Sentuhan Kecundang Mahathir Dalam Sapura Energy

Oleh Nurul Aishah

BUKAN lagi rahsia apa sahaja langkah yang Mahathir lakukan dalam mana-mana syarikat besar bermotifkan keuntungan peribadi semata-mata. Dan seperti biasa, syarikat tersebut akan kecundang seperti yang berlaku pada Perwaja Steel dahulu.

Sebelum tahun 2019, Sapura bukanlah syarikat GLC dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan pemegang saham terbesar Sapura.

Apabila Pakatan Harapan(PH) menang Pilihan Raya Umum(PRU) ke 14 dan memerintah Malaysia selama 22 bulan, ekonomi negara jadi tunggang-langgang dikerjakan mereka.

Ketika ini Mahathir menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan. Beliau turut mengumumkan Majlis Penasihat akan dianggotai Zeti Akhtar, Tun Daim Zainuddin,Tan Sri Robert Kuok, Jowo Kwame Sundaram dan Tan Sri Hassan Merican. Majlis Penasihat ini ditubuhkan sebagai penasihat kabinet di bawah pentadbiran Mahathir yang akhirnya menghancurkan ekonomi kita.

Benarkah PNB sudah ‘bailout’ Sapura Energy? Ini persoalan yang diajukan oleh Abdul Kadir Jasin.

Jawapannya, memang benar ketika Mahathir jadi PM selama 22 bulan, PNB sudah ‘bailout’ Sapura Energy.

Bermula tahun 2019 setelah PNB membeli kepentingan 40% untuk menjadi pemegang saham terbesar, masalah ini muncul satu persatu.

Kenapa begini? Kerajaan PH perlu jawab. Pengerusi PNB ketika itu juga perlu jawab.

PNB telah membelanjakan RM2.68 bilion bagi membeli 40 peratus saham biasa dan saham RCPS (redeemable convertible preference shares) dalam Sapura Energy. Ia dibuat pada bulan Januari 2019.

Kenapa selepas suntikan modal RM2.68 bilion, Sapura masih lagi mengalami masalah aliran modal? Apa yang “tangan ghaib” lakukan dalam Sapura sehingga keadaan syarikat tersebut nyawa-nyawa ikan.

Duit dalam Sapura kena “sedut” kah?

Selepas menjadi pemegang saham terbesar, PNB gagal membantu Sapura untuk mendapat kemudahan modal kerja dari bank sebanyak RM2 bilion bagi memudahkan syarikat tersebut melaksanakan projek.

Kemudian pandemik Covid melanda dunia. Lockdown-lockdown, penutupan sempadan serta kemelesetan ekonomi di Malaysia dan seluruh dunia memberi impak negatif yang amat besar kepada Sapura sebab ianya amat sukar bagi Sapura meneruskan kontrak sedia ada untuk mendapat bayaran.

Aliran tunai Sapura pun menjadi kritikal. Diburukkan lagi apabila bank-bank membekukan kemudahan bank dari Sapura pada bulan Oktober 2021.

Malah pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah Sapura juga telah ditukar pada tahun lepas. Namun mereka tersepit dengan lockdown tahun lepas dan kekurangan modal kerja.

Akibatnya, Sapura terpaksa susut nilaikan aset-aset dan projek-projek dalam tangan sebab tidak boleh meneruskan projek.Oleh itu kerugian Sapura yang dicatat pada tahun 2021 adalah RM8.9 bilion berbanding RM160 juta pada tahun 2020 biarpun tahun 2020 adalah lebih sukar berbanding tahun 2021.

Kerugian amat besar pada tahun 2021 bukan kerugian nyata tetapi kerugian atas kertas akibat proses susut nilai (impairment dan provision) yang sangat agresif.

Kini ekonomi dunia mula melonjak semula selepas seluruh dunia membuka semula ekonomi dan sempadan. Harga minyak dan gas sedang mencecah paras tertinggi.

Permintaan bagi servis Sapura juga amat tinggi. Malangnya, Sapura tidak dapat mengambil peluang ini disebabkan isu kecairan kewangan.

Apa yang amat diperlukan Sapura sekarang ialah kemudahan modal kerja sahaja.

Sapura masih ada projek dalam tangan bernilai RM6.8 bilion untuk dijayakan. Jika kemudahan kredit diberi semula, Sapura boleh untung besar semula dalam masa yang singkat.

Apabila Sapura diberi semula kemudahan modal kerja, syarikat itu boleh “write back” ataupun menilai semula susut nilai yang telah direkodkan bagi tahun 2021. Jika dibuat seperti syarikat-syarikat lain maka Sapura bakal mencatat keuntungan besar bagi suku tahun ini.

Perkara yang sama pernah dibuat oleh MBSB yang mencatat keuntungan selepas bank tersebut menilai semula aset-aset yang mereka telah disusut nilai sebelumnya.

Kerajaan sebenarnya tidak perlu suntik satu sen pun untuk memberi nafas baharu kepada Sapura. Tidak perlu gunakan satu sen duit Rakyat atau memberi impak kepada bajet tahunan.

Dalam isu ini Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan dua perkara yang perlu dilakukan iaitu :

1) Memberi jaminan kerajaan untuk Sapura Energy memohon kemudahan modal kerja sebanyak RM2 bilion dari bank – sebagaimana jaminan sebanyak RM500 juta pernah ditawarkan oleh kerajaan kepada AirAsia pada tahun lepas.

atau:

2) Petronas mengambil alih Sapura dari PNB dan memberi jaminan korporat kepada Sapura untuk memohon kemudahan dari bank.
Dengan ini, PNB tak perlu rugi RM4b hingga RM5b. Bank tidak terdedah kepada risiko kerugian mencecah RM10b. Pekerja-pekerja Sapura dan vendornya tak terjejas. Vendor-vendor Sapura tidak muflis dan aset-aset berharga dan amat berguna bagi sektor minyakk dan gas negara tidak jatuh dengan harga jualan paksaan ke tangan asing.

Sebenarnya Malaysia sangat beruntung mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri Najib yang tahu bagaimana mengurus ekonomi negara. Beliau merupakan pemimpin yang membina negara bukan seperti Mahathir yang hanya tahu meruntuhkan ekonomi semata-mata untuk kekayaan peribadi dan keluarga serta kroni.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker