Desakan pengeluaran i-Citra mainan politik – Tengku Zafrul

Desakan pengeluaran i-Citra mainan politik – Tengku Zafrul

Kerajaan tidak boleh membenarkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua bencana yang berlaku, tegas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ujar beliau, jika setiap kali berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran hendak keluarkan wang simpanan KWSP, sampai bila pun simpanan hari tua tidak akan tercapai matlamatnya.

Justeru, katanya, kerajaan tidak boleh akur kepada gesaan atau tekanan sesetengah pihak yang mahu penambahan pengeluaran RM10,000 KWSP menerusi program i-Citra.

“Kerajaan telah memperkenalkan tiga program pengeluaran khas KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebagai langkah jangkamasa pendek yang bersifat sementara akibat pandemik Covid-19.

“Malangnya, hari ini ada pihak yang menuntut lebih banyak pengeluaran KWSP kerana pada mereka ia adalah modal politik mudah, tetapi tuntutan ini tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab dan dibuat secara melulu tanpa analisis dan perkiraan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video pendek menjawab isu tuntutan dan desakan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan pengeluaran khas bagi membantu rakyat yang terjejas banjir.

Menurut Tengku Zafrul, setakat hari ini melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra setiap ahli KWSP telah dibenarkan keluar wang simpanan mereka sehingga RM71,000 dengan jumlah keseluruhan yang telah dikeluarkan sebanyak RM101 bilion.

Ujar beliau, jika kerajaan terus membenarkan pengeluaran, apa akan terjadi pada simpanan hari tua pencarum.

Katanya, hampir 50 peratus atau enam juta pencarum kini mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000 dan mereka tidak akan mendapat apa-apa faedah jika pengeluaran tambahan i-Citra RM10,000 dibenarkan.

Malah, kata beliau, sebanyak 74 peratus pencarum adalah Bumiputera dan lebih membimbangkan lagi, 79 peratus dari golongan itu mempunyai simpanan kurang RM1,000.

Katanya, sebagai menteri yang diamanahkan untuk menjaga kewangan negara, beliau rasa bertanggungjawab untuk mengimbangi kebajikan rakyat dalam jangkamasa panjang.

“Di masa sama, mencari penyelesaian dalam memastikan kesejahteraan seluruh warga Malaysia pada waktu semasa dan jangkamasa pendek, terutama ketika keadaan terdesak seperti pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

“Tujuan KWSP tidak lain untuk persediaan hari tua, apabila kudrat untuk terus bekerja mula berkurangan dan amat penting rakyat kita memiliki persediaan hari tua kerana pada tahun 2030 Malaysia dijangka mencapai status negara tua.

“Ini bermaksud, dalam masa lapan tahun sahaja lagi, golongan pesara dan warga tua akan merangkumi 15 peratus atau lebih 5.3 juta dari penduduk negara. Lapan tahun lagi bukanlah lama. Ini bermakna mereka akan memerlukan simpanan yang lebih banyak untuk membiayai sara hidup selepas bersara,” katanya.

Justeru, katanya, desakan daripada beberapa pihak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan i-Citra akan menjejaskan lagi isu kekurangan simpanan persaraan yang kini telahpun berada dalam tahap amat membimbangkan.

Tengku Zafrul memberi contoh, median simpanan ahli B40 adalah RM1,000, jika nilai itu kekal sehingga hari persaraan, mereka hanya ada RM4,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun, manakala ahli M40 pula RM25,000 atau RM104 sebulan semasa hari persaraan untuk tempoh yang sama.

Beliau berkata, dalam bencana banjir yang teruk pada 2014, kerajaan ketika itu tidak pernah membenarkan sebarang pengeluaran KWSP walaupun hampir 300,000 isi rumah terpaksa dipindahkan dan ramai hilang harta benda termasuk rumah serta kenderaan.

Namun, kerajaan ketika itu (Barisan Nasional) tidak pernah membenarkan sebarang pengeluaran KWSP walau satu sen pun, sebaliknya kerajaan menggunakan kaedah lain bagi membantu mangsa bencana.

“Pendekatan ini juga diambil oleh kerajaan sekarang dalam membantu rakyat menghadapi bencana banjir yang setakat ini telah memberi kesan kepada hampir 70,000 keluarga Malaysia.

“Secara keseluruhannya banyak bantuan dihulurkan oleh kerajaan bagi menolong rakyat, tidak kira sama ada akibat bencana banjir mahupun Covid-19. Ini menunjukkan KWSP tidak patut dilihat sebagai penyelesaian sesuatu cabaran.

“Sebagai contoh, bagi membantu aliran tunai B40 dan M40, untuk tahun ini sahaja kerajaan telah menyalurkan RM10 bilion menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang memberi manfaat kepada kira-kira 11 juta penerima,” katanya. MG

Desakan pengeluaran i-Citra mainan politik – Tengku Zafrul


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker