Nik Abduh beri teguran, pengguguran Khairuddin perlu penjelasan

Punca pemecatan Khairuddin Aman Razali sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat terus menjadi persoalan apabila tiada sebarang penjelasan dibuat pihak parti berkenaan puncanya.

Justeru, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata penjelasan rasmi harus dibuat kepada awam berkenaan perkara itu.

Kata Nik Abduh, apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menolak alasan pengguguran Khairuddin atas faktor perselisihan antara MN dan PN, maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain.

“Ia masalah disiplin dalam parti. Buah gugur bila sudah cukup masak atau ditiup angin kuat. Buah juga boleh gugur kerana dipotong atau dibedal dengan galah oleh budak-budak. Gugur mesti bersebab.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Penjelasan rasmi, katanya lagi, perlu kerana tindakan terhadap Khairuddin itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti PAS sendiri.

“Bukan bocor atau viral sahaja. Khairuddin adalah antara figura utama pemimpin PAS. Dia seorang bekas menteri daripada parti. Dia juga adalah setiausaha Majlis Syura Ulamak.

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli PAS untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut. Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjemaah,” katanya lagi.

Pada 14 Januari lalu, dalam kenyataan pertama setelah pemecatannya, Khairuddin menegaskan bahawa “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Takiyuddin melompat! Khairuddin dicabar buat dakwaan dipecat kerana MN

Dua hari kemudian, Takiyuddin mencabar Khairuddin atau mana-mana pihak untuk menyatakan isu MN dan PN sebagai punca pemecatan.

Katanya lagi, sebagai individu yang terlibat dalam mesyuarat yang membuat keputusan itu, dia tahu benar apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.

Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, Nik Abduh berkata tindakan “orang besar parti” yang mencabar Khairuddin untuk menyatakan sebab pemecatannya adalah “buruk dan teruk”.

“Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’.

“Logiknya Khairuddin yang patut mencabar sebab dia yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jemaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi,” katanya lagi.

Menyifatkan Khairuddin sebagai sahabat rapatnya, Nik Abduh berkata ahli parlimen Kuala Nerus itu kuat menyokong usaha memulihkan hubungan dalam MN yang “semakin suram cahayanya”.

“Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjemaah. Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan pencalaran tersebut.

“Dirinya sendiri, para penyokongnya atau pastinya Majlis Syura Ulamak PAS juga. Justeru saya penjelasan rasmi harus diberikan segera.

“Ia boleh membina persepsi yang baik kepada PAS. PAS sekarang memerintah negara,” katanya lagi.

Nik Abduh beri terguran, pengguguran Khairuddin perlu penjelasan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Biar Takiyuddin perjelas kenapa saya dipecat – Khairuddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker