99% penderma organ tak tunai janji

99% penderma organ tak tunai janji

Hanya 2,641 atau kurang 1% daripada 510,186 individu yang berikrar sebagai penderma organ menunaikan janji mereka sejak 1997 hingga April tahun ini.

Berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), hanya 2,641 pembedahan pemindahan organ dilakukan sejak tempoh itu, termasuk 1,752 pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma selepas meninggal dunia (kadaverik).

Dalam tempoh itu juga, seramai 49,111 pesakit buah pinggang Tahap 5 masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa menjalani rawatan dialisis.

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), Dr Zaki Morad Zaher berkata, walaupun jumlah pengikrar organ tinggi, namun kekurangan bekalan organ buah pinggang adalah berpunca daripada sesetengah pengikrar yang meninggal dunia dalam keadaan tidak sesuai untuk organnya didermakan seperti meninggal di rumah.

“Apabila mereka meninggal di rumah dan tiada sesiapa yang tahu, kita terlepas peluang mengambil buah pinggangnya. Jika mereka meninggal di rumah, kita hanya boleh mengambil kornea (mata) dan tulang kerana ia boleh diambil selepas beberapa jam sekalipun.

“Penderma buah pinggang perlu meninggal dunia dalam keadaan tertentu seperti di hospital bagi membolehkan pihak hospital mengambil organnya. Ini kerana proses pembedahan itu perlu dilakukan segera, iaitu dalam masa empat jam bagi membolehkan organ itu berfungsi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Menurutnya, apabila pesakit buah pinggang sudah berada pada peringkat terakhir, mereka tidak lagi boleh mencegah penyakit itu dan hanya boleh dirawat menggunakan mesin dialisis sepanjang hayat ataupun menunggu organ daripada penderma.

“Daripada jumlah itu pula, hanya lebih kurang 20,000 pesakit buah pinggang yang layak menerima organ baharu atau menjalani rawatan transplantasi buah pinggang disebabkan faktor kesihatan tertentu.

“Lebih menyedihkan, kami hanya dapat 80 hingga 100 buah pinggang setiap tahun dan ia menyebabkan pesakit baharu buah pinggang terpaksa menunggu giliran hampir 20 hingga 30 tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma,” jelasnya.

Zaki berkata, jumlah pesakit buah pinggang Tahap 5 (peringkat akhir) pada 2020 adalah 49,111 orang dan memerlukan rawatan dialisis.

“Daripada jumlah itu, 43,729 pesakit menjalani hemodialisis yang memerlukan mereka pergi ke pusat rawatan atau hospital untuk membersihkan darah dengan mengeluarkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair.

“Selebihnya, sebanyak 5,382 pesakit menjalani rawatan dialisis peritoneal yang menyaksikan proses membersihkan darah itu dilakukan di rumah tanpa memerlukan pesakit hadir ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Zaki berkata, jumlah pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun dengan 26,962 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga Disember 2020. FMT

99% penderma organ tak tunai janji


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis

Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker