Sanggup tunggu 2 jam untuk solat jenazah tiga pelajar USAS

Sanggup tunggu 2 jam untuk solat jenazah tiga pelajar USAS

Ratusan jemaah yang rata-ratanya pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, sanggup menunggu dua jam bagi mendirikan solat jenazah ke atas tiga pelajar yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, kelmarin.

Jenazah Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, selesai disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS jam 11.32 malam tadi selepas menjalani bedah siasat dan pengecaman identiti di Unit Forensik Hospital Taiping.

Konvoi mengiringi tiga jenazah itu tiba di perkarangan masjid jam 11.15 malam selepas difahamkan berlepas dari Hospital Taiping jam 10.30 malam.

Turut kelihatan menyertai solat jenazah ialah Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Perasaan hiba turut menyelubungi kawasan masjid khususnya apabila bapa kepada tiga jenazah itu masing-masing diberi ruang untuk berucap kepada jemaah selepas solat ditunaikan.

Ketiga-tiga jenazah itu turut sekali lagi disolatkan oleh waris dan keluarga masing-masing sebelum konvoi membawa jenazah meninggalkan perkarangan masjid tepat jam 12 tengah malam.

Ketibaan dan pelepasan konvoi jenazah ke kampung halaman masing-masing diselangi laungan takbir. Terdahulu, kelihatan puluhan jemaah mengalunkan bacaan tahlil serta surah Yasin kepada lima mangsa terbabit sementara menunggu ketibaan jenazah bermula jam 9 malam iaitu selepas solat Isyak.

Semalam, dua daripada lima mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, disolatkan ratusan jemaah di masjid sama selepas identiti disahkan melalui penemuan dokumen pengenalan diri.

Jenazah Iqbal Hasnun dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Saleng, Senai, Johor manakala jenazah Muhammad Nasrun akan dibawa ke Kuala Kubu Baharu, Selangor untuk dikebumikan.

Jenazah Muhammad Nabil Haikal dibawa untuk dikebumikan di Nilai, Negeri Sembilan.

Terdahulu, jenazah Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah, Parit Buntar manakala jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kijal, Chukai, Terengganu. HM

Sanggup tunggu 2 jam untuk solat jenazah tiga pelajar USAS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TMJ jawab punca JDT rai kemenangan seperti final

Tony Fernandes dan Kamarudin terima gaji lebih RM14j tahun lalu

Khir Toyo ziarah Hamid Gurkha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker