Amah tak dibayar gaji, bertahun bersih kondo, jaga 30 ekor kucing
Amah tak dibayar gaji, bertahun bersih kondo, jaga 30 ekor kucing
Bagi pembantu rumah Indonesia, Saifannur (bukan nama sebenar), malam Hari Raya Aidilfitri merupakan saat paling menggembirakan bagi dua tahun pertamanya bekerja di rumah sepasang suami isteri warga Malaysia.
Hanya pada waktu itu, dia dibenarkan menghabiskan masa satu jam berbual di telefon bersama anak perempuan dan ibu bapanya. Tetapi perbualan sentiasa berakhir dengan pembohongan yang sama – bahawa dia akan menghantar wang ke rumah.
Saifannur berkata pasangan itu, yang kedua-duanya bergelar “Dato”, telah didakwa merampas telefonnya dan hanya membenarkan Saifannur berkomunikasi dengan keluarganya setahun sekali, semasa hari raya.
Pada 2016, apabila ibu tunggal itu, yang kini berusia 31 tahun, meninggalkan Aceh untuk mencari peluang mencari rezeki di Malaysia, anak perempuannya, yang ketika itu berusia tiga tahun, ditinggalkan dalam jagaan ibu bapanya.
Bercakap kepada Malaysiakini melalui temu bual Zoom, Saifannur, yang telah kembali ke Indonesia selepas melarikan diri, berkata tugas hariannya melibatkan penjagaan 30 ekor kucing Parsi dan memastikan penyelenggaraan kondominium mewah empat bilik tidur di Kuala Lumpur.
Pada 18 April tahun ini, sembilan bulan selepas dia melarikan diri, Saifannur menerima kurang daripada separuh gaji yang terhutang kepadanya selama empat tahun dan enam bulan, tempoh dia didakwa bekerja untuk pasangan itu.
Sekat panggilan telefon
Jurucakap Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur mengesahkan bahawa berikutan proses mediasi berpanjangan, Saifannur hanya menerima RM20,000 daripada RM50,500 yang terhutang kepadanya.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman pahit itu, Saifannur mendakwa dia tidak dibenarkan membuat panggilan ke rumah selepas 2018 dan pasangan majikannya itu yang menafikan dia bekerja di rumah mereka, menolak permintaannya berulang kali untuk bercakap dengan anak perempuannya.
“Bila saya tanya, mereka akan beritahu saya ‘nanti-nanti’.
“Telefon saya telah diambil pada hari saya tiba kerana mereka (yang didakwa majikannya itu) berkata saya tidak dibenarkan menggunakan telefon. Itu menamatkan kebebasan saya untuk berkomunikasi dengan anak saya,” keluhnya sambil mengimbau betapa peritnya perasaan tidak dapat mendengar anak perempuannya memanggilnya “mama”.
Walaupun ditinggalkan bersendirian pada siang hari dan mempunyai akses ke balkoni unit tingkat bawah, Saifannur berkata sukar untuk dia melarikan diri kerana ciri keselamatan kondominium dan lokasi yang terpencil.
Tambahan pula, dia tidak mempunyai sebarang dokumentasi peribadi atau visa yang sah.
Pada Disember 2016, apabila ejennya, yang hanya dikenali sebagai Siva, memperkenalkannya kepada majikannya, dia berjanji untuk memulangkan pasportnya bersama visa kerja yang sah tetapi ini tidak pernah berlaku.
Menurut Saifannur, majikannya yang didakwa itu pula terlibat dengan badan amal untuk wanita Islam miskin.
Semakan Malaysiakini mendapati isteri yang didakwa majikannya itu memegang jawatan penting dalam sebuah pertubuhan amal berprofil tinggi.
‘Dia tak kerja untuk kami’
Saifannur berkata dia telah meminta untuk dihantar pulang sejak 2018 dan majikannya yang didakwa itu memberi jaminan bahawa mereka akan berbuat demikian.
“Mereka berjanji untuk menghantar saya balik dan mendakwa mereka memegang gaji saya supaya saya mempunyai banyak wang apabila saya pulang.
“Akhirnya, mereka berjanji untuk menghantar saya kembali pada Januari 2021,” katanya.
Bagaimanapun, Saifannur kemudiannya diberitahu dia tidak dapat pulang kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Dato’ beritahu saya jangan takut. Dia kata, saya boleh percayakan dia kerana dia bukan orang jahat. Dia berkata ‘bibik’ yang lain sebelum saya juga percaya kepadanya,” dakwanya.
Saifannur mendakwa apabila dia bertanya semula pada Julai lalu, Dato itu telah menamparnya dan ini mendorongnya untuk melarikan diri dan mencari perlindungan di kedutaan Indonesia.
Peluangnya datang apabila pengawal keselamatan meninggalkan pintu masuk ke kondominium terbuka. Tanpa membawa apa-apa, Saifannur menahan teksi dan pemandu itu menawarkan untuk membawanya ke balai polis berhampiran secara percuma.
Di balai polis, sebaik mengesahkan Saifannur hanya mahu pulang, anggota polis memberinya RM20 untuk membayar tambang kereta Grab membawanya ke kedutaan.
Jurucakap kedutaan Indonesia berkata ketika dihubungi, maklum balas awal majikan yang didakwa itu adalah menafikan tahu-menahu mengenai Saifannur kerana tiada bukti dia bekerja dengan mereka.
Katanya, pasangan itu mengekalkan pendirian itu walaupun semasa pertemuan dengan wakil daripada Jabatan Tenaga Kerja.
‘Saguhati RM20,000’
Ketika mediasi dengan kedutaan, jurucakap itu berkata pasangan itu secara tiba-tiba pula mengaku mengenali Saifannur tetapi mendakwa mereka hanya menyediakan tempat perlindungan sebagai pendatang tanpa izin sehingga dia boleh pulang ke Indonesia.
“Pasangan itu berkata, Saifannur dilayan seperti ahli keluarga, tidak pernah disuruh melakukan kerja berat dan disediakan segala keperluan.
“Pasangan itu akhirnya bersetuju memberi Saifannur sejumlah RM20,000 sebagai ‘saguhati’ supaya dia boleh pulang ke rumah,” tambahnya.
Dakwanya, pasangan itu meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM17,000 tetapi pihak kedutaan membantah.
Pihak kedutaan telah mengira gaji tertunggak Saifannur ialah RM50,500 berdasarkan pemahamannya tentang perjanjian yang dibuatnya bersama majikan yang didakwa itu.
Mengenai dakwaan mereka menyediakan tempat perlindungan, jurucakap itu menyoal munasabah perlu menyediakan tempat perlindungan selama lebih empat tahun sedangkan proses mendapatkan Dokumen Perjalanan Ganti Pasport hanya mengambil masa lima hari.
Ketika dihubungi Malaysiakini, majikan Saifannur yang didakwa enggan mengulas selain mengatakan perkara itu telah diselesaikan. Malaysiakini menahan nama mereka sementara menunggu jawapan lanjut mengenai kes itu.
Dalam kes berasingan pada Januari, Malaysiakini melaporkan seorang pembantu rumah yang bekerja dengan seorang “Tan Sri” selama 12 tahun tanpa gaji telah melarikan diri ke kedutaan dan melalui mediasi telah menerima lebih RM100,000 sebagai gaji tertunggak
Bagaimanapun, tiada tindakan terhadap “Tan Sri” diambil oleh pihak berkuasa berkenaan setakat ini. Mk
Amah tak dibayar gaji, bertahun bersih kondo, jaga 30 ekor kucing
Baca Artikel Menarik:
- ADUN DAP Pasir Berdamar Terrance Naidu Didakwa Ambil Dadah
- Seni tahi anjing kaulah, Bonda Rozita selar Aliff Syukri
- Rina Harun Dihentam Kerana ‘Photo Op’ Dengan Mangsa Penderaan Bella
- Berdosa peguam bela pihak yang salah, wang diterima haram – MAZA
- Raja Zarith murka ada individu salah guna kurniaan istana
- Najib sekolahkan Kit Siang samakan Malaysia dengan Sri Lanka
- Pengetua sekolah bertunang dengan murid
- Budak 10 tahun mati dihempap pokok 100 tahun
- Penceramah bebas ditahan bantu siasatan kes amang seksual fizikal
- Jual Kerepek Nak Balik Raya Selepas 2 Kali Kehilangan Kerja [VIDEO]
- Dedah Perangai Ira Kazar, Suka Kejar Suami Orang
- Isteri Kantoi Curang Ketika Suami Pergi Solat Tarawih [VIDEO]
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Amah tak dibayar gaji, bertahun bersih kondo, jaga 30 ekor kucing