Kes curi kereta: Seorang diheret ke mahkamah, 3 sudah meninggal

Kes curi kereta: Seorang diheret ke mahkamah, 3 sudah meninggal

Seorang peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Kampung Seri Pinang 2, Palekbang, kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Zubairi Yaacob, 37, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Dalam pertuduhan itu, dia didakwa bersama tiga lagi rakannya – Ahmad Syafiq Abdul Malik, 30, Mohd Khairul Anuar Iskandar, 33 dan Amir Sidi Ahmad, 50 – mencuri sebuah Ford Ranger berwarna biru dalam milikan Mohd Asraf Mohd Asri.

Tiga orang rakannya itu bagaimanapun telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, dikatakan ketika melarikan diri.

Zubairi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor, Kampung Seri Pinang 2, Palekbang kira-kira pukul 1.20 pagi pada 3 Februari lalu.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Kampung Sungai Pinang, ditahan pada 14 Februari lalu.

Ia berkaitan kejadian membabitkan tiga lelaki maut termasuk dua daripadanya rentung selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang tiang di hadapan rumah sebelum terbakar.

Kejadian di Kampung Paloh, Morak di Tumpat pada 3 Januari lalu itu sekali gus membongkar aktiviti jenayah samun yang dilakukan mereka.

Pendakwaan terhadap Mohd Zubairi dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.

Terdahulu, Muhammad Shahril menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Ahmad Adha Amir dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah terhadap anak guamnya yang perlu menyara dua orang isteri dan lima orang anak berusia empat hingga 15 tahun. Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan tarikh 6 April ditetapkan bagi sebutan semula kes. Mk

Kes curi kereta: Seorang diheret ke mahkamah, 3 sudah meninggal


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rasyad dan Peter ‘trending’ di Twitter

Wanita Ini Menyesal Tak Sudah Dapat ‘Date Dari Neraka’ [VIDEO]

Bercerai selepas sehari berkahwin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker