Segera laksana PRU, hubungan BN-PN makin renggang

ARAU: Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat ibarat ‘retak menanti belah’ selepas gabungan tersebut di negeri-negeri sudah tidak mampu lagi diselamatkan.

Sehubungan itu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu segera dilaksanakan memandangkan kerajaan bersama UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sudah tidak kukuh dan ketika ini, hanya sekadar ‘bertahan’ menanti pilihan raya sahaja.

Apabila ketidakstabilan politik itu berlaku, secara tidak langsung memberi kesan kepada kerajaan khususnya dalam usaha menarik kembali kepercayaan pelabur luar ke negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, BN dan PN dilihat sudah tidak boleh bersama dan hanya menanti masa bergerak dengan haluan masing-masing selepas ini.

Katanya, jika PRU15 tidak berlaku dalam tempoh terdekat berkemungkinan selepas ini akan berlangsungnya lagi pilihan raya negeri (PRN) memandangkan kerjasama antara BN dan PN itu sudah tidak mampu lagi diselamatkan.

“PRN Johor juga akan menjadi platform menguji kekuatan PN khususnya Bersatu sama ada mampu mempertahankan 12 kerusi yang dimenangi dalam PRU14, menang lebih lagi ataupun berlaku sebaliknya seperti dalam PRN Melaka sebelum ini.

Ismail hadir perjumpaan tertutup Presiden UMNO dan Biro Politik UMNO Johor

“Jika Bersatu kalah teruk dalam PRN Johor sebagaimana Melaka, saya menjangkakan PN itu sendiri akan terbubar dengan sendirinya memandangkan Johor juga adalah salah satu kubu kuat Bersatu.

“Sama ada Bersatu akan terus bertahan menjelang PRU15, kita lihat kepada keputusan dalam PRN Johor. Di Johor, saya melihat momentum sokongan rakyat masih kepada BN manakala Pas masih terlalu sukar menembusi Johor,” katanya.

Malah, keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini juga dibuat tanpa perundingan PN meskipun menjadi sebahagian kerajaan negeri Johor.

Tambah Rusdi, selepas PRN Johor, Perak pula dijangka berdepan situasi sama jika PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

“PRU15 kena cepat dan sebelum pilihan raya tersebut perlu terlebih dahulu dilaksanakan akta anti lompat parti bagi mengelak ketidakstabilan politik (lompat parti) selepas pilihan raya tersebut.

“Hubungan BN dan PN adalah sukar diselamatkan lagi dan pilihan raya tersebut adalah penting bagi memilih kerajaan yang benar-benar stabil selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Segera laksana PRU, hubungan BN-PN makin renggang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Pendayung solo rentas Atlantik maut di tengah laut [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker