Bagaimana Umat Terdahulu Diwajibkan Berpuasa? Apakah Ramadan Dimuliakan Umpama Dizaman Nabi Muhammad?

Bagaimana Umat Terdahulu Diwajibkan Berpuasa? Apakah Ramadan Dimuliakan Dizaman Nabi Muhammad?

BERDASARKAN sejarah, umat manusia pada zaman dahulu juga diwajibkan berpuasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu (Surah al-Baqarah, 2: 183-184).

Untuk memahami sejarah tersebut, molek dirujuk antaranya kitab para mufassirin (ahli tafsir). Contohnya dalam Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wīl ayi al-Qur’an tulisan Imam al-Tabari, diriwayatkan bahawa umat selepas Nabi Ibrahim AS diperintahkan agar menuruti ajaran Nabi Ibrahim AS.

Imam al-Tabari juga menukilkan riwayat dari al-Suddi bahawa diwajibkan kepada golongan Nasrani (umat Nabi Isa AS) untuk berpuasa pada bulan Ramadan. Mereka juga diwajibkan tidak makan dan tidak minum setelah tidur serta tidak berjimak sebulan Ramadan meskipun pada waktu malam.

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-Azim, diriwayatkan dari Ibn ‘Umar bahawa diwajibkan kepada mereka setelah solat isyak, tetapi apabila tidur, maka diharamkan makan, minum dan berjimak.

Umat manusia pada zaman dahulu juga diwajibkan berpuasa.

Menurut Imam al-Qurtubi dalam Kitab al-Jami’ li Ahkam al-Quran, diriwayatkan daripada al-Sha’bi, Qatadah dan selainnya bahawa terdapat persamaan di antara puasa zaman Nabi Muhammad SAW dengan umat terdahulu pada aspek waktu dan kadar puasa.

Dikatakan juga bahawa persamaan tersebut pada aspek kewajipan berpuasa bukan pada aspek waktu dan caranya. Dikatakan juga persamaan itu pada aspek sifat puasa yakni larangan makan, minum dan berjimak sehingga buka puasa tetapi jika tidur maka larangan ini akan diteruskan sehinggalah dimansuhkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT juga telah mewajibkan puasa pada bulan Ramadan ke atas kaum Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS tetapi mereka telah mengubahnya.

Ahli kitab mengubah hukum hakam

Golongan Yahudi menggantikan puasa sebulan Ramadan dengan puasa sehari setahun sahaja yakni pada hari ditenggelamkan Firaun iaitu 10 Muharram.

Manakala golongan Nasrani sepertimana riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi bahawa pendeta Nasrani menambah 10 hari lagi kepada 30 hari Ramadan.

Kemudian sebahagian pendeta mereka sakit lalu bernazar untuk tambah 10 hari lagi jika sembuh. Maka bilangan hari puasa mereka menjadi 50 hari. Ketika musim panas, mereka tidak mampu melakukan puasa maka mereka mengubah waktu puasa kepada waktu lain.

Tingkatkan ibadah di bulan Ramadan ini.

Imam al-Qurtubi juga menukilkan riwayat Mujahid bahawa, puasa bulan Ramadan diwajibkan kepada semua umat, namun mereka mengubahnya dengan menambah bilangan hari berpuasa sebelum dan selepasnya sehinggalah akhirnya menjadi 50 hari.

Mereka juga ubah pada waktu lain kerana tidak mampu puasa pada musim panas sehingga mereka tidak lagi berpuasa pada bulan Ramadan.

Diriwayatkan juga bahawa zaman dahulu diharamkan makan, minum dan berjimak ketika bulan puasa meskipun pada waktu malam. Ia juga berlaku ketika puasa pada fasa permulaan Islam kemudian dimansuhkan.

Puasa Saidatina Maryam

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini” (Surah Maryam, 19: 26)

Imam al-Tabari menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan Saidatina Maryam mewajibkan dirinya kerana Allah SWT untuk tidak bercakap dengan sesiapa pun.

Imam al-Baghawi dalam kitab Ma’alim al-Tanzil, menukilkan riwayat dari al-Suddi bahawa, Bani Israil dahulu jika mereka bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu perkara, mereka tidak bercakap sepertimana mereka berpuasa tidak makan sehingga waktu petang.

Berkongsi rezeki di bulan Ramadan.

Ibn Kathir menukilkan riwayat dari al-Suddi, Qatadah dan ‘Abd al-Rahman ibn Zaid bahawa apabila mereka berpuasa berdasarkan syariat mereka, diharamkan makan dan berkata-kata. Menurut Imam al-Qurtubi yang menukilkan riwayat al-Suddi bahawa sunnah bagi golongan Bani Israil ialah menahan diri daripada makan dan berkata-kata. Bagi Imam al-Qurtubi, sunnah ini juga berlaku pada syariat Nabi Muhammad SAW yakni tidak boleh berkata-kata yang keji.

Ayat ini menjelaskan bahawa setelah Saidatina Maryam melahirkan Nabi Isa AS tanpa berkahwin dengan izin Allah SWT, Saidatina Maryam diperintahkan agar berpuasa dari makan minum dan berpuasa bercakap.

Ayat ini menunjukkan antara sejarah puasa pada zaman dahulu ialah mereka berpuasa bukan sahaja dari makan dan minum bahkan juga berpuasa dari bercakap. Mereka hanya boleh memberi isyarat sahaja.

Selain itu, menurut Ibn Kathir, berterusan sejak zaman Nabi Nuh AS lagi bahawa diwajibkan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan sehinggalah ia dimansuhkan dengan diwajibkan puasa Ramadan.

Imam al-Qurtubi menukilkan dari pandangan Saidina Ibn ‘Abbas bahawa umat terdahulu diwajibkan berpuasa tiga hari setiap bulan dan hari ‘Asyura’ (10 Muharram) kemudian dimansuhkan bagi umat Nabi Muhammad SAW setelah diwajibkan puasa Ramadan.

Puasa Nabi Daud AS

Pada zaman Nab Daud AS, mereka diwajibkan berpuasa sepanjang tahun dengan cara puasa selang sehari. Kemudian cara puasa ini dimansuhkan menjadi hukum sunat sahaja pada zaman Nabi Muhammad SAW. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dan puasa (sunnah) yang paling dicintai Allah adalah puasa (seperti) Nabi Daud AS (Hadis riwayat al-Bukhari)

Di samping puasa Ramadan, amalan sunat puasa yang lain juga perlu diambil manfaat.

Puasa golongan Ahli Kitab juga tidak melakukan amalan bersahur dan melewatkan berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW yang bemaksud: Yang membezakan puasa kita dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur (Hadis Sahih riwayat Ibn Hibban).

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Agama ini akan senantiasa terzahir kebaikannya selama mana manusia (kaum Muslimin) mempercepatkan buka puasanya, kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya (Hadis Sahih riwayat al-Hakim).

Kesimpulan dan saranan

Sebagai persediaan menjelang Ramadan, terdapat iktibar dari sejarah umat terdahulu antaranya ialah puasa Ramadan yang ditinggalkan ketika dahulu telah dikembalikan semula, maka umat Islam perlu ambil peluang keemasan ini untuk beramal sebaiknya.

Dilarang juga membuat penambahan atau pengurangan pada hukum Allah SWT maka umat Islam perlu ulang kaji hukum hakam puasa berdasarkan ulama muktabar fekah Ahli Sunah Waljamaah.

Selain itu, sebahagian amalan wajib puasa umat terdahulu sunat diamalkan maka ini peluang untuk umat kini menyaingi amalan umat terdahulu meskipun umur tidak panjang seperti umat terdahulu. Maka, di samping puasa Ramadan, amalan sunat puasa yang lain juga perlu diambil manfaat.

***Dr. Mohd Hasrul bin Shuhari adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). 

Bagaimana Umat Terdahulu Diwajibkan Berpuasa? Apakah Ramadan Dimuliakan Dizaman Nabi Muhammad?

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tengku Hassanal Kongsi Momen Bertemu Tengku Aleya, Sempat Kena ‘Sound’ Dengan Raja Permaisuri Agong

Resepi Ayam Masak Merah Ala Kenduri, Tak Guna Sebarang Sos Pun

Laptop Tak Mampu Beli, Tapi Pakai iPhone – Rani Kulup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker