi,

“Rasul memang berhasil menterjemahkan cita-cita sosial dan spiritual Islam di Madinah, tetapi Islam sebagaimana diwujudkan di sana adalah Islam sejarah, partikular, dan kontekstual. Kita tidak diwajibkan mengikuti rasul secara harfiah, sebab apa yang dilakukan olehnya di Madinah adalah upaya menegosiasikan antara nilai-nilai universal Islam dengan situasi sosial di sana dengan seluruh kendala yang ada”.

Dr. Mustafa al-Siba‘i dalam kitabnya al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tashri‘ al-Islami menegaskan, menurut Ahlis Sunnah wal Jama‘ah, kefahaman sebenar berkenaan ketaatan terhadap Rasulullah s.a.w. ialah ia wajib ke atas para sahabat radiyallahu ‘anhum semasa hayat Baginda dan juga wajib ke atas semua generasi yang mendatang.



Ini kerana nas-nas yang mewajibkan ketaatan terhadap Rasulullah s.a.w. adalah bersifat umum dan tidak dikhususkan pada tempoh hidup Baginda.

Aliran Islam liberal menganggap wahyu masih lagi berterusan iaitu dalam bentuk akal manusia yang berijtihad. Salah seorang tokoh mereka berkata,

“Bagi saya, wahyu tidak berhenti pada zaman Nabi, wahyu terus bekerja dan turun kepada manusia. Wahyu verbal memang telah selesai dalam Quran, tetapi wahyu nonverbal dalam bentuk ijtihad akal manusia terus berlangsung.”

Kenyataan ini amat jelas bertentangan dengan begitu banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan, tiada nabi selepas Baginda dan tiada wahyu selepasnya. Firman Allah Taala surah al-Ahzab: 40, menyebutkan,



“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Adapun ijtihad akal manusia di sisi Ahlis Sunnah wal Jama‘ah, ijtihad mestilah tidak berlawanan dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana ijtihad yang tidak menepati kedua-dua sumber ini adalah tertolak.

Bahkan ia termasuk dalam perbuatan melakukan bidaah dalam agama. Sabda Rasulullah s.a.w.,

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam urusan agama kami ini, yang tiada daripadanya, maka yang diada-adakan itu tertolak.” (HR al-Imam al-Bukhari & al-Imam Muslim). Utv



Oleh: Dr. Fadlan Mohd Othman, Pensyarah Kanan fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ini persepsi aliran Islam Liberal terhadap Rasulullah s.a.w.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Alat sulit patah ketika hubungan intim ganas dengan isteri

Punca aircond tak sejuk

I Love You Nina- Shila Amzah, Tokti & Fazura Antara Barisan Selebriti Beri Sokongan Buat Mizz Nina

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker