Pas terharu kesediaan MIC untuk bekerjasama

KUALA NERUS – Konvensyen MIC yang berakhir beberapa hari lalu menarik perhatian Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus terharu dengan kesediaan MIC untuk mengadakan kerjasama dengan Pas.

Menurutnya, Pas sebuah parti yang merujuk kepada Islam dan ia mengajar untuk sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat.

“Tiada yang akan dizalimi. Hak dan keperluan rakyat bukan Islam akan menjadi lebih terjamin di bawah pentadbiran Islam.

“Hak membina rumah ibadah, hak pendidikan, hak berpolitik, hak berekonomi, hak bantuan apabila dilanda kesusahan dan kemiskinan dan lain-lain lagi.

“Pas bukan hanya untuk orang Pas, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama dan bangsa,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, memperjuangkan hak istimewa Islam dan Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan tidak akan mengurangkan walau sedikit hak yang patut dinikmati bukan Islam dan bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia.

“Seluruh rakyat berhak mendapat hak mereka sebagai rakyat. Membina negara yang aman dan damai untuk semua termasuk golongan minoriti menuntut setiap bangsa dan agama diberikan hak mereka tanpa kurang,” katanya.

SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker