Muse ‘menggila’, beri impak maksimum

Muse ‘menggila’, beri impak maksimum

Kebosanan lebih sejam menantikan kumpulan rock British, Muse muncul di atas pentas dibayar semula band popular itu menghadiahkan persembahan yang memberikan impak kepuasan maksimum kepada lebih 50,000 penonton pada Konsert Will Of The People World Tour di Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Segala perasaan resah dan gelisah lenyap sebaik sahaja pentas gergasi yang gelap pada awalnya menyalakan lampu menandakan band yang berasal dari Devon, England itu sudah siap siaga untuk beraksi.



Bermula lagu Will Of The People yang menjadi pembuka tirai konsert hinggalah kepada lagu Knight Of Cydonia menjadi dendangan terakhir, Muse terus ‘menggila’ dengan menghanyutkan emosi penonton dalam muzik elektronika ciptaan mereka.

Tampil ringkas mengenakan celana denim koyak berserta kemeja T hitam sambil memetik gitar, vokalisnya, Matt Bellamy begitu memahami cita rasa peminat apabila memilih untuk menyanyikan lagu yang mampu membuatkan penonton tidak senang duduk dan mahu menari dan menyanyi bersama.

Sepanjang beraksi, Bellamy tidak banyak berkomunikasi dengan penonton, sebaliknya menjadikan nyanyian sebagai satu cara untuk berinteraksi.

Cuma, apa yang sering dilafazkan vokalis itu adalah ucapan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan dalam seni muzik.



“Terima kasih Kuala Lumpur. Anda tunggu 16 tahun (untuk beraksi semula di Malaysia). Saya harap anda tidak perlu tunggu terlalu lama lagi selepas ini,” kata Bellamy disambut sorakan penonton.

Diiringi dua pemuzik hebat iaitu pemain bes, Chris Wolstenholme dan drummer, Dominic Howard, konsert berdurasi 90 minit itu turut dibantu penggunaan ‘pyrotechnics’ yang menyaksikan api setinggi 40 kaki menyala sebagai melatari nyanyian, selain pancaran laser.

Turut disediakan, dua layar gergasi yang terletak kiri dan kanan pentas bertujuan untuk menayangkan visual animasi dan persembahan dengan penggunaan pelbagai kesan khas.

Reka bentuk pentas seperti sering dilihat dalam acara pertunjukan fesyen memberi ruang kepada band berkenaan ‘catwalk’, sekali gus membuatkan penonton begitu dekat kumpulan pujaan ramai itu.



Penonton membanjiri stadium bagaikan dirasuk sebaik sahaja Bellamy menyanyikan lagu popular seperti Hyesteri, Psycho, Thought Contagion, Won’t Stand Down, Time Is Running Out, You Make Me Feel Like It’s Halloween, Resistance, Uprising, Plug In Baby, Supernassive Black Hole dan Starlight.

Momen paling diingati sudah tentu ketika penyanyi berusia 45 tahun itu menyampaikan lagu Compliance apabila pentas ‘menembak’ ratusan riben ke arah penonton.

Bellamy kemudiannya menyanyikan lagu berentak slow rock, Madness untuk meredakan seketika ‘adrenalin’ penonton yang mengalir deras itu.

Apa yang menarik, meskipun usia anggota band terbabit sudah mencecah angka 40-an, stamina ampuh dan masih berupaya menyanyi dan bermain muzik dengan baik.



Melalui muzik yang menjadi tanda dagang dan keupayaan mempamerkan persembahan luar biasa, selain dibantu aspek teknikal seperti penataan cahaya dan sistem bunyi yang berkualiti, Konsert Will Of The People World Tour bukan sahaja berjaya membuat penonton terpukau, malah memberi pengalaman indah.

Konsert Will Of The People World Tour adalah siri jelajah dunia pertama Muse selepas pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada 2019.

Kuala Lumpur adalah satu-satunya destinasi di Asia yang menjadi persinggahan Muse.

Terdahulu, tirai konsert dibuka dengan persembahan Kyoto Protocol yang dipilih Muse sendiri.



Persembahan selama setengah jam menyaksikan band berkenaan menyanyikan tujuh lagu iaitu Alive, Guilty Plea, Delta Wing, Beautiful, Gimme Nothing dan Pussycat.

Kyoto Protocol turut mendendangkan lagu yang dipopularkan kumpulan Lefthanded berjudul Tiada Lagi Kidungmu.

Konsert Will Of The People World Tour anjuran Hello Universe itu turut mendapat kerjasama stesen radio, Fly FM sebagai rakan penyiar.

Muse pernah mengadakan konsert sulung di Stadium Negara pada 2007. Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Asia pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian daripada jelajah konsert Simulation Theory.



Sementara itu, penganjur menerusi kenyataan dikeluarkan di Instagram (IG) menjelaskan punca kelewatan lewat sejam daripada jadual asal iaitu 8.30 malam.

“Kami ingin memaklumkan persembahan malam Sabtu lalu ditunda berikutan kami ingin memastikan penonton berada dalam keadaan selamat.

“Terdapat kesesakan trafik sangat teruk menuju ke stadium antara jam 8.15 hingga 8.45 malam.

“Kami memutuskan memberikan lebih masa kepada penonton untuk masuk ke dalam stadium dan bukan dalam keadaan tergesa-gesa, sekali gus dapat mengawal keadaan dengan baik.

“Sebab kedua adalah pada sekitar jam 8.45 malam, terdapat isu kecil berkaitan keselamatan di Zon C. Sehubungan itu, kami memerlukan masa antara 10 hingga 15 minit untuk mengenal pasti bagi mengelakkan berlakunya kemalangan membabitkan audiens.

“Keselamatan penonton adalah keutamaan kami. Selepas memastikan keadaan selamat, barulah kami benarkan penonton masuk ke dalam stadium,” kata kenyataan itu.

Penganjur berkata, antara faktor lain membuatkan konsert bermula lewat disebabkan mereka mahu memastikan laluan masuk artis ke pentas utama lancar dan tiada halangan.

“Justeru, kami ingin meminta maaf atas kesulitan yang timbul,” ujarnya. BH

Muse ‘menggila’, beri impak maksimum

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah Masih Diganggu Walaupun Dah Cerai

Bekas Pengacara TV3 Didakwa Pukul Staf Guna Kayu & Langgar Pondok Pengawal

Pemandu degil MPV tersangkut lalui jalan tar masih basah

Hubungan seks empat minit setiap hari, kurangkan risiko kanser – kajian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker