Penamaan calon PRN Sarawak berlangsung pagi ini

PRN SARAWAK | Penamaan calon untuk pilihan raya negeri ke-12 Sarawak berlangsung hari ini.

Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan di negeri terbesar itu dengan pencalonan berlangsung antara pukul 9 dan 10 pagi.

Sejumlah 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN yang berlangsung pada 18 Dis ini, termasuk untuk pengundian awal yang ditetapkan pada 14 Dis.

Buat kali pertama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan empat parti komponen – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) – akan bertanding sejak parti terbabit keluar daripada BN pada 2018.

Pada PRN sebelum ini (2016) empat parti itu serta sejumlah ‘calon langsung’ berjaya menawan 72 kerusi, termasuk dua yang dimenangi tanpa pertandingan, iaitu di Bukit Sari and Bukit Kota.

Ketua Menteri Abang Johari Openg merupakan Pengerusi GPS merangkap presiden PBB.

Beliau yang dikenali ramai dengan panggilan Abang Jo akan bertanding di kawasan luar bandar, Gedong, buat kali pertama dengan meninggalkan kerusi Satok yang menjadi miliknya selama 40 tahun.

Kerusi Satok akan ditandingi Timbalan Pengerusi PBB Satok, Ibrahim Baki.

Jumlah calon bertanding dijangka melebih rekod 229 pada 2016 berdasarkan kepada pengumuman oleh beberapa parti politik yang sudahpun menamakan calon masing-masing.

Ia termasuk DAP, PKR, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan PAS.

PRN terpaksa ditangguhkan pada pertengahan tahun ini disebabkan pandemik Covid-19, demi menjaga keselamatan rakyat.

Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Jan hingga Ogos, dan seterusnya di Sarawak dilanjutkan selama enam bulan lagi, sebelum ia ditarik kembali pada 3 Nov atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia kemudian memberi laluan kepada PRN Sarawak.

Bagi mengelak penularan jangkitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan aktiviti kempen dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing saja, manakala kempen di luar kawasan yang ditandingi tidak dibenarkan.

Ceramah serta syarahan umum bagaimanapun dibenarkan di 64 kawasan DUN yang memiliki liputan internet lemah. Jumlah yang hadir pula tidak dibenarkan melebihi 50 peratus daripada kapasiti tempat terbabit, atau 150 orang pada satu-satu masa.

– Bernama

Penamaan calon PRN Sarawak berlangsung pagi ini


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Cukuplah politik benci – Azalina pertahan MP DAP isu pakai tudung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker