Berdiri Tanda Hormat Kepada Pemimpin Dilarang Dalam Islam?

Berdiri Tanda Hormat Kepada Pemimpin Dilarang Dalam Islam?

Sudah menjadi kelaziman, di majlis-majlis rasmi terutamanya, atau tatkala terserempak dengan pemimpin, sekalipun dia hanya ketua kampung, kita secara spontan akan berdiri tanda hormat kepada pemimpin berkenaan.

Paling tidak kita akan diingatkan oleh pengacara majlis untuk bangun tanda menghormati kehadiran ‘jemputan’ yang menjadi orang penting dalam sesuatu majlis yang dianjurkan. Dan kebanyakannya akan akur dengan permintaan tersebut tanpa banyak soal.

Bagaimana pula dalam Islam? Adakah dibenarkan atau sebaliknya? Bagi membincangkan persoalan ini, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malysia, Prof Madya Dr. Mohd Fauzi Mohd Amin menegaskan, hukum berdiri menghormati seseorang pemimpin adalah harus, bahkan digalakkan. Tetapi, berdiri itu hendaklah dengan niat untuk menghormati sahaja dan bukannya mengagungkan seseorang. Dalam Islam, yang berhak untuk diagungkan ialah Allah S.W.T semata-mata.

Terang Mohd Fauzi perbuatan tersebut disarankan oleh junjungan kita nabi Muhammad s.a.w melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,“

“Berdirilah kalian untuk menjemput pemimpin kalian,”

Hadis ini diriwayatkan ketika mana Sa’ad bin Mu’adz datang kepada Rasulullah s.a.w dengan menaiki keldai.

Apabila Sa’ad sampai di tempat yang dituju, lantas Rasululluah bersabda kepada orang Ansar untuk berdiri menghormati Sa’ad sebagai pemimpin mereka. Pada ketika itu, Sa’ad baru pulang dari peperangan untuk menegakkan Islam. Berdasarkan hadis tersebut, jelas dapat difahami, Nabi s.a.w juga menyuruh berbuat demikian (berdiri) bagi tujuan menghormati.

Bahkan menurutnya lagi, Imam Nawawi dalam Al-Azkar ketika ditanya mengenai hukum berdiri memberi hormat kepada orang lain kerana kedudukan orang tersebut dalam masyarakat, menegaskan perbuatan tersebut tidak dilarang.

Imam Nawawi dalam hal tersebut mengariskan boleh berdiri hormat kepada orang-orang yang mulia dan orang yang mempunyai hak untuk dihormati, termasuk pemimpin. Malah, Dr . Wahbah az-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah ketika ditanya mengenai hal yang sama, turut menyatakan jawapan yang sama.

Pun begitu bagaimana pula dengan larangan sebuah hadis yang melarangnya? Antaranya bermaksud, “Kita berdiri bukan untuk diriku, melainkan untuk Allah Taala,” hadis riwayat Ahmad.

Menjawab persoalan ini, Mohd Fauzi menjelaskan, larangan Rasulullah itu ada benarnya. Ini kerana kewajaran seseorang untuk berdiri menghormati seseorang, hakikatnya bukan kerana seseorang itu sebaliknya sifat yang ada pada diri seseorang.

Kerana itu Rasulullah melarang para sahabat berdiri kerana dirinya dan bukan kerana sifat yang ada pada baginda.

“Sebagai contoh, menghormati guru tatkala guru melangkah masuk ke kelas dibolehkan, kerana menghormati ilmu yang ada pada seorang guru. Sama juga jika kita berdiri hormat untuk seorang pemimpin, diharuskan kerana sikap kepimpinan yang ada padanya.

“Apa yang dilarang ialah, berdiri hormat untuk orang yang tiada apa-apa, tiada sifat yang membolehkan kita hormat kepadanya. Namun jika berdiri kita hanya takut pada seseorang itu, contoh kerana fizikalnya yang besar, gagah perkasa, maka ini dilarang,” ujarnya.

Berdasarkan hadis yang disebut di atas, ini menunjukkan betapa telitinya Rasulullah s.a.w agar umatnya tidak terjebak dengan perbuatan syirik, sehingga menyebabkan kemungkaran di sisi Allah Taala. Tambah Mohd Fauzi lagi, larangan berdiri oleh Rasulullah s.a.w adalah kerana wujudnya kerisauan di hati Baginda, takut-takut berlakunya perkara itu kerana takutkan seseorang sekali gus lupa kepada Yang Maha Agung.

Justeru Mohd Fauzi mengingatkan, jangan sesekali kita berdiri dengan niat untuk mengampu atau sengaja menunjuk-nunjuk untuk mendapatkan balasan. “Sebagai contoh, kita terserempak dengan pemimpin di sesuatu tempat, kemudian kita sengaja ingin menonjol dan mendapatkan perhatian dengan berdiri memberi hormat kepadanya, sedangkan dalam hati, terselit perasaan “minta-minta YB kenal aku, dan meluluskan projek yang aku mohon” Perbuatan itu jelas dilarang oleh agama.

Begitu juga dalam keadaan seseorang sedang makan, kemudian lalu di hadapannya seorang pemimpin atau orang yang berpangkat, maka secara sponta kita berhenti makan dan berdiri untuknya, itu juga dilarang kerana dia bukan dalam keadaan yang patut dihormati, seperti di majlis tertentu.

Bagaimana jika pemimpin bukan Islam?

Menjawab persoalan ini, Mohd Fauzi menjelaskan, itu juga dibolehkan untuk berdiri sekalipun di majlis-majlis tertentu, dengan sebab untuk menghormati dan meraikan tetamu. Sikapnya yang zalim dan tidak adil itu adalah di negaranya. Tetapi jika mereka datang melawat ke negara kita, statusnya adalah tetamu. Maka, kita dibolehkan berdiri untuk menghormati tetamu.

Dalam hal ini, pemimpin atau orang yang dihormati juga diingatkan agar tiada perasaan ujub dan riak akibat perlakuan orang kepadanya. Setiap pemimpin atau orang yang berpangkat harus sentiasa bersikap rendah diri dan tidak meletakkan jurang yang tinggi antaranya dan juga orang yang di bawahnya.

Maka golongan atasan ini tidak perlu untuk memaksa orang lain menghormati atau berdiri untuknya. Tetapi jika mereka betul-betul ikhlas, secara sendirinya masyarakat akan menghormati golongan tersebut.

Sebaliknya jika perbuatan berdiri itu membuatkan lahir sifat mazmumah dalam diri orang tersebut maka Rasulullah mengingatkan,

“Barang siapa senang menjadikan orang-orang berdiri untuknya, maka bersiap-siaplah menempati tempatnya di neraka.” HR Tirmidzi.

Justeru dalam apa jua situasi sama ada orang yang bangun untuk menghormati seseorang atau orang yang dihormati itu, perlulah kedua-duanya ada sifat ikhlas dalam setiap amanah yang dipertangungjawabkan.

Dengan kata lain, setiap daripada kita haruslah sentiasa meneliti setiap daripada apa yang dilakukan agar tidak bertentangan dengan syariat yang digariskan oleh Allah Taala dan suruhan Nabi s.a.w. Sentiasalah merendah diri, dan menggali sebanyak mungkin ilmu sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan di dunia juga bekalan untuk bertemu dengan sang Pencipta kelak. Wallahu a’lam utv

Berdiri Tanda Hormat Kepada Pemimpin Dilarang Dalam Islam?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker