Ku Li ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan

Ku Li ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan mengetuai gabungan kerjasama yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dalam usaha menumbangkan kerajaan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) .

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed yang mendedahkan program pertama gabungan rentas parti itu akan berlangsung pada 7 Mei depan.



“Tahniah dan terima kasih kepada ayahanda ambo Ku Li (Tengku Razaleigh) kerana sudi mengepalai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang merentas batas kepartian dan kepuakan.

“Amanah Kelantan bersedia bergabung tenaga dan memberi kerjasama yang sepenuhnya demi membawa dan menawarkan satu perubahan kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu dilaporkan veteran Umno itu mengerakkan kerjasama dengan parti daripada PH untuk menawan Kelantan pada PRU15.

Difahamkan kerjasama itu akan melibatkan Amanah, DAP, Pejuang dan Putra serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



Sebelum ini satu pertemuan dan perbincangan awal di antara ahli parlimen Gua Musang itu dengan pimpinan Amanah negeri turut diadakan di Kota Bharu, disusuli dengan program berbuka puasa bersama.

Untuk rekod, Ku Li merupakan tokoh politik dari Kelantan yang pernah mengasaskan Parti Melayu Semangat 46 pada 1998 sebelum menyertai semula Umno pada 1996.

Sejak pilihan raya umum 1990, Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS selama lebih 3 dekad.

Pada 2011, Ku Li menubuhkan NGO masyarakat sivil yang dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, di mana dia merupakan presidennya pada waktu itu.



Beberapa penganalisis politik pada waktu itu berpendapat langkah itu mungkin diambil Ku Li untuk muncul sebagai calon memimpin pembangkang jika Anwar Ibrahim terpinggir.

Bukan keputusan Umno

Sementara itu, Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa menyifatkan tindakan Ku Li menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dibuat atas kapasiti peribadi dan tiada kena mengena dengan Umno.

Jelasnya, sebarang keputusan membabitkan kerjasama antara Umno dan parti lain hanya boleh diputuskan di peringkat parti.



“Kalau sesiapa saja bertindak atas sifat individu bererti jadilah kerja individu. Kerja individu tak semestinya serupa dengan kerja parti. Setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu kalau betul pun (ia) bersifat peribadi.

“Saya tak tahu lagi ia bermula di mana dan akan berakhir di mana. Kadang-kadang kita bercakap sebagai individu tetapi dilaporkan macam parti buat.

“Bagi saya mudah saja apa-apa perkara parti yang putuskan, itulah yang kita akan pegang dan kita tidak harus membuat sesuatu yang berbeza dengan apa yang parti putuskan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian zakat kepada pelajar kurang berkemampuan peringkat parlimen di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Kota Bharu, hari ini. Mk

Ku Li ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nagaenthran Jalani Hukuman Gantung: Ini Apa Yang Perlu Diketahui



JAKIM Perjelas Isu Penularan Tarikh Hari Raya Aidilfitri

Adam Adli bidas Rafizi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker