Krisis iklim: Perhatian serius impak peningkatan suhu dunia – PM

Negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penekanan terhadap perkara itu dibuat semasa Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 yang dipengerusikannnya secara maya hari ini dan dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua-ketua Jabatan/ Agensi berkaitan.

Menurut perdana menteri, mesyuarat tersebut menyarankan supaya tindakan yang mengambil kira faktor kesan perubahan iklim perlu dilaksana segera dalam perancangan pembangunan bagi mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut menegaskan mengenai agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hingga RMK15 yang akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan dinamik menjelang 2040.

“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana menteri berkata menyedari kepesatan proses perbandaran menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat, Majlis Air Negara (MAN) bersetuju terhadap cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan bagi memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih serta memulihara alam sekitar.

“Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir,” katanya.

Gambar hiasan.

Selain itu, MAN juga bersetuju agar tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambil kira faktor perubahan iklim serta kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

“Ini supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosioekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Menurut perdana menteri, MAN juga setuju terhadap kerjasama pelaksanaan inisiatif air pulih guna antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd dengan syarikat operator air negeri bagi mengoptimumkan sumber air negara dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep ekonomi kitaran (‘circular economy’) dalam menguruskan sumber air negara.

Ismail Sabri berkata penyediaan sumber air baru untuk kegunaan industri bukan makanan adalah satu daripada strategi kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air.

MAN juga kata perdana menteri, mengambil maklum dua kertas makluman iaitu pembahagian tanggungjawab antara Jabatan Pengairan dan Saliran; pihak berkuasa tempatan dan agensi lain terhadap sistem saliran selain garis panduan pembinaan telaga tiub untuk tujuan eksplorasi; pemantauan dan pengeluaran dalam penggunaan sumber air bawah tanah.

Mengenai MAN, Ismail Sabri berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air bertindak sebagai sekretariat majlis itu yang merupakan platform penting untuk penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju serta pendekatan berhubung pengurusan dan pembangunan air negara.

– Bernama

Krisis iklim: Perhatian serius impak peningkatan suhu dunia – PM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


UMNO Akan Ditukar Kepada PPBM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker