Darurat langkah terakhir, reda kemelut politik negara – Pakar perlembagaan

KEMELUT politik yang berlaku di negara pada ketika ini seperti tiada tanda redanya.

Apakah mungkin jalan penyelesaian terbaik sekiranya rundingan antara parti-parti politik tidak dapat dicapai?

Menurut pakar perlembagaan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, pengisytiharan perintah darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat seperti langkah yang baik.

“Pada pandangan saya, jika tiada lagi rundingan yang dapat diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak dan menyebabkan keadaan yang sukar di mana pilihan kepada Yang di-Pertuan Agong itu adalah sama ada membubarkan parlimen atau menyelesaikan dengan cara yang lain … mungkin proklamasi darurat itu boleh dilakukan.

“Jika ada proklamasi darurat seperti dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150, undang-undang darurat boleh diluluskan oleh Parlimen, kalau Parlimen sedang bersidang.

“Jika parlimen tidak bersidang pada masa itu, maka Yang di-Pertuan Agong boleh meluluskan Ordinan Kuasa Darurat untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya dalam satu temu ramah di Buletin Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Profesor Nik berkata pengisytiharaan perintah darurat bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik pernah dilakukan sebelum ini di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977.

“Kalau kami lihat apa yang berlaku di Sarawak pada 1996, berlaku krisis perlembagaan dan ada perebutan jawatan Ketua Menteri dan akhirnya Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat dan satu ordinan darurat telah diluluskan parlimen untuk meminda perlembagaan negeri Sarawak untuk memberi kuasa kepada Gabenor untuk memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Apabila sidang dipanggil, usul undi tidak percaya telah dibentangkan dan ketua menteri telah diputuskan hilang kuasa majoriti beliau,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, langkah pengisytiharan perintah darurat dilihat sebagai langkah terakhir kerana memberikan kesan yang besar kepada negara.

“Semua undang-undang termasuk beberapa peruntukan perlembagaan itu dianggap sebagai satu peruntukan yang perlu ditangguhkan atau perlembagaan secara keseluruhan boleh ditangguhkan.

“Beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh parlimen boleh dibuat secara undang-undang untuk tujuan objektif darurat tersebut.

“Saya melihat pengisytiharaan darurat ini bukan satu pilihan yang utama tetapi sebagai pilihan yang terakhir jika tidak dapat diselesaikan kemelut politik ini secara aman dan menerusi rundingan,” jelasnya.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri interim seperti apa yang diperkenankan baginda apabila satu kemelut politik berlaku pada Februari lalu.

Agong ada kuasa isytihar darurat negara

“Sebelum perintah darurat diisytiharkan, Yang di-Pertuan Agong boleh memikirkan cara lain seperti apa yang berlaku pada Februari lalu ialah melantik Perdana Menteri (PM) interim, sedangkan tiada peruntukan jelas dalam perlembagaan yang membenarkan pelantikan PM interim.

“Pelantikan PM interim dilantik atas dasar bahawa ia mungkin satu konvensyen perlembagaan yang baharu.

“Kedua, ia mungkin juga satu pelaksanaan kuasa eksekutif atau kuasa perogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang PM interim atas dasar bahawa tiada seorang yang boleh dianggap mempunyai kuasa majoriti di Dewan Rakyat,” ujarnya.

Pada Jumaat, penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar dalam satu temu ramah program Agenda AWANI pada Jumaat, berkata sekiranya rundingan antara ketua-ketua parti politik tidak dapat dicapai, adalah lebih baik jika Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara untuk mengisytiharkan darurat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker