Politik katak kini berakhir

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat pada Khamis, dilihat menjadi noktah buat sang katak politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui bacaan kali kedua pada hari sebelumnya menegaskan kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

Ini kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.



“Kejayaan ini boleh memberikan lebih keyakinan rakyat atau pengundi kepada keberkesanan sistem demokrasi negara.

“Orang yang dipilih rakyat itu akan terus menjadi wakil rakyat dan mereka tidak boleh menukar parti politik sekiranya mahu kekal sebagai ahli Dewan Rakyat,” kata Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz kepada Sinar Premium pada Khamis.

Seseorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah lompat parti.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.



Pindaan Perlembagaan yang digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu.

Fasal baharu 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan.

Perkara sama turut terpakai kepada ahli Parlimen Bebas yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat menyertai suatu parti politik.

Bagaimanapun seseorang ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.



Rang undang-undang itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai ahli Parlimen.

Cuma bagi Shamrahayu, biarpun selepas ini tiada adegan lompat parti yang sebelum ini memperlihatkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahupun sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sokongan ahli Parlimen yang dipecat perlu diteliti.

Ini kerana katanya, ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti berkemungkinan akan dipecat tetapi statusnya sebagai Ahli Parlimen masih kekal.

KUASA PRESIDEN



Penganalisis Politik, Datuk Anbumani Balan pula berkata, tidak dinafikan, RUU ini juga boleh memberi satu kelebihan dan kuasa kepada presiden parti untuk mengambil tindakan tertentu bagi mengekang ahli untuk menjadi ‘katak politik’.

“Jangan pula presiden parti menganggap diri mereka kuat lalu mengambil kesempatan dengan menggunakan RUU ini untuk membuat agenda tersendiri.

“RUU ini sebenarnya kunci kepada parti politik untuk memperkasakan parti mereka sendiri. Sekiranya ada isu dalaman, mereka harus bijak mengawal keadaan agar ahli tidak keluar daripada parti,” katanya.

Pun begitu beliau menegaskan, semestinya akan ada ahli politik yang tergugat dengan pelaksanaan RUU ini kerana mereka terpaksa mengetepikan kepentingan sendiri dan akur dengan pilihan rakyat.



RUU paling dinanti-nanti itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 40 ahli Parlimen telah melompat parti namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi berkata, pindaan RUU itu tidak akan memberi kesan kepada kedudukan mereka ketika ini.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala berpandangan RUU ini sangat wajar diluluskan supaya mengajar ahli politik tidak lagi mempunyai pendirian yang tidak tetap.



“RUU ini dapat menstabilkan politik di Malaysia supaya tidak berlakunya perbalahan dan ahli politik terpaksa akur dengan pilihan rakyat yang telah memilih mereka di parti asal kerana manifesto yang telah dijanjikan.

“RUU ini juga merupakan tindakan yang baik supaya setiap ahli politik mempunyai pendirian yang teguh demi memenuhi manifesto masing-masing,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Bihun Soto Tersedap, Wajib Menambah 2, 3 Kali!

Penyokong pendidikan seks puji demonstrasi kondom di sekolah

Wanita Mat Salleh lebih Melayu daripada Melayu, tabah diuji suami sakit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker